Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!

Monday, 2 February 2009

2 ADUN PKR: Kami masih wakil rakyat, mahu cabar Speaker

2 ADUN PKR: Kami masih wakil rakyat, mahu cabar Speaker
Posted on 2 Feb,2009

Akhirnya keluar juga 2 wakil rakyat PKR yang hilang ini.
Idea mengatakan 2 wakil rakyat ini telah meletak jawatan telah mengena... satu catuan politik yang bijak.

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat, yang berusia 11 bulan, kini menuju ketidaktentuan dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang diisytihar telah melepaskan kerusi masing-masing semalam, mahu mencabar kesahihan kenyataan Speaker.

Pendirian kedua-dua ADUN Behrang dan Changkat Jering itu, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang menafikan telah menghantar surat letak jawatan, dijangka mengusutkan senario politik Perak.

[KEMUNGKINAN PERKEMBANGAN PAGI INI]

- Menteri Besar Perak dijangka menghadap Sultan Perak

- Sidang media PKR Perak

- Kenyataan susulan ADUN Behrang dan Changkat Jering

- Speaker DUN Perak memaklumkan SPR tentang kekosongan

Kira-kira dua jam selepas kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar, ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan rakan sejawatannya dari Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu berkata, surat letak jawatan yang dimaksudkan beliau itu sebenarnya telah ditandatangani 8 Mac lalu.

"Surat tanpa tarikh itu ditandatangani oleh tujuh ADUN PKR kerana kerajaan negeri bimbang kami akan menyertai Barisan Nasional (BN).

"Nampaknya surat ini telah diguna pakai untuk mengumumkan kononnya kami meletak jawatan.

"Ini satu pembohongan dan saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," Jamaluddin berkata demikian ketika dihubungi Bernama beberapa jam selepas Speaker mengumumkan mereka meletakkan jawatan.

MASIH ADUN PKR

"Saya dan Mohd. Osman sehingga kini masih ADUN PKR dan belum pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti, calon Bebas pun tidak, ataupun mengumumkan menyertai Umno," kata Jamaluddin.

Mengenai dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa mereka hilang sejak Isnin lalu, Jamaluddin berkata, beliau sebenarnya mengambil cuti sakit sejak Rabu.(sakit kena hadapi rasuah)

"Surat cuti sakit ada di pejabat saya, jadi saya bukan hilang," katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya di mana beliau berada semasa dikatakan "hilang", Jamaluddin enggan mengulasnya.(desus-desus ada kat Pahang berbincang dengan Tok Najib,menggugurkan kes rasuah dan melompat galah ke Bee eNd)

Petang tadi, kata Sivakumar, dua ADUN berkenaan yang didakwa "hilang" dan "tidak dapat dihubungi" sejak lima hari lalu, meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat berkuat kuasa semalam.

mStar Online difahamkan ada wakil rakyat yang menandatangani surat letak jawatan sebagai ADUN, yang tidak bertarikh.

Perkembangan terbaru itu diketahui kira-kira enam jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan ada kemungkinan mereka akan sertai BN manakala Menteri Besar Perak pula mencabar kedua-dua ADUN berkenaa keluar dan mengisytiharkan jika benar telah memasuki BN. Perkembangan petang ini membuka laluan kepada pilihan raya kecil - pilihan raya kecil peringkat negeri yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen telah diadakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang Ogos lalu dan Kuala Terengganu, Terengganu bulan lalu.

Dengan keputusan meletakkan jawatan itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman tidak boleh bertanding semula dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun akan datang.

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Sebelum ini kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Jamaluddin menerima 6,771 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.

Mohd. Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi DUN Changkat Jering. Beliau memperoleh 9,411 mengalahkan penyandang dari BN yang juga Yang Dipertua DUN Perak sebelum itu, Datuk Mat Isa Ismail yang mengumpul 8,309 undi.

DISAH SPEAKER

Ia dinyatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar di Ipoh pukul 5.45 petang tadi.

Kata beliau, kedua-dua mereka menghantar surat menggariskan keputusan itu menerusi faks yang dihantar ke rumahnya.

"Kedua-dua Mohd. Osman dan Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai ADUN berkuat kuasa serta-merta dan saya menerima peletakan jawatan mereka di bawah Perkara XXXV Perlembagaan Negeri.

"Sebagai Speaker, saya akan mengumumkan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang kosong secepat yang mungkin," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Speaker akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi esok untuk memaklumkan perkembangan tersebut.

Pakatan Rakyat mempunyai 32 anggota di Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR pada Ahad lalu manakala BN dianggotai 27 wakil dan walaupun dua Adun PKR berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi.

REAKSI MB PERAK

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan meminta supaya SPR mengadakan pilihan raya kecil.

"Sah kedua-dua mereka (ADUN) letak jawatan... saya telah dimaklumkan mengenainya sebentar tadi," katanya.

Ketika ditanya sama ada kecewa dengan keputusan mereka, pemimpin dari PAS itu memberitahu: "Bukan soal kecewa tapi ini menunjukkan Umno dan BN bertindak jahat memancing orang kami."

SPR TUNGGU NOTIS

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan termasuk memanggil pilihan raya kecil jika menerima pengesahan rasmi mengenai kekosongan yang wujud.

"(Berdasarkan maklumat media)... maknanya sudah ada kekosongan... SPR apabila menerima surat tentang kekosongan akan mengambil langkah-langkah perlu," katanya.

[URUTAN SEMASA SEMINGGU]:

1 FEBRUARI, 9.30 MALAM:Di IPOH: ADUN Behrang menafikan yang beliau ada menghantar surat letak jawatan kepada Speaker DUN dan mahu mencabar kesahihannya.

1 FEBRUARI, 6.40 PETANG:Di PETALING JAYA: Menteri Besar Perak hampir yakin kedua-dua ADUN Behrang dan Changkat Jering akan keluar Pakatan Rakyat.

1 FEBRUARI, 5.45 PETANG:Di IPOH: Dua ADUN perak daripada PKR yang "hilang" sejak Isnin lalu mengumumkan peletakan jawatan serta-merta. ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan itu di rumah beliau pada 5.45 petang tadi.

1 FEBRUARI, 10 PAGI: Di KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ada kemungkinan ADUN dari Pakatan Rakyat di Perak akan menyertai BN.

1 FEBRUARI, 11 PAGI: Di IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua ADUN dari PKR yang "hilang" sejak Isnin lepas supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

31 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat malam ini dengan membincangkan secara mendalam isu ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering. Ia juga beranggapan bahawa kedua-dua mereka sudah hampir pasti keluar PKR.

30 JANUARI: Di IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, kedua-dua daripada PKR, akan menyertai BN.

29 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi BN Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletak kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusi BN Perak.

25 JANUARI: Di KUALA LIMPIR: ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim keluar Umno dan BN untuk menyertai PKR dan Pakatan Rakyat.

No comments: