Najib Tunaikan Janji?
Posted on 31 OKT,2008
Sebelum ini heboh tentang sms antara najib dan peguam safie.Apakah Najib telah tunaikan janjinya?
Siapakah yang mengarah Azilah dan Azhar membunuh Altantuya atau memang azilah dan Azhar hendak membunuh Altantuya tetapi mengapa? Banyak persoalan tentang pembunuhan Altantuya ini.
Bebas tuduhan kes Altantuya, Razak kata "Alhamdulillah"
KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Abdullah Baginda, (gambar) yang merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dibebaskan pagi ini.
Bagaimanapun Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.
Selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sekitar pukul 10 pagi tadi, Abdul Razak hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah."
Beliau tidak mengulas lanjut.
Bagaimanapun ketika diajukan soalan mengenai perasaannya apabila ditemui di luar rumahnya di Bukit Damansara pukul 2 petang tadi, beliau hanya berkata: "Alhamdulillah."
Abdul Razak yang kelihatan gembira menambah, beliau berpuasa sebagai tanda kesyukuran.
Ketika ditanya sejak bila berpuasa, Abdul Razak berkata: "Sejak dipenjarakan 22 bulan yang lalu."
Dengan komen itu, beliau yang keluar sekali lagi dari rumahnya kira-kira pukul 2.10 petang menasihatkan para pemberita jangan menunggu kerana akan pulang lewat.
"(Sidang media) bukan hari ni... jangan tunggu, saya lama...," katanya apabila ditanya bila sidang media akan diadakan.
Terdahulu pada sebelah pagi, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik tanah air berusia 48 tahun itu.
Setelah membuat penilaian maksimum yang cukup tinggi terhadap kesemua bukti secara total, Mohd. Zaki berkata, "Saya berpuas hati wujudnya kes prima facie bagi tertuduh pertama (Azilah Hadri) dan yang kedua (Sirul) untuk menjawab tuduhan."
"Dengan itu saya memanggil tertuduh pertama dan kedua membela diri. Bagi tertuduh ketiga (Abdul Razak), saya mendapati tiada kes prima facie baginya untuk menjawab tuduhan.
"Oleh itu, beliau dibebaskan dan dilepaskan," kata Mohd. Zaki dalam keputusannya setebal 10 halaman yang dibacakan beliau.
Mohd Zaki juga mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi kedua-dua tertuduh berkenaan.
Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.
Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.
Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!
Friday 31 October 2008
Najib Tunaikan Janji?
Wednesday 29 October 2008
Nik Abduh - Siapa Ganti Ayahanda
Siapa Ganti Ayahanda
Posted on 29 OKT 2008
Nik Abduh
salam Kamunting,
Sudah bertahun - tahun soalan ini ditanya, kemudian dibangkitkan dan diungkitkan kembali kepada saya, juga kepada sesiapa saja. Hari ini soalan ini masih laku, relevan dan dinanti - nanti jawaban penyudahnya, walaupun dah berlonggok - longgok jawaban diberikan oleh saya, juga oleh semua yang ditanya.
Manusia itu suka sangat mengetahui apa yang mereka tak tahu. Kekadang sampai memaksa - maksa pula untuk mengetahui perihal masa depan, sedangkan dalam akidah mereka sebagai seorang yang beriman, tiadalah yang mengetahui yang di depan selain Allah jua.
Saya agak, kerana suasana memaksa - maksa dengan soalan ‘bila? bila?’ inilah Datuk Sri Anwar Ibrahim memacak tarikh 16 September sebagai hari pembukaan Kota ’Makkah’ Putra Jaya dengan pasti. Mesti berlaku. On track!
Jadinya, ramai manusia bergembira dengan penuh girang kerana mereka telah mengetahui masa depan secara pasti. Bila saya tanya, “Pastikah atau DSAI hanya memacak strategi?” Ahli parlimen itu dengan serius menjawab, “Dia kata pasti!”
Saya terlopong. Di mana ‘insya Allah’ ? Dulu saya tulis, demokrasi Malaysia adalah demokrasi Pak Nujum. Rakyat dipaksa berteka - teki tarikh pilihan raya. Hari ini apa harus saya kata. Pembukaan 16 September yang pasti. Dah tak perlu bernujum lagi. Bolehkah saya namakan ini sebagai ‘politik Ayah Pin’?
Ketahuilah olehmu wahai rakyat Malaysia, DSAI telah berkata dengan hatinya, ‘insya Allah’! Hanya kamu yang bodoh sangat sampai terlupa berkata, ‘insya Allah’. Baguslah hikmat Allah menidakkan tarikh itu. Bagus untuk kamu dalam menjaga agama kamu bahawa masa depan itu milik Allah dan bahawa kemenangan Islam itu pasti tiba dalam jadualNya yang terpacak semenjak azali.
Berjuanglah dalam iman yang teguh bahawa kegelojohan itu bukan daripada disiplin dan hati budi seorang pejuang Islam. Berpautlah pada janji Allah yang lebih dekat, tenang dan pasti, bukan pada janji manusia yang jauh dan pasti mengecewakan kamu. Tidakkah Allah berkata, ” Bukankah waktu subuh itu sudah dekat?”
Bukankah subuh itu tiap - tiap hari? 16 September itu setahun sekali. Mana lebih dekat? Maha suci Allah daripada sebarang kekurangan..
Ayuh, mari pula bersama saya berteka - teki pasal masa depan, tetapi dalam irama, rentak dan lagu yang meneguh akidah, menambah ilmu dan menagih harapan daripada kurniaNya. Saya pernah meminta izin ayahanda untuk menulis dan menjawab cara saya. Ayahanda jawab, tulislah!
Ia bukan soalan, bila ayahanda akan berhenti? Tetapi siapakah penggantinya ‘nanti’?
Anda mahu tahu juga bila? Saya jawab, ayahanda pun belum pasti bila. Masakan pula saya tahu. Masakan pula orang lain lebih tahu. Tidakkah ayahanda telah menyebut berkali - kali untuk berhenti, tetapi hanya Allah yang tahu masanya. Allah tuhan pemilik segala hikmat di sebalik kejadian di bumi dan di langit. Sesungguhnya Dialah di langit adalah tuhan dan di bumi adalah tuhan.
Adapun siapa penggantinya, saya berkata:
Dalam struktur parti, penggantinya sebagai Pesuruh Jaya atau Menteri Besar adalah Presiden PAS dengan persetujuan Jawatan Kuasa PAS Pusat dan perkenan Majlis Syura. Begitulah ayahanda semasa dilantik sebagai MB 18 tahun dulu dan sebagai Pesuruh Jaya PAS Kelantan 10 tahun sebelum itu lagi.
Begitu ayahanda, begitulah MB Kedah dan MB Perak. Bukan PAS negeri masing - masing yang memuktamadkan. Hak mereka adalah mencadangkan.
Adapun pengganti ayahanda sebagai ulama besar, maka ia adalah ulama juga. Ulama adalah pewaris nabi. Apabila ulama pergi dan Allah menghendaki kebaikan untuk hambaNya di bumi, maka digantikannnya dengan ulama juga. Apabila Allah tidak menghendaki sedemikian, maka digantikannya dengan yang bukan jenis ulama yang tiada taqwa dan teladan untuk ummah. Maka kehidupan ummah menjadi bertambah parah dan menuju kemunduran di dalam iman dan kehidupan. Wal ‘iyazu BiLlah.
Semoga Allah membekali kita dengan ulama yang lebih baik dan lebih alim. Semoga Allah menyelubungi kita rakyat Malaysia dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya yang tak terperi agungnya.
Adapun pengganti ayahanda sebagai MB, Pesuruh Jaya dan ulama dari kaca mata tuntutan politik semasa, atau siasah syar’iyyah, atau siasah harakiyyah, maka mari kita panjangkan perbincangannya. Ia kelihatan sukar. Allahlah memudahkan segala kesukaran buat hambaNya. Justeru bersegeralah kepada Allah demi memperolehi kemudahan.
Menjadi pemimpin dalam Islam adalah menjadi pemimpin manusia menuju akhirat. Sebaik - baik pemimpin adalah pemimpin yang menjadikan akhirat sebagai kecintaan rakyatnya. Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat taqwa yang mengepalai sifat - sifat mulia menuju akhirat.
Oleh kerana ayahanda diterima rakyat Malaysia amnya, dan rakyat Kelantan khususnya sebagai pemimpin akhirat mereka, maka sebaik - baik pengganti adalah orang yang paling bertaqwa di kalangan pimpinan PAS.
Siapa? Taqwa itu di dada. Allah pasti mengilhamkannya ke dalam hati - hati hambaNya yang beriman, khususnya para ulama syura yang akan merestukan. Adakah anda seorang yan ragu - ragu dengan syura?
Kemudian, menjadi pemimpin di dalam Islam adalah menjadi pemimpin manusia untuk mencintai kebaikan dan kebaktian di dunia. Dunia adalah ladang akhirat. Sebaik - baik pemimpin adalah pemimpin yang menjadi pendorong dan contoh terbaik manusia untuk berlumba - lumba mengejar kebajikan dan kebaktian.
Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat amanah. Amanah adalah kemuncak sifat mulia manusia dalam mengharungi kehidupan di dunia yang penuh pancaroba dan tipu daya.
Oleh kerana ayahanda diterima seluruh rakyat sebagai lambang pemimpin beramanah, maka sebaik - baik pengganti adalah orang yang paling amanah di kalangan pemimpin PAS selepas ayahanda.
Siapa? Amanah adalah terjelma di dalam kehidupan. Maka menjadi kewajiban ke atas setiap pencadang, terutama Majlis Syura yang akan merestukan, untuk menilai dan memperhalusi setiap pemimpin PAS yang sedang berkhidmat dan berjuang bersama ayahanda di medan. Adakah anda bermalasan dan bermudahan untuk memilih yang terbaik untuk dunia dan akhirat anda?
Kemudian, menjadi pemimpin di dalam Islam adalah menjadi pemimpin gerakan dakwah Islamiyyah. Islam adalah dakwah dan jihad. Tanpa keduanya leburlah kekuasaan Islam di dunia ini dan berkuburlah iman di dada manusia. Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat benar dan tabligh. Dia benar pada zahirnya sebagaimana dia benar pada batinnya. Zahirnya tidak membohongi batinnya. Dia berjiwa dakwah dan tabligh. Jaga dan tidurnya adalah dakwah dan menyampaikan seruan Islam.
Oleh kerana ayahanda diterima rakyat Malaysia sebagai bapa gerakan dakwah masa kini, maka sebaik - baik pengganti adalah orang yang paling konsisten dan istiqamah di jalan dakwah kepada Allah. Istiqamah adalah petanda sifat benar.
Siapa? Ini lebih mudah dikenal berbanding kriteria sebelumnya. Hiduplah dalam dunia dakwah dan berkenalanlah dengan para pendakwah, anda pasti lebih tepat pilihan anda. Yang pasti Majlis Syura akan lebih bersedia untuk mengenali kerana mereka sendiri adalah para pendakwah terpilih dalam parti, insya Allah.
Kemudian, menjadi pemimpin di dalam Islam adalah menjadi pemimpin yang mampu mendepani dan mempertahankan rakyatnya daripada keburukan dan kerosakan yang dicanang musuh agama. Islam adalah agama yang pasti diperangi jentera kufur di dunia ini. Oleh kerana kekufuran adalah lebih melata di bumi ini, maka permusuhan dan perancangan jahat terhadap Islam adalah keras dan bertimpa - timpa.
Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat gagah berani dan bijaksana. Inilah sifat utama pemimpin di medan pertempuran fizikal dan pemikiran juga.
Oleh kerana ayahanda dikenali rakyat Malaysia dengan kebijaksanaan selain keberaniannya, maka sebaik - baik pengganti adalah orang yang paling bijaksana dan paling berani di kalangan pemimpin PAS.
Siapa? Ini lagi mudah dikenal bukan? Samada anda penakut atau pemberani, orang bijak berani selalu dikenali dan di depan.
Adapun yang terakhir, maka ketahuilah olehmu wahai rakyat Malaysia bahawa seorang pemimpin Islam adalah seorang yang yang menyatukan di antara jiwa rakyatnya dengan tali Allah . Kesatuan adalah benteng dan kekuatan yang paling ampuh. Kesatuan di dalam saf perjuangan pasti menghancurkan kekuatan musuh agama.
Paling penting, pemimpin tersebut mestilah mampu menyatukan di antara saf kepimpinan bersamanya sebelum mampu menyatukan rakyat di bawah Islam.
Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat lembut, kasih mesra dan disenangi selain jauh daripada sifat keras dan sombong.
Oleh kerana ayahanda disenangi rakyat Malaysia, maka sebaik - baik pengganti adalah yang paling disenangi rakyat. Dengan kasih dan mesra rakyat akan berkasih sayang sesama mereka dan begitulah kesatuan dibina.
Saya telah menjelaskan 5 kriteria penting kepimpinan Islam tanpa mengemukakan nas dan hujah daripada rujukan demi meringkaskan persembahan ini. Ada pun yang memerhatikan dengan teliti, maka cukuplah ketelitian itu sebagai hujah yang membenarkan kelima - lima kriteria tesebut. Ia penuh hujah di dalam al Quran dan Hadis, juga sejarah kepimpinan Islam.
Apabila saya pula bertanya anda, adakah anda telah mampu memilih seseorang sebagai pengganti ayahanda, saya pasti kebanyakan anda akan menjawab, ” Oh, alangkah sukarnya.”
Jawaban anda adalah betul. Betapa sukarnya memilih pemimpin. Sesetengah pemimpin adalah anugerah. Ia datang dengan tersedia untuk dipilih. Tetapi sebahagian besar adalah pilihan yang mesti diputuskan dengan ketelitian yang cukup halus.
Allah memudahkan segala urusan hambaNya yang beriman. Beriman, bertawakkal dan mengharapkanNya adalah penenang dan jawaban segala kesukaran.
Kelima - lima kriteria di atas yang saya ringkaskan itu adalah sangat jarang berkumpul pada satu tubuh. Kita diminta meneliti siapakah yang paling banyak terhimpun padanya sifat - sifat itu, lalu kita memilihnya untuk memimpin kita menuju akhirat dan kebaktian. Ketua hanya seorang, tidak boleh dua. Tuhan hanya satu. Jika ada dua tuhan, hancur leburlah langit dan bumi.
Janganlah sekali - kali anda berkata bahawa ayahanda mendahului dalam semua kriteria tersebut. Jangan sama sekali kerana anda telah menghukum diri anda sendiri untuk menjadikan anda lemah dan sering berputus asa. Dalam lima pemimpin terbaik yang saya teliti di Kelantan khususnya, ada sesetengahnya memiliki satu atau lebih kriteria yang mendahului ayahanda. WaLlahu a’lam.
Itulah keyakinan yang memberi kekuatan dan masa depan yang cerah untuk Islam. Allah pasti merahmati hambaNya yang mengharap.
Kemudian, pada pandangan saya, kriteria kelima adalah pilihan pertama dan mesti diutamakan.
Ummah hari ini terlalu rapuh kesatuannya. Kita lahir daripada dunia penjajahan ratusan tahun barat yang menjadikan dan memastikan perpecahan ummah sebagai senjata dan racun yang mematikan kekuatan dan kebangkitan kita. Kita lahir dalam dunia sendiri yang tidak lagi mengenali erti kesatuan dan peri pentingnya membangun dan maju dengan kesatuan. Malah, semua kita hidup dalam kekeliruan untuk mencari jawaban ampuh membina kesatuan sebenar umat Islam - kecuali hambaNya yang dikasihaniNya -.
Alangkah bagusnya kita memiliki pemimpin yang berjaya menyatukan saf di antara kita. Dia disenangi majoriti besar kalaulah tidak semuanya. Dengan ikatan kesatuan yang berjaya dibentuk, akan lahirlah satu kepimpinan bersama yang memacu ke arah kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat rakyat jelata.
Ingat, kepimpinan bersama adalah pengganti ayahanda Tuan Guru.
Berdoalah kepada Allah. Itulah yang terbaik berbanding memacak tarikh atau nama menujum masa depan. Itu dalam ilmu Allah yang tiada kepastian selain dalam ilmuNya jua.
Adakah anda masih mahu bertanya, siapa?
Sah, anda betul - betul ahli Pakatan Rakyat yang tegar. Saya pun mahu bertanya anda, siapa ya?
PKNS Kini Di Ketuai Cina
PKNS Kini Di Ketuai Cina
Posted on 29 OKT 2008
Bergegar bumi selangor apabila pemuda UMNO membantah tindakan MB Selangor melantik seorang cina menerajui PKNS.Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Selangor berkata, tindakan menteri besar melantik Low Siew Moi sebagai Pengurus Besar Sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dipercayai atas desakan pihak lain, kemungkinannya DAP "untuk menguasai kerajaan."
Adun Kuang itu juga berkata, Pemuda Umno Selangor akan menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi mengkaji kedudukan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Bagi sesiapa yang hendak bersatu dengannya, Abdul Syukur menyeru orang Melayu di negeri itu tanpa mengira ideologi politik agar bersatu “supaya tidak diperkotak-katikkan”. Diharap tidak ada yang menghampakan jemputan pemuda pembela bangsa itu.
UMNO kini ingin menjadi juara melayu..selama ini apa dia buat untuk melayu...
abang bil kata lu fikirlah sendiri.......
Disini disertakan kenyataan Akhbar Menteri Besar
Kisah UMNO Dan Buaya
Kisah UMNO Dan Buaya
Posted on 29 OKT 2008
Oleh KF Othman
UMNO dan Buaya. Walaupun kelihatan agak pelik dan janggal, saya merasakan kaitan antara keduanya cukup kuat. Mengapa?. Kerana pada hemat saya, apabila kita berbicara tentang UMNO dan kepimpinannya maka tidak dapat tidak, kita tidak boleh lari daripada mengaitkannya secara langsung dengan cerita Buaya.
Ceritanya pendek saja. Ahmad Bedal mempunyai hobi yang aneh iaitu membela buaya. Apabila buaya yang di belanya itu besar dan semakin membesar, tiba-tiba buaya tersebut membaham salah seorang anak orang kampung. Seluruh kampung heboh, tapi biasalah - bisingnya sekejap sahaja. Akibatnya, Ahmad Bedal menerima tekanan dari seluruh kampung agar dibunuh sahaja buaya tersebut. Akhirnya, dengan hati yang sungguh berat Ahmad Bedal telah menembak mati buaya kesayangannya itu, tapi taklah pula sampai di bom berkecai sebagaimana model Mongolia tidak lama dahulu.
Tak sampai seminggu, Ahmad Bedal telah membeli seekor anak buaya yang lain. Anak Buaya tersebut sungguh comel kerana mempunyai bibir yang kelihatannya merah walaupun mempunyai gigi yang sungguh tajam. Anggapan Ahmad Bedal dengan usianya yang masih kecil, maka mustahil anak Buaya itu mampu akan membaham orang sesuka hati.
Dengan usia yang masih kecil itulah juga, Ahmad Bedal juga berfikir, dia akan mempunyai masa yang cukup panjang untuk 'mendidik' anak buaya tersebut agar menjadi 'baik' dan nampak 'kelihatan baik’. Namanya pun hobikan?. Akhir cerita, empat tahun selepas itu sekali lagi buaya yang disangka 'baik' dan mahu dididik menjadi 'lebih baik' itu mambaham mangsa lain – bukan setakat seorang malah lebih ramai...
Begitulah juga UMNO. Tidak berubah, takut berubah dan degil untuk berubah. Ketika Dr Mahathir dicemuh dan UMNO menjadi lemah akibat kes Datuk Seri Anwar Ibrahim 10 tahun yang lalu, ketika itu sebahagian besar orang-orang UMNO sendiri merasakan UMNO akan menjadi lebih kuat apabila Dr Mahathir berundur dan memberikan jawatan Perdana Menteri kepada Pak Lah. Pak Lah ketika itu dengan imej Mr Clean dan Mr Nice Guy dirasakan oleh seluruh ahli-ahli UMNO adalah paling layak sebagai calon Perdana Menteri. Tambahan lagi beliau merupakan cucu ulama – persepsi ini menjadi seolah-olah suatu tanda aras piawai untuk mengukur siapakah Pak Lah dan yang paling menariknya ialah persepsi inilah juga yang digunakan untuk mengukur kemampuan dan kebolehan Pak Lah.
Pendek kata, penggantian tampuk kerusi Perdana Menteri daripada Dr Mahathir kepada Pak Lah boleh kita analogikan sebagai Buaya yang lama digantikan dengan Buaya yang baru. Namun, apa yang malang ialah Buaya yang baru masih tetap dengan perangai Buayanya - yang tetap tidak berubah. Betullah kata orang, sifat Buaya tidak akan hilang walau ke manapun ia pergi. Sama ada cepat atau lambat, masa sahaja yang akan menentukan siapakah atau berapa ramaikah yang akan menjadi mangsa.
Apa yang sungguh lucu kerana dalam konteks negara kita sendiri, pilihan raya lima tahun sekali hanyalah digunakan untuk memilih sama ada Buaya segar ataupun sakit, Buaya yang gemuk ataupun kurus, Buaya yang menguntukan poket ataupun tidak dan Buaya yang pandai menggunakan duit rakyat ataupun tidak. Tetapi sekali lagi, ia tetap berkisar kepada Buaya dan sifat-sifatnya. Apabila Buaya itu tadi membaham mangsa yang terdiri daripada rakyat biasa, kita bising dan meraung-raung kesakitan. Tapi sekejap sajalah. Mungkin juga sifat kita ini ada kaitan dengan sikap Ahmad Bedal tadi yang mempunyai hobi aneh iaitu 'membela' buaya. Itulah namanya hobi kan?
4 tahun berlalu. Pilihanraya ke-12 juga telah berlalu. Umum telah mengetahui setakat manakah kemampuan dan kebolehan Pak Lah. Rupa-rupanya persepsi tidak membantu Pak Lah untuk menjadi Perdana Menteri yang berkesan kerana kemampuan dan kebolehan Pak Lah pada hari ini, telah begitu hebat dipertikaikan secara terang-terangan. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana umum telah mengetahui nasib Pak Lah yang tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO seterusnya sebagai Perdana Menteri.
Namun, dicelah-celah kekalutan ini, orang yang paling bernasib baik ialah timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam persaingan pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO setakat ini, nampaknya Datuk Seri Najib dilihat tokoh yang tiada tandingan. Kelihatan sebahagian besar ahli UMNO memberikan sokongan yang padu kepadanya untuk menduduki jawatan Presiden UMNO dan seterusnya Perdana Menteri.
Apa yang menariknya ialah senario inilah juga yang berlaku kepada Pak Lah ketika ingin menduduki jawatan sebagai Perdana Menteri tidak lama dahulu. Pak Lah mendapat sokongan yang cukup padu daripada ahli serta barisan kemimpinan parti dan komponennya ketika itu. Namun akhirnya terbukti pengganti Dr Mahathir yang disangkakan akan dapat mencapai rekod yang lebih baik daripada pendahulunya itu hanyalah merupakan harapan yang ternyata amat meleset dan sia-sia sekali.
‘Buaya’ yang terkenal dengan sifat kononnya ‘baik’, ‘alim’ dan mempunyai ilmu agama yang lebih sedikit daripada ‘Buaya’ terdahulu telah terbukti tidak tahu, layak dan pandai memerintah negara. Keadaan parti serta komponennya kucar kacir, keadaan ekonomi negara semakin teruk, kehidupan rakyat semakin tertekan akibat kerajaan mempunyai daya tindakan yang amat lembab dalam mengimbangi penurunan harga minyak dengan penurunan harga barang dan pelbagai lagi masalah yang membelenggu rakyat biasa.
Walaupun begitu, UMNO memang terbukti tidak berubah, takut berubah dan degil untuk berubah. Apabila ahli UMNO memilih Datuk Seri Najib yang merupakan Timbalan Perdana Menteri sekarang, akhirnya cerita Buaya akan berulang kembali. Buaya lama akan digantikan dengan Buaya yang baru. Pun begitu Buaya yang baru tidak menjamin akan menjadi pengganti yang lebih baik daripada Buaya yang lama.
Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah apa akan jadi kepada rakyat Malaysia apabila Buaya yang baru nanti akan lebih buruk rekodnya?. Malah apa yang lebih menakutkan ialah bakal ‘Perdana Menteri’ ini kelihatan ‘kotor dan tidak bersih’ sebelum menjadi Perdana Menteri lagi. Pak Lah yang kelihatan amat suci dan bersih sebelum mengganti Dr Mahathir pun akhirnya terbukti tidaklah sebersih dan sebaik yang disangkakan, apatah lagi Datuk Seri Najib yang telah sedia terpalit dengan pelbagai dakwaan yang cukup memalukan. Sanggupkah rakyat malaysia sekali lagi menanggung risiko untuk ‘membela’ seekor lagi Buaya?. Fikirkanlah secara serius.
Monday 27 October 2008
Tom-Tom Bak
Tom-Tom Bak
Posted on 27 OKT,2008
Di Malaysia racangan Tom-Tom Bak sangat popular kerana menengahkan bakat anak-anak kecil berlakun,menyanyi dan menari.Ibu dan ayah sangat gembira melihat bakat yang ada pada mereka.Itulah ibu dan ayah malaysia.
Tetapi di Indonesia ada satu rancangan mencungkil bakat anak-anak bukan menjadi penyanyi,perlakun dan penari tetapi sebagai penyampai ceramah agama. Ceramahnya pendek tidak sampai 10 minit,tetapi dapat menyampaikan dengan baik bahkan sampai mampu penonton mengalir air mata.
Salah seorang perserta ialah adik Nadia,sepanjang penyertaannya dalam program ini,tajuk utama beliau adalah mengenai neraka.Andainya saudara-saudari tidak mengalir air mata,sesungguhnya hati anda terlalu keras,perbanyakkan ishtifar dan bertaubat.
Racangan Hujah Malam Ini
Racangan Hujah Malam Ini
Posted on 27 OKT,2008
VS
Semalam di Pasti Bukit Rambai,Pas Melaka mengadakan sambutan Hari Raya, Ceramah undangan YB. saudara Saifudin Nasution.Dalam ceramah itu,saifudin kata Pihak hujah menjemput beliau sebagai Panel. selain beliau ahli panel lain ialah YB KJ (khairi Jamaluddin) sekiranya tiada perubahan malam ini jangan lupa saksikan Hujah.
UMNO Salah Guna Duit Derma
UMNO Salah Guna Duit Derma
Posted on 27 OKT,2008
Harian Metro - Melaka
ALOR GAJAH: Seorang nenek kesal kerana derma yang disalurkan orang ramai melalui tabung khas untuk membawa pulang anak bersama lima cucunya yang kini di Lombok, Indonesia, yang dilancarkan Biro Kebajikan Umno Kuala Linggi dua bulan lalu dan dianggarkan lebih RM1,000, kini hanya berbaki RM450 tanpa diketahui ke mana jumlah lebihan itu dibelanjakan.
Malah, nenek itu yang juga ibu tunggal, Salmah Mahmud, 67, dari Kampung Bukit Darat, Kuala Sungai Baru, dekat sini, tidak pernah menerima sesen pun wang berkenaan walaupun tabung itu ditubuhkan bagi membantu membawa anak keempat dan lima cucunya pulang ke negara ini selepas ada di Lombok kerana mengikut menantunya enam tahun lalu.
Salmah pernah bertanya mengenai jumlah duit dalam tabung itu, tetapi jawapan diberi sungguh mengecewakan dan kini dia tidak lagi mahu mengharapkan bantuan biro berkenaan.
“Biar saya cari wang sendiri. Saya tidak harapkan wang dari biro itu lagi. Cukuplah apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Salmah masih mengharapkan ada pihak sudi membantunya membawa pulang anaknya, Sanisah Abu Bakar, 33, dan lima cucunya yang mengikut suaminya pulang ke Lombok pada 2002 dan tidak pulang hingga kini.
“Sebagai ibu tunggal yang tidak bekerja, tidak banyak yang dapat saya lakukan untuk membawa pulang anak dan cucu saya. Anak saya sering menangis minta dibawa pulang ke sini selepas tidak tahan menanggung derita akibat kemiskinan di negara orang,” katanya.
Salmah berkata, anaknya tidak putus-putus menghubungi dan merintih supaya beliau berikhtiar mencari bantuan daripada mana-mana pihak yang sudi menolong.
“Saya sudah kering air mata mendengar rintihan Sanisah yang merayu mencari wang untuk membawa dia pulang,” katanya.
Menurut Salmah, dia terharu pada mulanya apabila ada pihak sanggup membantu menubuhkan tabung khas untuk membantunya sejak dua bulan lalu.
“Namun setakat ini jumlah sumbangan orang ramai hanya RM1,000, sedangkan jumlah diperlukan adalah RM10,000.
“Saya harap impian bertemu Sanisah akan menjadi kenyataan. Hampir enam tahun kami tidak bertemu, makcik sangat merindui mereka. Makcik harap ada orang bersimpati dengan nasib saya,” katanya.
Salmah berkata, Sanisah berkahwin dengan warga Indonesia, Widodo Cinasin, 35, yang berasal dari Lombok.
Selepas beberapa tahun berkahwin atas restu keluarga dan dikurniakan anak, Salmah meminta izin mengikut suaminya pulang ke kampung halamannya di Lombok bagi bertemu mentuanya.
“Pada mulanya Salmah dan suaminya hanya merancang bercuti selama sebulan selepas keluarga mentuanya teringin mahu menemuinya, tetapi tidak pulang sehingga kini,” katanya.
Sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank EONCAP di akaun 6089000578.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan negerin (Adun) Kuala Linggi, Ismail Othman, gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.
Saturday 25 October 2008
Bagaimana Melayari Internet dengan Kebersamaan Allah
Bagaimana Melayari Internet dengan Kebersamaan Allah
Posted on 25 OKT,2008
Oleh: Al-Ustaz Dr Fathi Yakan
Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan membina, memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduannya.
Saya harap tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat intraktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah keatas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia diseluruh pelusuk alam.
Benarlah seperti firman Allah taala yang bermaksud: Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul.(an Nisa’ 165)
Dan firman maksudnya: dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi keatas kamu.(al Baqarah 143).
Walaubagaimana pun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak dan merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.
Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali???.
Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini: “biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba, kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat merbahaya”.
Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya.
1. Sesaorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya.
2. Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret ke pada kamatianya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.
3. Kemudian duduk dihadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan didunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata. Disamping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru.
Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, kondisi dan setiap masa.
Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka… kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.
Merialisasikan kebersamaan ini sesaorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan “muraqabah” dan “muhasabah” serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi dizaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.
Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah s.a.w secara khusus mengenai zaman tersebut dimana orang yang siuman menjadi bingun, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia.(hadis riwayat Ahmad)
Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini.
Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh. Amin ya rabba al alamin.
Majlis Fatwa haramkan perlakuan 'pengkid'
Majlis Fatwa haramkan perlakuan 'pengkid'
Posted on 25 OKT,2008
KOTA BHARU: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan perlakuan 'pengkid' atau wanita yang menampilkan diri menyamai lelaki, sama ada dari segi pergaulan, tingkah laku atau berpakaian, haram dan dilarang sama sekali.
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini di kalangan remaja perempuan yang cenderung mengamalkan cara hidup lelaki.
Beliau berkata, fenomena pengkid kini menjadi isu serius di kalangan anak gadis di negara ini dan ia perlu ditangani segera supaya tidak berkembang hingga sukar diatasi pada masa depan.
"Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara. Remaja perempuan kini lebih gemar dengan cara hidup lelaki dari segi pergaulan, perbuatan dan berpakaian, yang bukan saja bertentangan dengan fitrah asal manusia, tetapi cuba menafikan hak kewanitaan.
"Lebih membimbangkan, pengkid kini sudah melarat kepada perkara berkaitan seksual dengan meminati sama sejenis," katanya pada sidang media selepas berakhirnya muzakarah dua hari Majlis Fatwa Kebangsaan di sini. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Sehubungan itu, Dr Abdul Shukor meminta ibu bapa, keluarga dan masyarakat menasihatkan golongan terbabit supaya tidak melakukan perkara menyalahi ajaran Islam.
Pada muzakarah itu, Majlis Fatwa turut mengarahkan Jakim menggubal kaedah khusus mengenai sumpah mubahalah atau sumpah laknat bagi mengelak kekeliruan dan kekacauan di kalangan umat Islam.
Beliau berkata, Majlis Fatwa mendapati ramai orang Islam tidak memahami isu dan konsep sumpah mubahalah, yang dilihat mampu memberi kesan buruk kepada masa depan ummah.
"Majlis Fatwa Kebangsaan mengesan banyak isu berkaitan sumpah muhabalah disiarkan akhbar dan mendapati ramai umat Islam tidak faham mengenai perkara ini.
"Kami menjangkakan peraturan berkaitan perkara itu terutama sumpah mubahalah, yang boleh menjurus ke arah memporak-perandakan umat Islam, akan dikeluarkan Jakim tidak lama lagi," katanya.
Selain itu, majlis berkenaan membuat ketetapan untuk membolehkan seseorang cucu mewarisi harta pusaka datuk mereka sekiranya bapa meninggal dunia terlebih dulu daripada datuk.
Beliau berkata, tindakan itu diambil demi menjaga kepentingan cucu terbabit sekiranya harta itu tidak diagihkan kepada mereka selepas kematian bapa.
"Bagi sesetengah cucu dari kalangan yang tidak berada, tentunya dengan sejumlah kecil harta yang diberikan oleh datuknya, dapat mengelak perkara yang tidak diingini menimpa ke atas mereka," katanya.
ps:Datuk Azlina Othman tidak termasuk,sebab sekarang ia seorang wanita.
Datuk Azlina mesti setuju...sesiapa yang berkenan bolehlah masuk meminang.
Seni Menyemai Cinta - Memberi Hadiah
Seni Menyemai Cinta - Memberi Hadiah
Posted 25 OKT,2008
Dalam dakwah dan juga kehidupan, manusia tidak lepas daripada berinteraksi dan setiap interaksi itu tentunya akan melahirkan sesuatu. Seorang daie di tuntut untuk memaksimakan interaksinya dengan orang lain supaya ianya berhasil untuk memacu dakwah di dalam masyarakat. Hadiah merupakan salah satu seni interaksi yang mampu melahirkan suatu impak yang luar biasa.
Dan terkadang, kita buntu bagaimana cara untuk kita mengenali dan mengetuk pintu hati seseorang? Memberi hadiah adalah satusatu daripada wasilahnya.
Dalam beberapa riwayat, Rasul sangat mendorong agar kaum Muslim saling memberi hadiah, bahkan meskipun hadiah itu secara tampak nilainya kecil. Beliau berkata, “…meski sebuah tungkai kambing.”
Manusia tewas dengan pemberian – Kerana adanya sifat ‘inginkan / meminta’
Kehidupan manusia tak pernah luput dari yang namanya keinginan ataupun meminta. Sedar atau tidak, kita memerlukan orang lain untuk memberi sesuatu yang kita perlukan. Begitulah kehidupan berputar.
Sejak lahir, seorang anak manusia meminta banyak dari ibunya. Mulai dari makanan, minuman, perlindungan, dan belaian kasih sayang. Ungkapan memintanya pun tidak mengenakkan: menangis. Itulah bahasa meminta pertama manusia.
Mungkin, inilah tabiat dasar manusia: selalu meminta. Mulai lahir, masa anak-anak, dewasa, dan akhirnya tua. Lagi-lagi, manusia meminta. Bahkan di akhir hayat pun tangis mengungkapkan bahasa asalnya ketika lahir: meminta. Manusia menangis kerana merasa tidak mampu mengurus dirinya sendiri, menjaga isteri, dan membiayai anak-anak. Ia menangis sebagai ungkapan meminta ke orang lain.
Memberi Hadiah – Mengukuhkan rasa cinta
Dalam satu hadith mursal, Imam Malik di dalam Al-Muwatha’ mengeluarkan hadis dari Atha’ ibn Abdillah al-Khurasani bahwa Rasul saw. juga pernah bersabda:
تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ، وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا، وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ
Saling berjabat tanganlah kalian, nescaya akan hilang rasa dengki; dan saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian kalian akan saling mencintai dan akan lenyap rasa permusuhan (HR Malik).
Hadis Malik ini statusnya adalah hadis mursal, karena Atha’ ibn Abdillah al-Khurasani adalah seorang tâbi’în.
Hadiah, mampu menumbuhkan rasa cinta, apabila pemberi memberi dengan ikhlas hati kepada penerima. Dan penerima selalunya akan rasa terhutang budi kepada pemberi, langsung melapangkan dadanya menerima pemberi, membuang rasa benci dan menyemai kasih sayang.
Bahkan hadith lain mengatakan;
« تَهَادَوْا تَحَابُّوا »
“Saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian saling mencintai” (HR al-Bukhari, al-Baihaqi, Abu Ya’la)
Kisah generasi pertama
Itulah yang pernah terjadi di generasi para sahabat Rasul. Seorang sahabat Anshar pernah menawarkan separuh hartanya kepada Abdurrahman bin Auf. Bahkan, ia siap menceraikan salah seorang isterinya untuk kelak dinikahkan kepada Abdurrahman bin Auf.
Sepertinya si sahabat Anshar menangkap sesuatu yang kurang dari sahabatnya yang ‘terusir’ dari Madinah itu. Kasihan Abdurrahman, ia meninggalkan segala-galanya di Mekah demi menunaikan perintah Rasul untuk berhijrah. Begitulah mungkin yang sempat terpikir sahabat Anshar. Tanpa menunggu diminta, ia langsung menawarkan. Sayangnya, penawarannya yang tulus ditolak Abdurrahman. Sahabat Muhajirin ini tidak mahu menyusahkan tuan rumah. Ia cuma menanyakan tempat di pasar, agar dia boleh berdagang.
Khatimah
Pelbagai manfaat boleh kita peroleh daripada pemberian hadiah;
1. Membina persepsi yang baik terhadap diri kita
2. Merapatkan jurang hubungan
3. Melaksanakan tanggungjawab sosial
4. Menyemai benih iman dan mendidik berinfak di jalan Allah
Berilah hadiah, tidak kira sebesar manapun materialnuya, yang penting ianya datang dari hati yang penuh ikhlas.
Mudahan infak yang keluar dari poket seorang mukmin, menjadi seperti apa yang di umpamakan Allah iaitu, diumpamakan seperti benih. Dari benih itu menjadi pohon kebaikan yang tumbuh besar dan akhirnya berbuah.
Maha Benar Allah swt. dalam firman-Nya di surah Al-Baqarah ayat 261, “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir. Pada tiap bulir: seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Allah swt. berfirman, “…Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-Hasyr: 9)
Friday 24 October 2008
Orang Melaka kena Tipu Lagi
Orang Melaka kena Tipu Lagi
Posted on 24 OKT,2008
blogger angkasanuri
Dalam lawatan ke Pusat Pelupusan Sampah Krubong di Melaka pada 7 September lalu Ketua Menteri, Datuk Ali Rustam menyalahkan kelewatan Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai punca kelewatan pembinaan Insinerator moden di Sungai Udang yang telah tertangguh sekian lama bagi menggantikan tapak berkenaan.
Hari ini lain pula jadinya, bukan nak ditutup malah tapak sedia ada akan dibesarkan lagi dari 54 ekar kepada 76 ekar, menjadi 76 ekar !( Sila rujuk dalam akhbar Melaka Hari ini bertarikh 23 Oktober 2008, mukasurat 2 )
Rakyat Melaka khususnya penduduk di Taman angkasanuri, Taman Merdeka, Taman Tambi Chik Karim dan penduduk sekitar Durian Tunggal nampaknya di tipu hidup-hidup oleh Ali Rustam.
Masalah bau busuk dari pusat pelupusan berkenaan mungkin terpaksa ditanggung tujuh keturunan lagi penduduk di kawasan berhampiran. Inilah sikap talam dua muka yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri yang kononnya menjaga dan memperjuangkan masalah rakyat.
Saya menyeru pengundi di kawasan berkenaan agar terus menolak pemimpin sebegini seperti yang ditunjukkan dalam PRU ke 12 yang lalu untuk memberi peringatan agar tidak menipu dan mempelekehkan rakyat.Kepada bakal pembeli rumah di taman perumahan yang berhampiran pusat pelupusan sampah ini anda mungkin belum terlambat untuk membatalkan hasrat membeli rumah di kawasan berkenaan.
PAS Melaka Punyai Tugas Menggunung
PAS Melaka Punyai Tugas Menggunung
Posted on 24 OKT,2008
Dr. Hamirdin
Asslamualaikum,
Melaka adalah satu satunya negeri yang masih lagi belum dapat ditembusi oleh PAS. Selama ini ramai orang menjangkakan negeri Johor sebagai benteng UMNO yang sukar ditembusi oleh PAS, tetapi dengan pimpinan dua pesuruh jaya berwibawa, Dr. Daeng Sanusi Mariok dan Prof. Dr. Datuk Mahfodz, negeri tersebut telah berjaya diterobos oleh PAS.
Apakah yang menyebabkan orang Melaka sukar memberi kemenangan kepada PAS sukar diketahui, tetapi segala kemungkinan boleh dicuba untuk diatasi oleh PAS Melaka. Saya rasa mutu gerakerja yang diamalkan oleh PAS Melaka masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan PAS di negeri negeri lain. Saya amati kepantasa dan ketangkasan bertindak masih lagi belum kelihatan di kalangan mereka yang berjuang di Melaka.
Ditambah lagi dengan mentaliti ketempurungan sebahagian pengundi menyebabkan keadaan nampaknya belum lagi mengisyaratkan sebarang perubahan.
Walau pun beberapa kedangkalan mental dipamirkan oleh pimpinan Melaka sekarang, seperti mendewa shahperikan Shah Rukh Khan, namun negeri itu sendiri sekarang berada pada kedudukan yang kukuh dari segi persepsi orang luar. Ini diperkuatkan dengan anugerah Melaka and George Town Historic Cities of the Straits of Melaka oleh UNESCO.
Ini adalah stu anugerah yang sangat berprestij dan boleh melambungkan kedudukan Melaka semakin tinggi pada kebanyakan perkiraan. Bermakna, anugerah ini boleh dijadikan modal kempen pilihan raya oleh BN, dan sudah tentulah ia akan menyukarkan lagi parti lawan untuk membidas modal tersebut. Parti lawan yang akan tercungap cungap untuk melawan modal yang sedemikian ialah PAS.
Saya masih ingat bagaimana bekas ustaz saya bertanding dalam pilihan raya 1995 di DUN Duyung, melawan Gan Boon Leong, berakhir dengan ustaz tersebut hilang wang deposit. Walau pun pengundi di DUN tersebut majoritinya Melayu dan Islam, namun apabila membuat pertimbangan politik, ahli bina badan mengatasi seorang ustaz. Percayalah, ketempurungan mental ini masih kekal hingga hari ini di kalangan pengundi Melaka.
Kalau Pulau Pinang telah jatuh ke tangan DAP, dan bersama itu jatuh bersamanya George Town Historic City, maka status baru George Town itu akan jadi modal kempen kepada DAP. Tetapi di Melaka, parti lawan pula terpaksa mencari jalan untuk menggoyahkan modal berkempen ini, yang pada ketika ini kelihatan sukar.
Percayalah PAS Melaka, anda boleh membuat kejutan di negeri Hang Tuah sekiranaya anda lakukan pelbagai perubahan, kemajuan dan merancakkan lagi pengatur caraan gerakerja. Sekarang inilah masanya untuk melakukan semua itu.
Sekarang ini masanya anda tukar ke gear lebih tinggi. Hang Tuah telah tiada. Tapi tuah boleh menyebelahi anda.
Zakat Kepada Orang Bukan Islam
Zakat Kepada Orang Bukan Islam
Posted on 24 OKT,2008
Baru-baru ni kecoh di dewan Selangor apabila seorang Ahli Dewan YB. Mohd Nasir dari PKR menanyakan soalan adakah orang bukan islam boleh di beri zakat.Habis hestria orang UMNO mengatakan PR hendak memberi wang zakat kepada bukan islam. Apakah syarat sah zakat mesti di beri kepada orang islam? Apakah apabila kita menderma atau membantu kepada orang bukan islam yang susah maka kita tidak dapat pahala?
Sebenarnya lebih setahun yang lepas Dr Mohd Asri bakal mantan Mufti Perlis pernah menulis isu ini dalam Mingguan Malaysia menerusi ruangan Minda Mufti.
Antara yang boleh di petik:
“Kita sering mendapat maklumat adanya persatuan atau gerakan agama-agama tertentu yang memperuntukkan wang yang banyak bagi menawan orang ramai agar tertarik dengan mereka. Maka timbullah kisah-kisah orang menukar agama kerana termakan budi. Mengapa kita bising dan hairan. Sebenarnya, Islam melalui zakat telah lama membuat pemberian ini di bawah peruntukan golongan muallaf.
Muallaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak. Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat tersebut menjinakkan hati mereka kepada Islam. Juga para pemimpin yang lemah iman. Diharapkan dengan pemberian itu menguatkan iman mereka. Juga pemimpin yang kuat iman namun mempunyai saingan dengan kaum kuffar. Dengan pemberian itu diharapkan pesaing mereka akan tertarik kepada Islam.
Bahkan untuk golongan bukan Islam yang diharapkan pemberian zakat dapat mengelakkan mereka menyakiti umat Islam dan akan suka kepada agama ini. Dr Yusuf al-Qaradawi mengumpulkan peluasan ini dalam karyanya Fiqh al-Zakah. Jika hal ini dilihat dengan luas betapa kita dapat menggunakan zakat untuk berbagai aktiviti dakwah agar bukan muslim tertarik kepada Islam. Termasuklah memberikan bantuan kepada mereka yang cuba dipengaruhi agar murtad. Dengan pemberian zakat, boleh kembali menguatkan semangat Islam mereka.
Malangnya, bukan sahaja tafsiran kita tidak luas tentang muallaf ini, bahkan ’saudara baru’ yang sedia ada pun tidak dijaga dengan baik oleh wang zakat. Sehingga ada yang keluar semula kerana tidak mendapat perhatian dari masyarakat Islam. Selepas itu kita hairan kenapa ada orang ingin murtad!!. Sepatutnya persatuan-persatuan saudara baru diberikan peruntukan zakat yang banyak agar wajah kita yang tercemar dek kisah ramai yang ingin murtad bertukar menjadi kisah ramainya orang yang ingin menganut Islam”.
Thursday 23 October 2008
Tiada Lagi Kidungmu
Tiada Lagi Kidungmu
Posted on 23 OKT,2008
KUALA LUMPUR: Bekas gitaris kumpulan Lefthanded, Abdul Samad Mian 45, beliau yang lebih dikenali sebagai Samad meninggal dunia kira-kira jam 12:45 tengah hari tadi.
Difahamkan Allahyarham terjatuh dipejabat abangnya dan selepas itu dikejarkan ke Hospital Amapng.
Bagaimanapun ketika tiba di hospital berkenaan, pihak hospital mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Norliza Sumairi, dan empat orang anak berusia 6 hingga 18 tahun.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Kelang, Selangor patang ini.
Allayarham bersama kumpulan legenda rock terkenal sejak awal penubuhannya pada tahun 1985 lagi.
Sejak tidak aktif bermain muzik bersama Lefthanded, Samad lebih banyak menumpukan masanya sebagai pemuzik undangan selain menjalankan perniagaannya sendiri.
Pada masa yang sama, anak kelahiran Johor Bahru ini juga mengisi kerjayanya sebagai pensyarah sambilan dalam bidang petikan gitar moden di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak empat tahun lalu.
Sepanjang beliau menjadi anak seni, Samad pernah memenangi Album Rock Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1995.
Menurut bekas vokalis lefthanded, Nash, Allahyarham dipercayai meninggal dunia selepas terjatuh.
Nash yang dihubungi mStar online berkata beliau tidak dapat memastikan punca sebenar kematian teman rapatnya itu.
"Saya tak dapat pastikan punca sebenar kematian beliau. Saya cuma diberitahu Allayarham terjatuh. Ini pun saya sedang dalam perjalanan ke hospital untuk melihat jenazah arwah,"katanya kepada mStar Online hari ini.
MB Kedah Hebat Hutang 2.9b sekarang Tinggal 509j
MB Kedah Hebat Hutang 2.9b sekarang Tinggal 509j
Posted on 23 OKT,2008
MB Kedah Ustaz Azizan Razak seorang hebat, hutang kerajaan BN yang di tinggalkan kepada kerajaan PR sebanyak RM2.9b telah di kurangkan sehingga hutang kerajaan negeri Kedah kepaada kerajaan pusat sebanyak RM509j dalam masa 7 bulan sahaja.
Apakah resepi agaknya di gunakan oleh kerajaan Kedah, Datuk Ali Rustam kena belajar dengan Ustas Azizan bagaimana hendak mengurangkan hutang bukan menambahkan lagi hutang kerajaan negeri melaka kepada kerajaan pusat.
TASEK GELUGOR, 21 Okt (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah sedang bertungkus lumus membayar hutang peninggalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebanyak RM2.09 billion kata Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Ustaz Hasan Abdul Razak.
Menurutnya, sekarang ini hutang Kerajaan Kedah telah menurun dan tinggal RM509 juta dalam masa tujuh bulan memerintah dan beliau pasti ia boleh diselesaikan tidak lama lagi.
"Kerajaan BN dulu tinggalkan hutang kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah RM2.09 billion tetapi atas dasar kebijaksanaan Menteri Besar dan exconya kini hutang Kedah tinggal RM509 juta sahaja," jelasnya ketika ditanya selepas menyampaikan ceramah sempena jamuan Aidilfitri PAS Kawasan Tasek Gelugor di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Empat kelmarin.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Razak terpaksa memikul bebanan hutang yang terlalu banyak sehingga kadang-kadang tidak sempat untuk melaksanakan tugas turun padang secara agresif ke-11 daerah seluruh Kedah, katanya.
Rakyat latanya, kena faham kedudukan kerajaan sekarang ekoran peninggalan BN umpama rumah yang usang dan kosong di mana kerajaan baru kena membeli semua peralatan rumah sebagai penyeri termasuk mengecatnya semula agar kelihatan cantik dan indah.
"Inilah tugas kami sekarang dan Insya-Allah selepas ini kita boleh bergerak sebagaimana biasa setelah hutang dapat dikurangkan," terangnya yang juga bekas Yang Dipertua PAS Kulim Bandar Baru.
Antara pendekatan yang sedang dibuat untuk membantu melangsaikan hutang itu kerajaan memperkenalkan projek pertanian yang dilaksanakan sendiri oleh anak syarikat Kerajaan Negeri contohnya di Sik.
Di sini sebuah koperasi di bawah Syarikat Kumpulan Ladang berjaya memberi imbuhan kepada keseluruhan ahlinya seramai 580 orang sebanyak RM4,800 seorang menjelang Aidilfitri lalu, katanya.
Katanya, pemberian itu berdasarkan keuntungan syarikat RM3.4 juta di mana dua pertiga diberikan kepada ahli manakala satu pertiga diserahkan kepada koperasi semula.
"Syarikat Kumpulan Ladang di Sik nyata menjadai contoh terbaik dalam usaha kerajaan melaksanakan pendekatan mendapatkan wang tambahan untuk tujuan melangsaikan hutang.
"Selain kerajaan memperolehi dana ahli koperasi itu juga terkejut apabila mereka mendapat imbuhan besar yang tidak pernah diterima semasa di bawah Kerajaan BN," kata beliau seterusnya.
Selain itu katanya, ada satu lagi usaha yang sedang dalam proses penjualan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membayar balik hutang melibatkan RM1.5 billion.
Katanya, Kerajaan Kedah sudah tiada pilihan sehingga terpaksa mencari jalan walaupun menjual aset Kedah kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata tidak mahu membebankan rakyat.
Program anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor itu juga menjemput Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kasim untuk memberikan penerangan khusus perkembangan di parlimen dan perjalanan Ketua Umum Parti Keadilan (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Putrajaya.
Ramai yang tertanya-tanya bila lagi Anwar akan memimpin negara kerana tarikh yang diberikan kononnya untuk memegang kuasa acap kali tertunda.
"Rakyat kena fikir nak jatuhkan sebuah kerajaan yang telah berakar umbi memang sukar bukan mudah sepertimana disangkakan. Bila pokok berjaya ditebang tentu akar tunjangnya masih kukuh. Kita kena korek pula akarnya," tambahnya.
Wednesday 22 October 2008
Ucapan Pembentangan Bajet 2009, Kerajaan Negeri Selangor
Ucapan Pembentangan Bajet 2009, Kerajaan Negeri Selangor
Posted on 22 OKT,2008
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
dan salam sejahtera.
Segala Pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Tiada permusuhan melainkan terhadap mereka yang zalim. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, penghulu para rasul dan pemimpin para muttaqin serta kepada keluarga dan para sahabat Baginda.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang yang bertajuk “Suatu Enakmen untuk menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi tahun 2009, dan memperuntukkan wang itu bagi perkhidmatan pada tahun tersebut” dibaca pada kali kedua.
Terima kasih.
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama hadir di dalam Dewan yang mulia ini. Insya-Allah, dengan inayat-Nya, dalam beberapa detik lagi saya membentangkan Bajet Tahun 2009, iaitu perbelanjaan bagi pengurusan dan pembangunan negeri Selangor, bagi merealisasikan matlamat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat untuk “merakyatkan ekonomi Selangor” menerusi kerangka pentadbiran yang telus (transparent), berhemah (prudent) dan berhemat (thrifty).
1. Sesungguhnya Bajet 2009 ini memberi pengertian yang amat besar kepada kita semua oleh sebab ia merupakan bajet sulung yang dibentangkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Bajet ini juga merupakan bajet tahun keempat dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-9. Namun, Bajet 2009 ini berlainan daripada Bajet 2008 yang dibentangkan pada tahun 2007, kerana terdapat pelbagai program dalam agenda “merakyatkan ekonomi negeri Selangor”. Antaranya; takaful untuk warga emas, bantuan wang untuk pelajar universiti, bantuan air percuma, pengendalian industri pasir untuk membantu golongan berpendapatan rendah, dan seterusnya memastikan sistem pengagihan dilaksanakan dengan cekap, adil, telus dan berhemah.
1.
Kerajaan Negeri sekarang juga tidak lagi bersedia memberikan projek-projek hartanah secara usaha sama sebagaimana yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri terdahulu, iaitu pemberian tanah percuma dengan perkongsian keuntungan pada nisbah 70:30. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sekarang mendapati usaha sama yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri terdahulu ternyata sentiasa merugikan Kerajaan Negeri kerana sekiranya jualan tanah dilakukan secara terus atau Kerajaan Negeri membangunkan sendiri projek perumahan di atas tanah tersebut, maka keuntungan yang diperolehi bakal berganda sebanyak tujuh atau lapan kali. Contohnya projek hartanah usaha sama Canal City, yang melibatkan pemberian lebih 2,000 ekar tanah secara imbal balik, didapati tidak memberi keuntungan yang sewajarnya kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana hanya memberikan pulangan tunai sebanyak RM22 juta dalam tempoh melebihi lima tahun. Padahal, jikalau tanah tersebut dijual terus, keuntungan kepada Kerajaan Selangor dianggarkan melebihi RM170 juta. Malahan, kawasan yang terlibat mendapat prasarana (infrastructure) yang sesuai untuk pembangunan dan pengurangan risiko bencana banjir seratus tahun daripada limpahan Sungai Langat.
1. Bajet 2008 oleh Kerajaan Negeri dahulu didapati lebih tertumpu pada agenda perindustrian dan ekonomi semata-mata. Daripada segi pelaksanaannya, Bajet 2008 didapati kurang berhemah kerana perbelanjaan sosial bagi kebajikan rakyat hanya diserahkan kepada ihsan Kerajaan Persekutuan. Sikap ini berlawanan daripada slogan negeri Selangor dalam pentadbiran Barisan Nasional bagi menjadikan Selangor Negeri Maju, Bersih dan Berkebajikan. Pada pandangan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat, sebuah negeri maju seperti Selangor, sepatutnya berbelanja dengan tumpuannya terhadap kebajikan rakyat sebagaimana praktik di negara-negara yang mengisytiharkan mereka maju. Walau bagaimanapun, oleh sebab rakyat dan syarikat-syarikat di negeri Selangor juga menyumbangkan cukai pendapatan dan cukai-cukai lain yang dianggarkan berjumlah RM30 bilion kepada tabung Kerajaan Persekutuan, maka wajarlah Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengalirkan perbelanjaan sosial dan pembangunan negara untuk rakyat Selangor. Cara pengagihan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Selangor pula perlu adil dan tidak bergantung pada fahaman politik atau ras.
1. Menurut Perlembagaan Persekutuan, perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang dimeterai dalam Perlembagaan Persekutuan, menyatakan hak Kerajaan Persekutuan mengumpul cukai di negeri-negeri, maka tanggungjawab Kerajaan Persekutuan mengeluarkan perbelanjaan bagi pembangunan Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Kerajaan Selangor tidak menolak konsep “equalization formula” (dengan izin), yang menggunakan kaedah perbelanjaan pembangunan dilebihkan di negeri-negeri yang ketinggalan daripada segi per kapita. Sebaliknya, kita mahukan pelan pembangunan yang tuntas dan dilaksanakan dengan cekap.
1. Pada masa sekarang, negeri-negeri dalam Persekutuan dan juga rakyat sedang mengalami bencana akibat kenaikan harga beberapa utiliti atau kemudiahan asas yang dihasilkan menerusi penswastaan yang secara tidak adil mengenakan tarif yang tinggi kepada rakyat untuk air, elektrik dan tol lebuh raya. Tibalah masanya Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyusun semula struktur penswastaan yang tidak memberi khidmat sempurna dan harga yang berpatutan untuk rakyat. Di samping itu kita hendak menghentikan keadaan urus niaga yang memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat yang tidak menanggung apa-apa risiko operasi. Contohnya, dalam penstrukturan semula industri air negeri Selangor. Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sudahpun mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan masalah dan situasi yang dinyatakan.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Selangor bukanlah sebuah negeri yang masih membangun yang perlu menumpukan sepenuhnya perbelanjaan bagi meningkatkan prasarana atau infrastruktur. Sebaliknya, Selangor merupakan sebuah negeri maju yang berupaya menumpukan sebahagian bajetnya untuk mengagihkan kekayaan kepada rakyat Selangor secara terus. Dalam hubungan ini, Kerajaan Pakatan Rakyat mempersoalkan penjanaan kemajuan tanpa pengertian kepada rakyat yang menjadi amalan dalam pelaksanaan ekonomi oleh Kerajaan Barisan Nasional.
1. Sehubungan ini, kita perlu menerima hakikat, bahawa Selangor mencapai status negeri maju pada tahun 2005 lalu, bukanlah disebabkan oleh polisi atau dasar kerajaan Barisan Nasional semata-mata. Pencapaian tersebut, sebaliknya lebih dirangsang oleh arus pembangunan serantau yang mendorong pelabur-pelabur asing, antaranya Intel, Motorola, Sony dan Matsushita melabur di Selangor. Ini bermakna, arus pembangunan global yang menyebabkan Selangor terus membangun walaupun terdapat banyak penyelewengan dan pengurusan yang tidak amanah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional dahulu baik secara sedar mahupun secara tidak sedar. Di Selangor sendiri terdapat contoh-contoh yang memperlihatkan pengagihan tersebut diragukan kerana tender yang tidak telus dan menyebabkan kenaikan kos pembinaan prasarana seperti jalan raya dan bangunan-bangunan kemudahan awam. Pada pandangan Pakatan Rakyat pembangunan sedemikian bukan bertujuan murni untuk rakyat terbanyak.
1. Disebabkan terdapat penyelewengan dalam projek usaha sama hartanah di negeri Selangor, Kerajaan Negeri sebelum ini mungkin sudah kehilangan RM30 bilion dalam tempoh 30 tahun lalu. Hal ini disebabkan oleh projek usaha sama dan pemberian tanah percuma secara imbal balik yang dilakukan sebelum ini, berbanding jika dilakukan penjualan tanah secara langsung atau dibangunkan sendiri oleh Kerajaan Negeri. Ia bermakna, jikalau tiada rasuah dan penyelewengan, sudah tentu negeri Selangor menjadi lebih maju daripada sekarang. Tegasnya, seandainya Selangor ketika dalam penguasaan Kerajaan Umno dan Barisan Nasional dahulu diurus dengan cekap seperti Singapura, dan jikalau tampuk pentadbirannya lebih telus, adil, berhemah dan berhemat, maka sudah tentu pendapatan per kapita negeri Selangor menjadi empat kali ganda daripada sekarang.
1. Expectation (dengan izin) atau harapan rakyat sekarang juga lebih tinggi daripada dahulu. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sekarang sudah mula “merakyatkan ekonomi” Selangor yang tidak pernah dibuat dahulu dan kita sekarang berusaha membaiki kelemahan pentadbiran negeri Selangor yang lalu. Antara kelemahan Kerajaan lalu: (i) Tidak mentadbir dengan telus, ikhlas dan bertanggungjawab. Contohnya, memberi tanah percuma, murah atau secara imbal balik yang menghasilkan keuntungan berlebihan kepada individu-individu dan syarikat swasta; (ii) Sasaran setinggan sifar yang bukan untuk membantu membina rumah untuk komuniti setinggan tetapi tujuan sebenarnya supaya mengosongkan tanah berkenaan untuk diberi kepada syarikat swasta melalui projek usaha sama hartanah. Walhal pampasan kepada setinggan tidak mencukupi, dan jika dahulu mereka menginap di atas tanah kini mereka tinggal di atas awan! (iii) Pemberian kontrak berterusan kepada syarikat-syarikat yang tidak berupaya melakukannya dengan cekap dan sempurna. Perbuatan seumpama ini sebenarnya tidak memberi peluang yang banyak kepada kaum Melayu dan bumiputera dalam bidang perniagaan.
1. Pentadbiran baharu negeri ini juga hendak memastikan syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri, atau “government linked companies - state GLCs” (dengan izin), bukanlah wadah atau platform untuk memberi kontrak kepada kroni-kroni atau rakan-rakan politik. Sebaliknya, kita mahu memastikan pengurusan dilaksanakan secara profesional supaya Ketua Pegawai Eksekutif bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat bukan sebagaimana amalan sebelum ini, yang segala kesalahan diletakkan pada Dato’ Menteri Besar Selangor. Sehubungan ini, sejak Pakatan Rakyat memerintah, Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat milik kerajaan negeri atau state GLCs ini, apabila tidak dapat menjawab secara rasional projek-projek usaha sama hartanah dengan swasta yang, (dengan izin), lopsided against the state, seperti penyerahan tanah melalui, dengan izin, “Power of Attorney” dan sebagainya, mereka, tanpa segan dan silu, sanggup terus mengatakan “Menteri Besar” dahulu yang menyuruh mereka berbuat demikian. Perkara seumpama, terutamanya berlaku dalam State Secretary Incorporated, PNSB, PKPS dan PKNS. Kerajaan sekarang masih mengekalkan Ketua-Ketua Eksekutif ini kerana mahu mereka menebus kesalahan lalu dengan mendapatkan kembali wang yang hilang akibat penyelewengan. Kita mahu menamatkan khidmat mereka sekiranya mereka tidak dapat mengembalikan hasil yang lesap akibat penyelewengan dan berkemungkinan besar dikenakan tindakan susulan.
1. Kerajaan Negeri juga sudah mengeluarkan arahan yang melarang wakil-wakil rakyat atau ahli-ahli dewan undangan negeri daripada mempengaruhi keputusan Jawatankuasa Bertindak Tanah di daerah-daerah. Ia bermakna wakil-wakil rakyat tidak mempunyai ruang untuk menyeleweng dalam urusan tanah. Begitu juga dengan pemilihan tender, kita mengeluarkan ahli-ahli majlis yang dilantik daripada Jawatankuasa Panel Tender majlis-majlis daerah bagi mengelak sangkaan atau tohmahan menyeleweng. Namun begitu, saya banyak mendengar aduan yang menyatakan terdapat pegawai-pegawai kerajaan era Kerajaan dahulu, yang sebahagiannya masih duduk dalam panel tender, didapati terus melakukan penyelewengan. Oleh itu, Kerajaan sekarang beusaha membaiki sistem panel tender di majlis-majlis daerah dengan mengarahkan supaya mesyuarat panel tender diadakan secara terbuka kepada orang ramai. Keputusan juga dibuat dalam mesyuarat terbuka serta penyerahan borang tender dimasukkan ke dalam kotak lut sinar dan secara terbuka supaya orang ramai boleh memerhatikan prosedur tersebut dengan telus.
> Sebelum meneruskan ucapan, izinkan saya Tuan Speaker, bagi memaklumkan kepada orang ramai, iaitu, ucapan pembentangan Bajet 2009 ini boleh juga diikuti secara langsung menerusi web rasmi Kerajaan Negeri Selangor, di laman: www.selangor.gov.my. Terima kasih.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Sesungguhnya, usaha pentadbiran baharu kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bukan setakat mengekalkan taraf “negeri maju”. Sebaliknya, kita bersedia bekerja keras bagi “memewahkan rakyat Selangor” menerusi pelaksanaan beberapa program dalam agenda “merakyatkan ekonomi Selangor”. Tegasnya, ketika kerajaan sekarang berusaha memastikan negeri Selangor terus maju dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, maka dalam masa sama kerajaan sekarang juga mahu memastikan rakyat hidup dalam serba cukup di samping menikmati kemakmuran dan kesejahteraan. Walhal, seandainya Kerajaan Negeri yang lepas pun benar-benar mentadbir untuk kebajikan rakyat, maka sudah tentulah tidak ada puluhan ribu rakyat Selangor yang masih dalam keadaan “kais pagi makan pagi kais, petang makan petang” di beberapa daerah dan mukim dalam negeri Selangor yang kita sayangi ini.
1. Sehubungan itu, dalam keadaan apa pun, kerajaan sekarang tetap meneruskan usaha memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Justeru itu, kita para pemimpin yang dipilih oleh majoriti rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, mesti bersedia bersatu dan ikhlas bersama rakyat dalam usaha menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran yang bakal mendatang. Saya berkeyakinan tinggi sekiranya semangat bersatu dan sikap bertolak ansur diamalkan antara kita, negeri Selangor mampu terus gah mengharungi segala cabaran lantaran Allah melindungi raja dan rakyatnya. Sikap ini bersesuaian dengan firman Allah, dalam Surah Yunus, Ayat 44, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri”.
1. Sebagaimana dimaklumi oleh semua ahli Yang Berhormat, fenomena tsunami politik melanda Malaysia pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Lantas, 9 Mac 2008 merupakan tarikh keramat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah Kerajaan Negeri Selangor. Mandat oleh rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggotai Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Parti Demokratik Rakyat Malaysia (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan suatu amanah bagi barisan kepimpinan Pakatan Rakyat dalam usaha memikul tanggungjawab memimpin, merancang dan melaksanakan pembangunan ekonomi negeri dengan telus untuk manfaat rakyat negeri ini khususnya.
1. Pentadbiran Kerajaan baharu Pakatan Rakyat ini merupakan titik tolak memacu perubahan bagi pentadbiran yang lebih telus, adil, amanah dan berhemah. Tindakan ini merupakan cabaran yang perlu disahut dan dibuktikan kepada rakyat yang mengharapkan pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Rakyat agar segera membawa kemakmuran, kesejahteraan dan keprihatinan bagi kebajikan rakyat secara menyeluruh.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Seterusnya, bagi memperincikan konsep dan dasar yang merangkumi usaha “memajukan negeri dan memewahkan rakyat Selangor”, maka, izinkan saya membentangkan hujahan yang banyak sedikit merangsang tumpuan bajet negeri Selangor bagi tahun 2009. Antaranya, perkembangan ekonomi negara secara umum, prestasi ekonomi negeri Selangor, dan perancangan serta strategi pelaksanaan program-program dalam agenda “merakyatkan ekonomi negeri Selangor” demi pencapaian matlamat Selangor Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera.
1. Pada keseluruhannya, prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahap yang dijangkakan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun pertama mencatat pertumbuhan 7.1%, dan 6.3% bagi suku tahun kedua. Petunjuk ini meletakkan KDNK bagi setengah tahun pertama 2008 di tahap 6.7%. Meskipun negara tidak terkecuali ditimpa kesan negatif disebabkan harga minyak yang tidak menentu, dan kelembapan ekonomi beberapa negara maju terutama di Amerika Syarikat, namun, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 5.7 peratus pada tahun ini. Bagi pihak pentadbiran negeri Selangor, kita sebaliknya menganggarkan pertumbuhan KDNK negeri Selangor pada kadar 5.9 peratus pada tahun 2008 iaitu lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan negara Malaysia. Hal ini, antara sebabnya kerana sejak berkuasa Kerajaan Negeri sekarang mengambil langkah berhati-hati dalam berbelanja, agar Selangor terhindar daripada menerima kesan kemelesetan ekonomi yang ketara.
1. Namun demikian, apabila memperkatakan prestasi ekonomi Selangor, kita sedia maklum perkaitannya dengan keadaan ekonomi global yang kini semakin tidak menentu terutama prestasi ekonomi Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Timur Tengah. Hal ini disebabkan berlakunya kenaikan dan penurunan harga minyak dunia pada paras yang tidak menentu, di samping krisis bekalan makanan dunia yang semakin meruncing. Harga minyak dunia pernah mencapai paras USD$147 setong. Untungnya, kini harga bahan mentah tersebut sekarang berada di bawah paras USD$70 setong.
1. Situasi ini dikhuatiri sudah memberi impak terhadap kenaikan harga barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, gula, telur ayam dan beberapa barangan lagi. Kesan kenaikan harga barangan ini cukup membebankan rakyat kita, khususnya rakyat berpendapatan kurang RM1500 sebulan. Nanti saya huraikan perkara ini lagi apabila kita memperkatakan garis kemiskinan di negeri Selangor.
1. Seterusnya, disebabkan wujudnya sentimen buruk pasaran saham dunia dan krisis kewangan global, maka implikasinya menimpa Indeks Komposit Kuala Lumpur apabila ia jatuh ke paras bawah 900 mata, iaitu yang terburuk dalam tempoh dua tahun. Sila rujuk Gambar Rajah 1. Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan menyatakan ia tetap berusaha keras bagi memastikan pembangunan terus berkembang melalui kemasukan pelabur-pelabur asing. Malahan, Kerajaan Persekutuan “dengan bongkaknya” menolak cadangan Pakatan Rakyat dalam Sidang Parlimen pada 14 Oktober lalu supaya dilakukan segera “semakan” terhadap andaian-andaian Bajet 2009 yang dibentang pada Ogos lalu, kerana barisan kepemimpinan Pakatan Rakyat mendapati beberapa angka, fakta dan unjuran dalam Bajet 2009 Kerajaan Persekutuan “sudah jumud” berdasarkan situasi kemelesetan ekonomi global sekarang. Dalam hal ini, di Selangor, kita melipatgandakan usaha menarik pelabur-pelabur asing yang semakin yakin datang melabur sejak perubahan kerajaan pemerintah dengan pertambahan pelabur luar yang mendadak. Contohnya, pelabur Jerman, QCell, yang melabur RM5.0 bilion dalam teknologi solar di Taman Perindustrian Bukit Baja, Sepang tahun ini.
Your browser may not support display of this image.
Gambar Rajah 1: Graf Indeks Komposit Kuala Lumpur
1. Pada tahun 2008, ekonomi negeri Selangor masih mengembang, melebihi pertumbuhan ekonomi negara walaupun terdapat masalah hutang subprima atau “subprime loans” (dengan izin) yang berpunca akibat kejatuhan harga hartanah di Amerika Syarikt seperti Bear Stearns, Lehman Brothers, Royal Bank of Scotland, dan beberapa instistusi kewangan lagi. Dijangkakan, krisis kewangan global ini terus berpanjangan dalam tahun 2009 dan mungkin sehingga tahun 2010. Malahan, pada masa ini para penganalisis ekonomi global berpendapat kita masih belum melihat (dengan izin), “the bottom of the global financial crisis’. Justeru itu, kerajaan sekarang menjangkakan pertumbuhan ekonomi Selangor tahun 2009 berkembang pada kadar 5.7% berbanding 5.9% pada 2008. Namun demikian, angka ini perlu dipantau dan disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan prestasi ekonomi negeri berada pada landasan yang betul.
1. Mengikut unjuran Malaysian Institut of Economic Research (MIER) pertumbuhan ini meningkatkan nilai tambah KDNK negeri pada harga malar tahun 2000 kepada RM118.2 bilion pada 2009, berbanding hanya RM111.9 bilion pada 2008. Pendapatan per kapita rakyat bagi 2009 diramal meningkat kepada RM22,062 daripada RM22,825 pada 2008. KDNK per kapita pariti kuasa beli (PPP) juga dijangka meningkat kepada USD19,798 pada 2009 berbanding USD18,836 pada 2008. Kita berharap prestasi ini dapat ditingkatkan dan digunakan dalam rancangan pembangunan yang membahagiakan seluruh rakyat.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Di negeri Selangor, tidak dinafikan, sektor perindustrian merupakan penyumbang utama terhadap kerancakan ekonomi negeri, dan malah ia merupakan nadi pertumbuhan ekonomi negara. Kita berharap sektor ini terus dipacu bagi meningkatkan lagi prestasinya. Kita menjangkakan sektor perindustrian ini menyumbang lebih 58% dalam KDNK negeri pada 2008. Nilai sektor perkilangan ini dijangka meningkat ke RM71.7 bilion pada tahun 2009 berbanding RM68.6 bilion pada tahun 2008 iaitu pertubuhan pada kadar 4.5%.
1. Kita memastikan negeri Selangor menjadi tumpuan utama pelabur-pelabur dari dalam dan luar negeri sebagai destinasi pelaburan yang menguntungkan. Ini terbukti apabila jumlah pelaburan dalam dan luar negeri yang mengalir ke negeri Selangor dijangka kekal melebihi RM8 bilion setahun. Saya yakin dengan tadbir urus kerajaan yang cekap dan telus (good governance) yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat, Selangor mampu membawa masuk pelaburan baharu berjumlah lebih RM12 bilion setahun.
1. Nilai pelaburan yang berjaya diperoleh oleh Selangor pada tahun 2007, berjumlah RM11.18 bilion. Perangkaan ini merupakan jumlah pelaburan tertinggi yang pernah diterima sejak tahun 1987. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM4.19 bilion (37.5%) pelaburan asing dan RM6.99 bilion (62.5%) pelaburan tempatan. Prestasi ini terus menunjukkan perkembangan positif pada 2008, iaitu sehingga Jun, nilai pelaburan mencatatkan sebanyak RM5.88 bilion melalui nilai pelaburan asing yang tinggi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berusaha mensasarkan pelaburan bagi tahun 2009 melebihi RM12 bilion dan yakin dapat mencapai sasaran pelaburan melebihi RM35 bilion dalam tempoh RMK-9.
1. Dalam hal ini, kerajaan Pakatan Rakyat mahu usaha yang lebih agresif wajar digembleng bagi mencari pelabur-pelabur di negeri Selangor. Antaranya, peraturan- peraturan yang sedia ada perlu dimudahkan bagi keselesaan para pelabur. Sikap negatif dalam kalangan kita yang hanya menunggu pelaburan datang bergolek tanpa berusaha gigih, perlu segera dipositifkan. Justeru itu, saya mengarahkan Selangor State Investment Corporation (SSIC) supaya melibatgandakan usaha menarik pelabur-pelabur asing dengan merangka beberapa strategi baharu seperti Lembah Klang 2 dan tarikan pelabur-pelabur dalam industri teknologi tinggi baharu seperti teknologi solar. Konsep hub serantau termasuk menjadikan Selangor hub kewangan Islam, hub pendidikan tinggi dan sekolah swasta, hub industri solar, hub industri halal, hub akuakultur moden dan sebagainya, boleh dikaji dengan lebih mendalam dan ditingkatkan lagi oleh SSIC. Selain meneruskan program sedia ada dan penambahbaikan dalam strategi menarik pelaburan, Kerajaan Negeri juga menubuhkan IPMG (Industrial Park Management Group). Sebagai permulaan tiga (3) kawasan dikenal pasti bagi penubuhan IPMG ini, iaitu (i) Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang; (ii) Kawasan Perindustrian Seksyen 15, Shah Alam, dan (iii) Taman Sains Selangor, Kota Damansara. Sekiranya berjalan lancar, IPMG ini boleh diperluas ke seluruh kawasan perindustrian di negeri Selangor, secara berperingkat atau berdasarkan keperluan semasa.
1. Di samping itu, program-program dan promosi galakan pelaburan perlu diteruskan dan digandakan dengan keutamaan dalam kumpulan-kumpulan kecil kerana ia lebih fokus dan efektif. Fokus utama kini bagi menarik pelabur sedia ada supaya sedia menambah pelaburan mereka di samping cuba menarik pelaburan baharu yang berpotensi.
1. Daripada aspek perkhidmatan, kita turut berkeyakinan sektor perkhidmatan mempunyai potensi besar dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri. Sumbangan sektor perkhidmatan terhadap KDNK negeri sebanyak 38%, membuktikan sektor ini berupaya mempercepat pertumbuhan ekonomi Selangor. Dalam hal ini, negeri Selangor dijangka mencatat peningkatan nilai tambah sektor perkhidmatan kepada RM47.8 bilion pada 2009 berbanding RM45.2 bilion pada 2008 iaitu pertumbuhan pada kadar 5.8%.
1. Ternyata, sektor perkhidmatan berperanan penting dalam usaha melancarkan hubungan dengan sektor ekonomi lain. Dengan yang demikian, usaha menjadikan Selangor hub serantau bagi sektor perkhidmatan perlu dilaksanakan. Bagi memenuhi tujuan ini, kita perlu memastikan sektor perkhidmatan seperti kegiatan subsektor pelancongan, teknologi komunikasi (ICT), logistik, pendidikan dan kesihatan lebih berdaya saing. Usaha gigih yang berterusan diperlukan bagi memastikan sektor perkhidmatan ini dapat memberi sumbangan maksimum terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.
1. Program-program penggalakan bagi sektor perkhidmatan yang berterusan dijangka melibatkan sektor perkhidmatan baharu yang berikut:
1. Perkhidmatan Perniagaan dan Profesional
(Business and Professional Services);
1. Perkhidmatan Logistik Berintegrasi
(Integrated Logistic Services);
1. Perkhidmatan Berkaitan ICT
(ICT Related Services);
1. Perkhidmatan Pengagihan
(Distributive Services);
1. Perkhidmatan Pendidikan dan Latihan
(Education and Training Services);
1. Perkhidmatan Kesihatan dan Perubatan
(Medical and Health Services);
1. Perkhidmatan Pelancongan dan
(Tourism Services);
1. Perkhidmatan Berkaitan Pembuatan
(Manufacturing Related Services).
1. Dalam sektor pertanian dan perlombongan, bagi tahun 2008, sumbangannya sebanyak 3.1 peratus terhadap pertumbuhan ekonomi negeri, dan angka ini merupakan penyumbang terkecil KDNK negeri dan dijangka bertumbuh pada kadar 3.3% pada tahun 2009. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap memfokus pada usaha memperkasa sektor pertanian melalui pendekatan Pertanian Moden (modern agriculture).
1. Bagi meningkatkan kualiti dan produk pertanian bermutu tinggi, bidang pertanian masa kini perlu memfokus pada pertanian berteknologi moden, berskala besar dan berorientasikan eksport. Ini demikian, kerana Kerajaan Pakatan Rakyat percaya fungsi dan peranan sektor pertanian di Selangor amat penting sebagai sumber makanan. Malah, ia merupakan sumber pendapatan utama golongan petani, penternak dan nelayan khususnya di kawasan luar bandar. Nilai tambah sektor pertanian dan perlombongan dijangka meningkat kepada RM3.5 bilion pada 2009 berbanding RM3.4 bilion pada 2008 iaitu pertumbuhan sebanyak 3.3%.
1. Tidak diragukan lagi, matlamat menjadikan pertanian suatu perniagaan perlu diteruskan melalui konsep knowledge base yang boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda kepada golongan petani, penternak dan nelayan. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri terus berusaha mencari alternatif bagi meningkatkan taraf hidup golongan tersebut ke penghidupan yang lebih selesa.
1. Antara alternatif tersebut, melalui program transformasi kumpulan petani, penternak dan nelayan ini menjadi Usahawan Tani. Selain itu, Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan program bantuan kepada golongan petani, penternak dan nelayan yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan. Bagi golongan petani, penternak dan nelayan yang sedang memulakan usaha pertanian dan pendapatan mereka pula melebihi RM1500 sebulan, maka mereka dibantu untuk meningkatkan produktiviti agar memperoleh pendapatan melebihi RM3,000 sebulan. Kerajaan Negeri juga mahu memastikan yang agihan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan sampai kepada sasaran bukan tersendat dalam “akaun orang ketiga”.
1. Bagi tahun 2009, Kerajaan Negeri berusaha memperkasa sektor pertanian melalui program pertanian bandar (urban agriculture), penyediaan dana pemindahan teknologi, projek pemprosesan kerang, revolusi hasil padi melalui teknologi moden dan pewujudan kilang kerepek menurut piawai HACCP, iaitu singkatan bagi “Hazard Analysis Critical Control Point“. Piawai HACCP merupakan sistem kawalan proses yang direka cipta bagi mengenal pasti dan mengelak pencemaran mikro dan gangguan lain dalam penghasilan makanan.
1. Dalam aspek kependudukan, penduduk negeri Selangor pada 2009 dianggarkan berjumlah lebih kurang 5.2 juta orang berbanding 5.1 juta orang pada tahun ini, dengan kadar pertumbuhan penduduk dianggarkan 1.96%. Bangsa Melayu merupakan komposisi kaum tertinggi dengan 51%, diikuti oleh kaum Cina 29%, India 14%, dan 6% keturunan lain. Kumpulan peringkat umur belia merupakan golongan penduduk yang paling ramai iaitu 45% daripada jumlah penduduk di negeri Selangor yang bakal mengisi ruang pembangunan negeri.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sekarang, izinkan saya membentangkan senario Bajet Tahun 2009 Negeri Selangor.
1. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, bajet Kerajaan Persekutuan tahun 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos lalu, secara tidak langsung turut mengiktiraf manifesto Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12. Dalam pembentangan bajet itu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian bekalan elektrik percuma bagi penggunaan elektrik berjumlah kurang RM20 sebulan, di samping memberi tumpuan pada strategi menjamin kesejahteraan rakyat dengan memfokus pada golongan berpendapatan rendah. Padahal, pada hakikatnya, kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri di Semenanjung pun, sedang dan berusaha terus bagi menerapkan konsep kerajaan berkebajikan kepada seluruh rakyat. Di negeri Selangor sahaja, sehingga Oktober ini, sebilangan rakyat sedang menikmati pelbagai bantuan dalam bentuk wang dan barangan keperluan asas. Antaranya, pemberian air percuma, bantuan kepada golongan miskin, golongan orang kurang upaya, warga emas, bantuan membaik pulih rumah, masjid dan kuil, dan bantuan pendidikan anak ke menara gading. Insya-Allah, bermula tahun kedua pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, rakyat bakal menerima penambahan bantuan kewangan dan kebendaan.
1. Wajarlah juga saya menggunakan kesempatan ini bagi mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengambil kira cadangan Kerajaan Negeri melalui Siri Dialog Bajet 2009, yang menekankan perlunya suatu jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan mantap di negeri Selangor ke dalam Bajet Persekutuan 2009.
1. Sistem jaringan pengangkutan yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri berupa laluan LRT baharu dari Kota Damansara ke Cheras dan menambah jaringan sistem LRT sedia ada bagi aliran Kelana Jaya dan aliran Ampang. Kerajaan Negeri juga mencadangkan supaya diperluas jaringan perkhidmatan rel komuter bagi laluan Sentul-Batu Caves. Penambahbaikan jaringan sistem pengangkutan awam ini secara tidak langsung boleh memberi impak positif terhadap pembangunan sosio ekonomi di negeri Selangor.
1. Kerajaan Negeri berharap pada kali ini projek tersebut benar-benar menjadi realiti dan tidak rancangan semata-mata, oleh sebab ia sudahpun diumumkan sejak 2006. Dalam perkataan lain, Kerajaan Negeri mahu jaringan pengangkutan ini dilihat secara menyeluruh dan lestari (sustainable) dengan melibatkan jaringan bas dan integrasi bas serta kenderaan persendirian secara “letak dan naik” (park and ride). Jika tidak, sistem pengangkutan awam mungkin terus menghadapi masalah yang membelenggu kelancaran sistem pengangkutan kini.
Apakah Tumpuan Bajet Negeri Selangor bagi Tahun 2009?
1. Sebagaimana dinyatakan di peringkat awal ucapan ini, Bajet Tahun 2009 Negeri Selangor yang dibentangkan ini berteraskan prinsip “Merakyatkan Ekonomi Selangor”. Prinsip ini bertujuan memastikan rakyat negeri ini sama-sama menikmati hasil kekayaan selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi negeri. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bertekad meneruskan usaha-usaha mencari sumber hasil baharu bagi memantapkan ekonomi negeri Selangor melalui penyediaan Bajet 2009 ini.
1. Kita memang wajar bersyukur ke hadrat Allah SWT, lantaran Negeri Selangor dianugerahi peningkatan hasil negeri yang memberangsangkan dan pertumbuhan hasil baharu yang menjana ekonomi negeri Selangor. Kita memikul kepercayaan dan amanah daripada rakyat untuk mengagihkan setiap sumber hasil yang diterima oleh kerajaan secara telus, adil dan saksama kerana hasil negeri merupakan hak rakyat yang perlu dikongsi bersama. Apalah hendak dibanggakan sangat, jika negeri maju sedangkan banyak rakyat yang masih berada dalam garis kemiskinan. Maka, dalam ungkapan paling singkat, kerajaan sekarang mahu berusaha “memajukan negeri dan memewahkan rakyat Selangor” dengan pelbagai program yang dihuraikan kemudian.
1. Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor perlu menguruskan sebuah negeri maju yang berteraskan kesedaran kerohanian, menangani ketidaksamaan sosio ekonomi yang berterusan, memacu pembangunan modal insan, menyediakan panduan strategik mengenai arah dan corak perbandaran serta penggunaan tanah, menambah baik tadbir urus, menguruskan alam sekitar yang mapan dan menjana sumber pertumbuhan baharu.
1. Hala tuju pembangunan negeri Selangor mempunyai visi menjadikan Selangor Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera. Visi ini hendak dicapai melalui misi melestarikan kehidupan rakyat untuk kesejahteraan hubungan dengan Tuhan, dengan manusia dan alam sekitar. Sukacita juga saya maklumkan, Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Selangor Menjelang Tahun 2025 turut dibahaskan di dalam Dewan yang mulia ini.
1. Landasan pembangunan negeri Selangor direka cipta dengan teliti dan menyeluruh berdasarkan wawasan, pemikiran serta usaha yang bermatlamatkan pendekatan yang lebih komprehensif dan holistik, iaitu pembangunan yang menggabung secara komposit faktor jasad, akal dan roh. Bagi menjayakannya, kami sebelumnya mengadakan dua bengkel, iaitu Dialog Bajet Negeri Selangor yang mengikutsertakan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan atau NGO, dan ahli-ahli akademik dalam perbincangan selama dua hari. Bengkel Hala Tuju Negeri Selangor juga disertai wakil-wakil rakyat, wakil-wakil semua Jabatan di Negeri Selangor, semua pegawai daerah, dan semua Yang Dipertua Majlis Bandaran yang sama-sama memberi pandangan dan cadangan serta berdialog berkaitan dengan Hala Tuju Negeri Selangor.
Apakah Strategi Bajet Negeri Selangor pada Tahun 2009?
1. Sebanyak lima strategi ditetapkan dan mahu dilaksanakan dalam Bajet 2009, bersesuaian dengan tema bajet yang tertumpu pada agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.
Pertama: Merakyatkan ekonomi Selangor (MES)
Kedua: Mempertingkat hasil pendapatan negeri
Ketiga: Memperkasa modal insan
Keempat: Menguruskan perbelanjaan dengan cekap
Kelima: Memantapkan pembangunan negeri Selangor
1. Dalam pelaksanaan Fasa 1 ini, Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor mengandungi empat (4) fasa utama yang merangkumi 18 program. Sebanyak tujuh (7) program yang diumumkan kepada rakyat sempena Sambutan Majlis 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Baharu tempoh hari, berjaya dilaksanakan.
1. Program-program tersebut meliputi Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Bekalan Air Percuma Bagi 20 M3, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Mesra Usia Emas, Program Peningkatan Pendapatan Hasil Daripada Bahan Batuan Dan Mineral, Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang. Sejumlah RM35 juta sudahpun diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi menjayakan program ini. Malah, Kerajaan Negeri juga melalui anak syarikat milikan penuh KDEB merancang dan melaksanakan program pemberian air percuma. Implikasi kewangan bagi pelaksanaan Fasa 1 MES diperlihatkan dalam Gambar Rajah 2.
PROGRAM IMPLIKASI KEWANGAN
(RM)
Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) 13.5 JUTA
Bekalan Air Percuma Bagi 20 M3 50 JUTA MELALUI KDEB
(Pinjaman)
Hadiah Anak Masuk Universiti 8.2 JUTA
Tabung Mesra Usia Emas 20.7 JUTA
Program Peningkatan Pendapatan Hasil daripada Bahan Batuan dan Mineral Dibiayai oleh KKSB
Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) 600,000
Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang 2 JUTA
Gambar Rajah 2: Jadual Pelaksanaan Fasa 1: Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.
1. Pelaksanaan Fasa 2 MES dijangka dimulakan pada Januari 2009. Fasa 2 ini mempunyai enam (6) program yang memberi manfaat kepada kakitangan kerajaan, orang kurang upaya dan anak-anak yatim. Fasa 2 mengandungi program-program yang berikut:
1. 1. a. Pertimbangan Cuti Bersalin Selama 90 Hari kepada Wanita Bekerja. Program ini dirangka berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 15 Tahun 2007 (Kemudahan Cuti Menjaga Anak), yang menyatakan seseorang kakitangan awam boleh mengambil cuti tambahan tanpa gaji sebanyak 1,825 hari (5 tahun) sepanjang tempoh perkhidmatan. Tempoh cuti bersalin yang diguna pakai pada masa sekarang berjumlah 60 hari. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri masih mengkaji cadangan memberikan tambahan cuti sebanyak 30 hari lagi sebagai cuti tanpa gaji dengan membayar elaun gantian gaji penuh sebulan.
1. 1. b. Pertimbangan Cuti 14 Hari Kepada Suami Yang Isterinya Bersalin. Seorang pekerja lelaki boleh diberi Cuti Tanpa Rekod selama 7 hari jika isterinya bersalin dan dicadangkan diberi pilihan untuk tambahan cuti selama 7 hari lagi.
1. 1. c. Pertimbangan Cuti Sebulan kepada Wanita yang Kematian Suami. Kehilangan ketua keluarga sememangnya memberi kesan yang mendalam kepada insan yang ditinggalkan. Justeru itu, Kerajaan Negeri begitu prihatin terhadap keadaan ini dan bercadang memberi sebulan cuti kepada wanita yang kematian suami. Elaun bagi gantian gaji penuh sebulan bagi kakitangan wanita yang berstatus tetap atau kontrak juga layak diterima oleh balu tersebut. Perkara ini pun sedang dalam kajian.
1. 1. d. Caruman Takaful kepada Orang Kurang Upaya dan Anak Yatim. Satu skim Caruman Takaful kepada warga emas sudahpun dilancarkan dalam Fasa 1 Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor. Kini, skim seumpama difikirkan wajar diwujudkan bagi memberi pembelaan kepada golongan orang kurang upaya dan anak yatim. Sehubungan itu, skim Caruman Takaful kepada Orang Kurang Upaya Dan Anak Yatim diwujudkan dalam Fasa 2 Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.
1. 1. e. Bantuan kepada Peniaga Muda. Kerajaan Negeri memang menggalakkan golongan muda menceburi bidang perniagaan. Sehubungan itu, Kerajaan sedia memberi bantuan dalam bentuk kewangan, infrastruktur, latihan dan nasihat kepada golongan muda yang berhasrat menceburi bidang perniagaan. Di samping itu, disediakan kursus bagi para belia mendapatkan bantuan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan.
1. 1. f. Bimbingan Perniagaan kepada Belia. Kerajaan memandang serius terhadap masalah pengangguran yang sedang dihadapi oleh masyarakat kita pada masa ini. Oleh yang demikian, usaha-usaha bimbingan dalam bidang perniagaan daripada Kerajaan Negeri kepada belia dijangka mampu merubah pemikiran generasi muda ini kepada bentuk yang bersesuaian dengan kehendak masyarakat majmuk.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Fasa 3 bagi merealisasikan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, dilaksanakan melalui program-program dalam tahun 2009. Program ini antaranya, memberi bantuan anak ke nurseri dan bantuan anak prasekolah berasaskan tahap kemampuan keluarga.
1. Dalam usaha menggalakkan pembangunan usahawan pula, Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakan beberapa program, antaranya membina lebih banyak premis dan mewujudkan zon-zon industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh daerah, mewujudkan program inkubator, dan menyediakan latihan keusahawanan di seluruh Negeri Selangor.
1. Kerajaan Negeri hendak memberi keutamaan dalam penyediaan premis perniagaan yang cukup, bimbingan perniagaan serta galakan berniaga kepada golongan belia dan wanita muda. Pelbagai dana dan bantuan kewangan disediakan berbentuk Dana Industri Kecil dan Sederhana, Skim Pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (SPPKS) bagi Makanan dan Bukan Makanan, dan Skim Pinjaman Industri Kecil. Semua bantuan ini disediakan bagi memberi peluang khususnya kepada peniaga kecil yang kurang berkemampuan untuk mengembangkan perniagaan.
1. Berhubung dengan keadaan kemiskinan di negeri Selangor, didapati banyak faktor yang menimbulkan masalah kemiskinan di negeri ini. Selain faktor latar belakang pendidikan dan masalah sikap, faktor pembangunan ekonomi yang pesat, dan lowongan pekerjaan yang diisi pendatang asing, turut menjadi penyebab wujudnya keadaan kemiskinan ini.
1. Hasil kemajuan yang pesat di Selangor, menyebabkan penghijrahan secara berterusan penduduk dari negeri-negeri lain di Malaysia, dan kebanjiran warga asing yang mencari peluang rezeki di negeri Selangor. Keadaan ini terbukti mewujudkan permasalahan setinggan dan kemiskinan yang serius terutamanya di kawasan bandar-bandar besar dan pinggir bandar negeri Selangor.
1. Berdasarkan petunjuk angka kemiskinan di peringkat nasional, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) merangkumi isi rumah yang berpendapatan RM731 ke bawah sebulan, manakala Pendapatan Garis Kemiskinan bagi miskin tegar pula merangkumi isi rumah yang berpendapatan kurang RM419 sebulan. Maka, berdasarkan tafsiran ini, kadar kemiskinan di Selangor pada paras 1.1%, manakala kemiskinan tegar pada paras 0.2%.
1. Namun, angka ini tidak mencerminkan senario sebenar kemiskinan di Selangor kerana 90% penduduknya dianggarkan tinggal di kawasan bandar. Oleh sebab kos sara hidup penduduk di Selangor lebih tinggi, maka nilai pendapatan yang dinyatakan itu tidak mencerminkan realiti sebenar keadaan kemiskinan di Selangor. Kita tidak mahu berbangga dengan berlindung di sebalik statistik yang diolah bagi faedah kerajaan. Sebaliknya, kita mahu mendapatkan gambaran sebenar dalam hal merangka dasar-dasar yang benar-benar dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor.
1. Kerajaan Negeri dalam Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap masalah kemiskinan bandar (urban poverty). Bagi mengatasinya, usaha pertama yang dilakukan, dengan menaikkan paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM1500 sebulan. Berpandukan PGK yang diolah semula ini, kadar kemiskinan rakyat negeri Selangor kini berada pada paras 30%. Ini bererti, kerajaan negeri yang lepas tidak perlulah melaungkan lagi tentang usaha mereka membasmi kemiskinan ke tahap 1%.
1. Sehubungan itu, usaha bagi mengatasi isu kemiskinan bandar merupakan cabaran besar yang perlu ditangani oleh kerajaan negeri Selangor bagi memastikan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor mencapai kejayaan sebagaimana dirancang demi kepentingan seluruh rakyat negeri ini.
1. Seterusnya, pembangunan belia dan sukan di negeri Selangor turut diutamakan. Dianggarkan, sehingga 44 % komposisi penduduk negeri Selangor terdiri golongan belia. Golongan belia merupakan penyambung generasi mendatang dan merupakan aset yang amat berharga kepada Kerajaan. Apatah lagi bagi Kerajaan Pakatan Rakyat yang memang memberi pengiktirafan meluas kepada golongan belia bagi memainkan peranan sebagai pemimpin dan pembuat dasar. Maka, sesuai dengan hasrat ini, Kerajaan memperuntukkan RM3 juta bagi mewujudkan Majlis Belia dan Sukan Negeri supaya dapat menyediakan pelbagai program khusus kepada belia di semua peringkat.
1. Usaha Kerajaan Negeri ini malah mampu memberi peluang kepada golongan belia masa kini supaya menyuarakan pendapat dan penglibatan secara aktif dalam program-program yang bermanfaat bagi membentuk masa hadapan mereka yang lebih terjamin dan berperanan aktif. Oleh itu, amat wajarlah Kerajaan Negeri menyediakan wadah atau platform kepada golongan bagi menggembleng potensi dan menggilap idealisme agar golongan ini memainkan peranan dalam arus pembangunan di negeri maju.
1. Di samping itu, perkaitan antara masalah pengangguran dengan belia memang sukar dileraikan, kerana mereka merupakan golongan terbesar penduduk negeri ini. Walaupun kadar pengangguran di negeri Selangor hanya 3.4 %, dan merupakan peratus yang terkecil berbanding negeri-negeri lain, namun, permasalahan ini perlu ditangani secara menyeluruh. Misalnya, dengan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada belia-belia anak Selangor khususnya.
1. Golongan belia yang tercicir dalam pembelajaran akibat masalah kemiskinan juga perlu diberi perhatian. Latihan kemahiran dan teknikal menurut bidang yang sesuai dengan pasaran buruh semasa sedang disediakan melalui kursus jangka pendek dan jangka panjang bagi memberi peluang kepada belia untuk bersaing mencari peluang pekerjaan di pasaran terbuka. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM2 juta bagi tujuan latihan kemahiran dan teknikal.
1. Sesungguhnya, penyertaan cemerlang golongan belia dalam bidang sukan, tidak mampu kita nafikan. Dalam hal ini, Kerajaan Pakatan Rakyat mahu kecemerlangan sukan di negeri Selangor diteruskan melalui perancangan yang teliti, persediaan latihan dan program serta penganjuran lebih banyak pertandingan sukan peringkat negeri. Usaha ini perlu dilakukan bagi mencungkil bakat-bakat baharu serta mewujudkan barisan pelapis yang berpotensi untuk menjadi juara.
1. Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap usaha menjana keupayaan atau potensi belia sebagai aset yang paling bernilai bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negeri. Usaha ini dapat dilaksanakan dengan memberi fokus pada beberapa strategi, iaitu pembangunan masyarakat, pembangunan diri menerusi pendidikan, ilmu dan maklumat, strategi pembangunan ekonomi dan strategi pembangunan rohani.
1. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada atlet-atlet SUKMA Negeri Selangor yang berjaya menduduki tempat kedua keseluruhan pada temasya SUKMA yang berlangsung di Terengganu pada Jun lalu. Saingan sengit yang diberikan oleh kontinjen tuan rumah menyebabkan kita terlepas peluang mempertahan kejuaraan bagi kali yang ketujuh berturut-turut.
1. Setiap usaha gigih yang diberikan oleh para atlet wajar mendapat penghargaan dan pujian daripada Kerajaan Negeri Selangor. Kita percaya Kontinjen Selangor sedia meningkatkan usaha supaya dapat merampas kembali kejuaraan pada temasya SUKMA tahun 2010 yang bakal berlangsung di Melaka.
1. Kita juga menaruh harapan agar kegemilangan skuad merah kuning dalam sukan bola sepak dapat dikembalikan. Semangat juang untuk negeri tercinta perlu disemat dalam sanubari setiap pemain bola sepak negeri Selangor sebagaimana pemain-pemain bola sepak legenda Selangor yang bermain bukan untuk mengejar habuan semata-mata. Kerajaan Negeri percaya pihak pengurusan sedia berusaha bagi mengembalikan kegemilangan dan prestij bola sepak Selangor dengan mencari formula baharu dalam usaha memperkasa prestasi sukan bola sepak negeri Selangor.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Mungkin ada pihak yang bertanya: “Adakah kebajikan rakyat Selangor terpelihara?”
1. Dengan wawasan “Selangor Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera”, kemakmuran dan kesejahteraan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada negeri Selangor ini mestilah dinikmati bersama oleh seluruh lapisan rakyat negeri Selangor tanpa mengira usia, bangsa, agama dan dukungan politik. Pernyataan ini sesuai dengan hasrat menjadikan Selangor baidatun taibatun warrabun ghaffur - sebuah negeri yang baik, aman dan makmur.
1. Justeru itu, sebagai negeri yang termaju di Malaysia, setiap pembangunan di negeri Selangor yang sedang dan bakal dilaksanakan perlu mengambil kira aspek sosial dan kebajikan rakyat, khususnya kepada kumpulan sasar meliputi golongan kurang upaya, orang miskin, warga emas, masyarakat orang Asli, ibu tunggal dan insan kurang bernasib baik.
1. Wadah atau platform yang sesuai kita disediakan bagi kumpulan sasar menyuarakan pandangan dan maklum balas mereka kepada pihak-pihak berwajib. Contohnya, dengan memberi ruang kepada wakil-wakil orang kurang upaya atau OKU menjadi Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar pentadbiran di PBT tidak sewenang-wenangnya meminggirkan mereka.
1. Khusus dalam usaha memajukan masyarakat orang Asli, suatu penilaian semula hendak dilakukan terhadap masyarakat orang Asli di Selangor, meliputi pembangunan ekonomi dan sosial mereka. Kerajaan Negeri bercadang mengadakan bengkel pada pertengahan tahun 2009 bagi mendapatkan pandangan Jabatan Orang Asli dan kalangan cerdik pandai lain, dan seterusnya menghasilkan kertas dasar (blue print) yang bakal digunakan dalam usaha membantu golongan orang Asli agar sama-sama menikmati limpahan pembangunan di negeri ini. Usaha yang sama mungkin dilanjutkan kepada rancangan membangunkan masyarakat yang tinggal di pulau-pulau dan di kawasan pedalaman. Tegasnya, mulai tahun 2009 Kerajaan Negeri mahu memastikan pelbagai bentuk masyarakat di Selangor turut mendapat perhatian dan menerima bantuan yang sewajarnya.
1. Seterusnya, Kerajaan Negeri bertekad mewujudkan Dasar Kebajikan Negeri Selangor yang jelas di samping dasar-dasar negeri yang sedia ada. Setiap aktiviti, program dan sumbangan kebajikan mestilah dilaksanakan mengikut perancangan yang teliti. Mekanisme penyaluran pelbagai bentuk bantuan kebajikan mestilah telus, adil dan saksama.
1. Dalam usaha memperkasa golongan wanita dan keluarga, kita perlu terus berusaha memartabatkan golongan wanita dalam agenda pembangunan. Usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk mengangkat isu-isu kritikal wanita dan keluarga seperti langkah mengkaji pemberian 90 hari cuti bersalin boleh memberi impak yang positif kepada institusi keluarga di negeri ini. Sementelahan pula, Kerajaan Negeri sekarang memang prihatin kepada semua golongan rakyat!
1. Selaras dengan sikap keprihatinan ini, golongan wanita perlu dibantu dalam usaha mengimbangi masalah yang dihadapi di kawasan pedalaman dan bandar. Pelbagai kemahiran dan ilmu hendaklah diberikan kepada golongan pekerja wanita, ibu tunggal, pekerja ladang, wanita orang asli, warga emas dan suri rumah. Antara ilmu dan kemahiran bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga, termasuklah bidang keusahawanan, kesihatan, motivasi, pembangunan jati diri, dan seni kraf.
1. Dalam usaha mengikutsertakan peranan golongan wanita dalam arus pembangunan negeri, kita juga mahu golongan wanita tahu dan faham hak-hak mereka dalam keluarga dan masyarakat daripada sudut perundangan. Kita berpendapat usaha untuk mengadakan pusat sehenti wanita sebagai langkah yang sesuai bagi memastikan kebajikan mana-mana wanita yang teraniaya, dibela dengan segera.
1. Berhubung dengan golongan warga emas pula, berdasarkan statistik, terdapat 273,500 orang warga emas yang berumur 60 tahun ke atas di negeri Selangor, atau 5.0 % daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri Selangor. Kita mahu memberi tumpuan khusus kepada warga emas dengan merangka program-program yang bersesuaian agar golongan ini terus memberikan sumbangan dalam bentuk buah fikiran dan nasihat bagi meneruskan agenda pembangunan Selangor negeri maju.
Baiklah, sekarang dihuraikan pula strategi kedua, iaitu Mempertingkat Hasil Pendapatan Negeri.
1. Pertama, menerusi peningkatan royalti bahan batuan. Kerajaan Negeri menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB) yang beroperasi sebagai syarikat kerajaan yang memberi penumpuan pada aktiviti perniagaan pasir. Dijangkakan royalti bahan batuan berjumlah RM50 juta diperolehi oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2007. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak lebih dua kali ganda daripada jumlah RM20 juta yang diperolehi pada tahun 2007 dan 2008.
1. Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. memulakan aktiviti pengeluaran pasir pada 5 September 2008. Aktiviti perlombongan pertamanya di PT 32546, Mukim Dengkil, Daerah Sepang dijangkakan dapat mengeluarkan hasil sebanyak 1.5 juta m3 setahun. Kerajaan Negeri juga sedang meneliti kawasan melombong pasir yang baru MC 10 di Olak Lempit dengan mengamalkan tadbir urus yang telus, cekap dan amanah bagi mengelakkan ketirisan.
1. Perlu ditegaskan, Kerajaan Negeri mengguna pendekatan untuk tidak memberi permit kepada syarikat-syarikat lain dan individu, sebaliknya memberi peluang kepada KSSB melaksanakan operasi pasir di tanah kerajaan. Langkah ini dijangka mampu meningkatkan lagi hasil Kerajaan Negeri di samping membendung aktiviti-aktiviti yang negatif seperti aktiviti mencuri pasir yang semakin berleluasa kini.
1. Pendapatan negeri dapat ditingkatkan juga dengan menjadikan sungai sebagai punca pendapatan bagi Kerajaan Negeri. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dilaporkan sudah membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta menyusunkan beberapa program dan aktiviti pembangunan sumber air. Usaha dan tindakan ini dijangka dapat memberikan pulangan secara terus kepada Kerajaan Negeri.
1. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berpendapat penglibatan Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan sumber air ini sangat perlu kerana sungai digunakan secara bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Contohnya, Sungai Klang dan Sungai Gombak digunakan bersama oleh rakyat Selangor dan penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Oleh itu, tanggungjawab untuk menjaga sumber air ini wajar dipikul bersama.
1. Seterusnya, terdapat beberapa program yang dikenal pasti dapat memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri, dan dianggarkan berjumlah RM100 juta setahun. Antara program dan aktiviti tersebut, termasuklah:
a. Hasil Royalti daripada Pengeluaran Bahan Batuan oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB);
b. Kajian Semula Kadar Caj Abstraksi Air Mentah, yang selaras dengan kenaikan kadar tarif air berawat;
c. Perlesenan Bahan Pencemar (Effluent Discharge) dan Perlaksanaan Konsep “Let Polluters Pay!”; dan
d. Program Rakan Pintar (Smart Partnership) bersama PBT, NGO dan swasta.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Kerajaan Negeri juga melaksanakan program mengutip tunggakan cukai secara tuntas dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan negeri. Pentadbiran cukai yang cekap dianggap penting bagi menjamin pendapatan negeri yang menentukan kelancaran serta keberkesanan segala dasar dan strategi pembangunan Kerajaan Negeri.
1. Dalam hal ini, cabaran utama Kerajaan Negeri bagi mengurangkan jumlah tunggakan hasil yang semakin meningkat dari setahun ke setahun. Oleh sebab itulah, Kerajaan Negeri terpaksa merangka strategi serampang dua mata: iaitu memberi tumpuan terhadap kutipan tunggakan hasil, dan dalam masa sama menggandakan usaha mengutip hasil semasa.
1. Di peringkat pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan, penguatkuasaan mahu diperhebat bagi memantau jumlah kutipan hasil semasa. Bagi tujuan ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju supaya proses perampasan tanah dilakukan terhadap pengguna yang masih gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah selepas Notis 6A, Kanun Tanah Negara 1965, dikeluarkan. Penguatkuasaan ini dikenakan terhadap semua pihak, dan malah anak syarikat Kerajaan Negeri tidak terkecuali dikenakan tindakan ini.
1. Mulai tahun 2008, kaunter kutipan hasil di semua Pejabat Tanah/Daerah dibuka pada waktu rehat, iaitu pada jam 1.00 hingga 2.00 petang, dan dilanjutkan sehingga jam 4.00 petang bagi kemudahan kepada pembayar cukai di seluruh Selangor. Ia merupakan antara penambahbaikan Sistem Penyampaian Kerajaan (Delivery System) yang memudahkan orang awam berurusan dengan Kerajaan Negeri.
1. Di samping itu, pelbagai strategi lain dirancang bagi meningkatkan kutipan hasil. Antaranya, pelaksanaan pelbagai kempen kesedaran seperti kempen membayar cukai sebelum 31 Mei, mengadakan operasi ‘knock-door’, membuat kutipan luar ke kampung-kampung dan taman-taman perumahan di samping membuka kaunter ketika program dan majlis keraian dianjurkan oleh agensi kerajaan. Turut diadakan Sistem Ganjaran kepada semua Pejabat Tanah dan Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mencapai matlamat meningkatkan hasil negeri.
1. Bagi menggalakkan pembayaran cukai, Kerajaan Negeri menggunakan pendekatan positif dengan tawaran remitan atau diskaun sehingga 30% kepada pembayar cukai tanah yang dikenakan caj denda lewat pembayaran. Hasil Kerajaan Negeri dijangka bertambah kukuh dengan pengenalan caj tambahan terhadap perlanjutan tempoh bayaran premium. Malah, hasil dijangka bertambah ekoran keputusan Kerajaan Negeri yang tidak menimbang semua permohonan rayuan pengurangan premium kecuali individu yang layak dipertimbangkan sahaja.
1. Saya bersikap positif terhadap ketekunan semua Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan serta seluruh petugas masing-masing bagi mencapai matlamat meningkatkan kutipan hasil secara maksimum setiap tahun.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Berhubung dengan produk pelancongan Selangor, bagi tahun 2008 ini, Kerajaan Negeri mahu meningkatkan usaha bagi mencapai jumlah seramai 5.5 juta pelancong ke negeri Selangor. Sehingga 31 Julai 2008, negeri Selangor menerima kedatangan pelancong seramai 3.1 juta orang.
1. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri mahu memberi tumpuan pada program “menginap serumah dengan tuan rumah” atau homestay melalui kerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam program-program eko pelancongan. Selain itu, kerajaan negeri menggalakkan pelancongan kesihatan, pendidikan dan hutan. Taman Warisan Negeri pula hendak dijadikan pusat tarikan pelancongan yang baharu.
1. Program “Malaysia Rumah Keduaku” atau Malaysia My Second Home didapati semakin mendapat tempat di hati kalangan pelancong luar negara. Program ini berupaya menarik pelancong kembali ke negeri Selangor dan tinggal lebih lama di Selangor apabila bersara di negara mereka.
1. Seterusnya, Kerajaan Negeri memberi fokus pada program penjenamaan semula sektor pelancongan negeri Selangor bagi tujuan memperbaiki kualiti produk pelancongan. Kerajaan negeri berhasrat mempergiat lagi promosi pelancongan melalui pengiklanan di akhbar, majalah dan laman web dengan memberi input yang terkini sempena Tahun Melawat Negeri Selangor 2010.
1. Strategi ketiga dalam perancangan Bajet 2009, iaitu usaha Kerajaan Negeri memberikan perhatian yang serius bagi membangunkan modal insan. Program membangunkan modal insan yang berkualiti serta seimbang daripada segi jasmani, rohani dan intelek dilaksanakan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat bermula dengan projek induk pada Ogos lalu. Program ini, yang dikenali dengan akronim “SPIES”, merangkumi aspek Kerohanian (Spiritual), Fizikal (Physical), Intelektual (Intelectual), Emosi (Emotion) dan Sosial (Social). Kerajaan Negeri percaya program ini dapat memulakan kelahiran modal insan yang cemerlang.
1. Selain itu, Kerajaan sudah merangka program-program untuk melahirkan modal insan yang bakal mempunyai kepakaran dan keterampilan dalam pelbagai bidang bagi menunjangi perkembangan ekonomi negeri, sosial, dan malah kepemimpinan negeri. Tegasnya, program-program seumpama ini diharap dapat melahirkan insan yang mempunyai sikap tolak-ansur dan saling memahami antara pelbagai budaya dan kaum agar rakyat negeri Selangor hidup dalam keadaan harmoni terhindar daripada perasaan buruk sangka antara satu sama lain.
1. Bagi perkhidmatan awam pula, saya percaya sektor ini dapat diperkasa melalui pemantapan kualiti modal insan. Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan kualiti Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam. Sehubungan itu, pelbagai program dirangka dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan matlamat memperkasa perkhidmatan awam dapat dicapai.
1. Dalam usaha melaksanakan konsep “SPIES” secara menyeluruh, maka setiap modul latihan atau aktiviti yang dirancang kelak perlu diasaskan pada lima elemen tersebut. Sehubungan itu, visi pembangunan modal insan negeri Selangor bagi mewujudkan masyarakat cemerlang secara holistik yang menjadi model kepada manusia sejagat sebagai masyarakat yang sejahtera, produktif, efektif, maju dan berdaya saing berlandaskan nilai-nilai spiritual dan moral yang murni.
1. Program latihan dan pembelajaran ini merancang membangunkan masyarakat yang kreatif dan inovatif yang memiliki ilmu dan keupayaan sains dan teknologi. Kita juga memberi penekanan usaha melahirkan ramai individu yang memiliki pengetahuan dan keterampilan dalam pelbagai cabang seni, budaya, bahasa dan sastera.
1. Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) pula hendak diperkasa bagi membolehkan setiap pelajar melaksanakan aktiviti yang dapat membina anggota masyarakat yang berpegang teguh pada prinsip agama, nilai murni dan mengamalkannya dalam kehidupan bermasyarakat.
1. Program pemantauan dan penilaian juga dibuat bagi mengukur keberkesanan setiap aktiviti yang dijalankan. Program-program susulan seperti Briged Amal Belia, aktiviti sukarela dan sosial dijangka dilaksanakan bagi memastikan pembangunan modal insan yang dilaksanakan sentiasa berterusan dan berkesan.
1. Kerjasama semua pihak termasuk pelbagai agensi kerajaan, semua golongan pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) sangat diharapkan bagi memastikan semua perancangan pembangunan modal insan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
1. Perkhidmatan awam memainkan peranan penting bagi menyokong dan membantu inisiatif sektor swasta melalui penyediaan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien dan mesra pelanggan. Penambahbaikan terhadap sistem penyampaian prosedur dan proses cadangan pemajuan merupakan aspek terpenting dalam usaha kerajaan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
1. Dalam hal ini, selaras dengan usaha memperkukuh sistem penyampaian, Pusat Sehenti (OSC) diwujudkan bagi memendekkan masa memproses permohonan cadangan pemajuan secara serentak, dan sekali gus dapat mempertingkat keberkesanan sistem penyampaian prosedur dan proses cadangan pemajuan tanah di PBT.
1. Pada masa sama, Kerajaan Negeri meminta kerjasama erat daripada semua jabatan agar sama-sama berusaha meningkatkan imej Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dengan memberi layanan yang adil, cepat dan cekap terhadap semua aduan yang dikemukakan oleh orang awam.
1. Lanjutan terhadap permintaan kerjasama itu, Kerajaan Negeri mengarahkan agar setiap Jabatan Kerajaan termasuk PBT memperkemas sistem pemantauan aduan masing-masing dengan mengadakan unit aduan yang khusus dan mengadakan mesyuarat pemantauan bagi menyelesaikan setiap aduan pelanggan.
1. Sehubungan itu, diwujudkan sistem talian aduan rakyat Selangor (STARS) yang dibangunkan berdasarkan keperluan mengadakan aplikasi khusus bagi membolehkan pengurusan dan pengumpulan aduan dan maklum balas secara sistematik. Aduan atau maklum balas dapat dikumpulkan dan disalurkan kepada organisasi yang melanggan melalui perkhidmatan Portal STARS dengan lebih cepat dan berkesan.
1. Berhubung dengan masalah sosial yang makin berleluasa, Kerajaan Negeri berpendapat betapa perlunya operasi rumah urut dan pusat hiburan dipantau agar ia mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh PBT. Sehubungan itu, semua PBT dipastikan mengambil tindakan yang pantas dan tegas, khususnya terhadap premis rumah urut dan pusat hiburan yang beroperasi melebihi had masa yang ditetapkan. PBT juga perlu mengkaji bilangan pusat hiburan yang boleh diluluskan mengikut kawasan dan kesesuaian lokasi agar tidak menimbulkan masalah kepada penduduk sekitarnya.
1. Mulai tahun 2008, semua PBT di Lembah Klang dikehendaki menjalani kajian bagi mewujudkan Zon Pusat Hiburan. Zon ini bertujuan menempatkan pusat-pusat hiburan di kawasan khas yang diwartakan sebagai zon pusat hiburan untuk memudahkan pemantauan dilaksanakan oleh pihak PBT dan Polis. Kawasan yang dipilih hendaklah berjauhan dari kawasan kediaman bagi mengelakkan gangguan terhadap penduduk.
1. Permohonan bagi lesen baharu hanya boleh dipertimbangkan kepada pemohon yang hendak menjalankan perniagaan di kawasan zon pusat hiburan. Pengusaha-pengusaha yang melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan serta-merta bagi membendung kegiatan maksiat. Oleh itu, pasukan penguatkuasa di PBT mestilah telus dan berintegriti dalam hal menjalankan tugas penguatkuasaan dan hendaklah menjauhi sama sekali amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Peranan ketua kampung amat penting kerana mereka merupakan perantara masyarakat dan pentadbiran kerajaan di peringkat daerah. Pada 30 Ogos yang lalu, Kerajaan Negeri melantik seramai 366 orang ketua kampung yang baharu bagi menggantikan ketua-ketua kampung lantikan kerajaan lalu. Kerajaan sekarang berjanji bagi memastikan perkhidmatan ketua-ketua kampung baharu tidak membezakan dukungan politik atau pandangan rakyat di daerah tersebut. Sebab utama kami merombak dan menolak JKKKP dahulu kerana diskriminasi yang wujud sebelum ini yang mengamalkan pelantikan berdasarkan pegangan politik.
1. Pemilihan ketua kampung oleh Kerajaan Pakatan Rakyat kini dilakukan secara telus dan adil, serta melalui beberapa peringkat saringan. Ketua-ketua kampung yang baharu ini diletakkan dalam tempoh percubaan selama enam (6) bulan bagi melihat keupayaan mereka mentadbir kampung serta memastikan mereka melepasi tapisan keselamatan Polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan jabatan Insolvensi. Jika mereka melepasi tapisan ini selepas tempoh enam (6) bulan tersebut, mereka dilantik secara muktamad sebagai Ketua kampung.
1. Perlu saya tegaskan, Kerajaan Negeri Selangor sama sekali tidak mengiktiraf Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan yang ketua dan ahli-ahlinya dilantik berdasarkan kepentingan politik. Oleh itu, kewujudan JKKKP boleh mengeruhkan lagi hubungan antara penduduk, dan boleh menyebabkan pentadbiran kampung menjadi kacau bilau. Tambahan pula, hak melantik ketua kampung terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri. Oleh itu, sewajarnyalah Kerajaan Persekutuan menghentikan sikap menyalahgunakan wang untuk rakyat dengan cara meningkatkan penggunaan kos pentadbiran JKKKP, yang sebenarnya tidak perlu. Tegasnya, Kerajaan Persekutuan lebih dianggap “bersopan” jika segera membuang sikap “gemar mengganggu” tadbir urus Kerajaan Pakatan Rakyat di seluruh pelosok negeri Selangor. Tambahan pula, Kerajaan Persekutuan dilihat tidak amanah dalam hal membelanjakan cukai rakyat dalam perkara yang tidak mendatangkan hasil ini, malah tidak diperlukan pun!
1. Seterusnya, dihuraikan pula strategi keempat, iaitu pengurusan perbelanjaan yang cekap dan berhemat (berjimat). Saya menggunakan kesempatan ini untuk menasihati rakyat dan diri saya sendiri supaya amalan berjimat cermat diterapkan dalam setiap individu dan berbelanjalah secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran supaya kita dapat hidup dengan aman dan sejahtera.
1. Pengurusan perbelanjaan yang cekap dan berjimat dalam semua aspek sangat penting bagi melengkapkan pelaksanaan strategi bajet tahun 2009 ini. Sebagai usaha untuk mengurangi perbelanjaan, Kerajaan Negeri melaksanakan budaya perbelanjaan berhemat dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih berhati-hati berdasarkan prinsip “alah membeli menang memakai” atau lebih kurang bermaksud, (dengan izin) value for money. Usaha ini perlu diamalkan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran dalam pentadbiran Kerajaan Selangor.
1. Beberapa surat pekeliling dikeluarkan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor yang menggariskan panduan perbelanjaan berhemat dengan memaklumkan kepada Ketua Jabatan, Badan Berkanun, Agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan dengan langkah-langkah tambahan yang perlu dilaksanakan bagi mengawal perbelanjaan awam.
1. Di samping itu, Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran Kerajaan Negeri dan semua agensi, badan berkanun, pihak-pihak berkuasa dan pertubuhan yang berkaitan dengan atau dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Penubuhan SELCAT ini bagi memastikan Kerajaan Negeri berada di landasan yang tepat dan benar dalam segala urusan tanpa dibayangi kelemahan kerajaan terdahulu.
1. Saya menyeru semua pihak supaya mendisiplinkan diri dengan mematuhi peraturan kewangan dan semua pekeliling yang sedang berkuat kuasa bagi menjamin pengurusan kewangan kerajaan yang telus dan cekap.
1. Kita tidak mahu wang rakyat dibelanjakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memberi manfaat kepada rakyat. Ia merupakan antara perubahan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan. Kita perlu sedar betapa setiap wang yang dibelanjakan merupakan amanah yang mesti dipikul dalam usaha menguruskan kewangan kerajaan.
Seterusnya, diperkatakan strategi kelima dalam usaha memantapkan pembangunan negeri Selangor.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Hala tuju perancangan dan pembangunan Negeri selangor dibentuk berdasarkan wawasan, pemikiran serta usaha yang bermatlamatkan pendekatan yang lebih komprehensif dan holistik, iaitu pembangunan yang menggabung secara komposit faktor jasad, akal dan roh. Prinsip asas yang menjadi teras perancangan, memberi penekanan terhadap pembangunan yang seimbang dengan menetapkan nilai kerohanian dalam setiap perancangan pembangunan di samping memastikan dilakukan penjagaan dan pengekalan alam sekitar.
1. Negeri Selangor dilihat ke hadapan daripada negeri-negeri lain di Malaysia dalam usaha memacu pembangunan dan dalam masa sama sentiasa dalam kedudukan teratas dalam persaingan untuk meraih kesejahteraan ekonomi. Pencapaian membanggakan ini perlulah disertai komponen kerohanian, emosi dan sosiobudaya agar generasi dan masyarakat yang bakal dilahirkan mempunyai nilai kerohanian yang kental dan bersahsiah mulia. Jati diri dan maruah negara dan negeri dapat dibina melalui ketabahan serta kejayaan mengatasi pelbagai cabaran berdasarkan prinsip, nilai dan agama setiap rakyat di negeri Selangor.
1. Dalam hal kadar pembangunan bandar di negeri Selangor, perbandaran berkembang dalam konteks yang sangat kompleks. Terdapat banyak isu perbandaran yang timbul memerlukan pemantauan yang berterusan pelbagai pihak yang berwewenang. Antara isu perbandaran yang semakin kritikal termasuklah tiada penetapan sempadan bandar yang jelas hingga menyebabkan pembangunan perbandaran yang tidak terkawal. Kawasan usang dan terbiar di kawasan bandar pula memerlukan pembangunan semula bagi mengelakkan masalah jenayah menjalari bandar-bandar yang selamat.
1. Maka, tugas utama Kerajaan Negeri wajar tertumpu pada pembangunan hartanah yang secara langsung berkait rapat dengan perancangan fizikal Negeri Selangor. Konsep Pembangunan guna tanah dan hartanah Negeri Selangor perlu diubah bagi memastikan pembangunan yang lebih teratur dan mesra alam. Perubahan ini perlu diterapkan di kawasan pembangunan utama seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Di negara-negara maju yang lain di dunia, penerokaan tanah untuk pembangunan tidak lagi dianggap cara terbaik bagi mengurus pembangunan perbandaran. Sebaliknya, mereka menerapkan konsep pembangunan baharu yang lebih baik, dikenali sebagai konsep pembangunan semula atau pembinaan semula bandar (urban renewal; urban reconstruction). Sekaligus, penggunaan konsep ini dapat meningkatkan lagi nilai hartanah setempat.
1. Saya berharap agar pembangunan tidak berlaku seperti di Damansara dengan keluasan tidak melebihi 20 ekar dan mempunyai 10 blok bangunan dengan ketinggian 20 tingkat berdekatan antara satu sama lain. Pembangunan seumpama ini terlalu padat, kerana penyediaan kemudahan asas seperti surau, dewan, kawasan lapang, tempat letak kereta dan motosikal terletak di tahap minimum. Kedaan seumpama, secara tidak langsung boleh mengakibatkan wujudnya masalah sosial yang sukar dibendung.
1. Justeru itu, saya yakin negeri Selangor dapat menyediakan guna tenaga mahir selari dengan arus pembangunan yang sangat pesat di negeri ini. Secara tidak langsung kualiti pembangunan dapat ditingkatkan dan kos penyelenggaraan dapat dikurangi ke tahap kurang 20% daripada keseluruhan peruntukan negeri.
1. Pelaksanaan beberapa kajian terutama tatacara pembinaan dalam kawasan pembinaan, pembangunan infrastruktur, dijangka dapat menyelaraskan pembangunan dengan dasar-dasar Kerajaan Persekutuan serta memberi fokus dan mengambil kira aspek kemudahan, sosial dan ekonomi, serta melaksanakannya secara mampan.
1. Berkenaan dengan isu tempat pelupusan sampah, ya, isu ini hangat diperkatakan dan perlu segera diselesaikan. Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri meningkatkan kesejahteraan rakyat, kita memang memantau usaha-usaha meningkatkan kualiti pelupusan sisa pepejal di negeri Selangor. Suatu tapak pelupusan sampah yang baharu dijangka disediakan di Kuala Langat bagi menampung pembuangan sisa pepejal yang meningkat dengan drastik pada setiap tahun.
1. Di samping itu, kita mahu masalah pembuangan longgokan sampah dan sisa pelupusan bahan binaan, yang selama ini dibuang secara haram di tepi-tepi jalan dan sungai, dapat diselesaikan. Bagi tujuan tersebut, jabatan-jabatan Kerajaan yang terlibat perlulah memastikan dua (2) buah tapak innert landfill, iaitu di Dengkil (Sepang) dan Kuang (Gombak) beroperasi dengan cekap supaya masalah sisa bukan domestik ini dapat diselesaikan secara tuntas.
1. Antara penyelesaian masalah sampah selain program kitar semula, termasuklah program rehabilitasi tapak pelupusan yang hendak diusahakan dengan lebih sempurna. Selain itu, saya berkeyakinan pembinaan insinerator mini dapat menyelesaikan isu pelupusan sampah domestik di Selangor.
1. Pun begitu, bagi memenuhi tujuan tersebut, suatu kajian keberkesanan fungsi insinerator mini perlu dijalankan sebelum ia boleh dilaksanakan. Selain itu, saya berpandapat jika pengurusan sisa pepejal ini diambil alih oleh Kerajaan Negeri, ia menjadi lebih teratur dan berkesan serta menjimatkan wang rakyat berbanding jika ia dalam pengurusan Alam Flora. Kita ada alasan munasabah dalam perkara ini. Secara purata, kebanyakan PBT membelanjakan lebih 30% hasil cukai mereka kepada Alam Flora bagi pembayaran pelupusan sampah. Oleh itu, saya mahu Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Portfolio yang berkenaan supaya mengkaji secara mendalam cadangan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal oleh kerajaan negeri.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Sekarang saya memperkatakan aspek penubuhan jawatankuasa bangunan keagamaan bukan Islam. Sebelumnya, jawatankuasa ini dinamakan Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang ditubuhkan pada 1993. Jawatankuasa ini berperanan bagi menyelesaikan masalah berhubung isu-isu mengenai bangunan keagamaan bukan Islam dan memperakukan permohonan pemberi milikan tanah bagi tapak baharu dan penggantian tapak bangunan keagamaan bukan Islam. Jawatankuasa ini sepatutnya bersidang sekurang-kurangnya dua (2) kali setahun.
1. Kerajaan Negeri sebelum ini memberikan bantuan kewangan kepada bangunan keagamaan bukan Islam mulai tahun 2003. Bantuan tersebut merupakan peruntukan kecil bagi membaik pulih kerosakan kecil tokong, kuil dan gereja di seluruh Selangor.
1. Peruntukan yang diberikan tidak melebihi RM 10,000 bagi setiap bangunan keagamaan dan permohonan peruntukan perlu dikemukakan melalui wakil rakyat setempat. Setiap kawasan DUN diperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada bangunan keagamaan yang memerlukan.
1. Pada tahun ini (2008), Kerajaan Pakatan Rakyat menaikkan peruntukan rumah ibadat selain Islam, sebanyak RM2 juta. Bagi Bajet 2009 ini pula Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi kegunaan tersebut. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap memantau dan mengawal pembinaan kuil-kuil dan tokong-tokong yang tidak mengikut spesifikasi dan peraturan yang sedang berkuatkuasa.
1. Berkenaan dengan pemasangan kamera litar bertutup (CCTV) pula, saya dimaklumi, semua PBT sudahpun menubuhkan Jawatankuasa Teknikal yang turut melibatkan pihak Polis di peringkat daerah bagi menentukan lokasi pemasangan kamera litar bertutup (CCTV). Saya juga mengarahkan Jawatankuasa Teknikal supaya mengkaji kos pemasangan agar jumlah yang berpatutan dibayar kepada syarikat kerana kontrak tersebut diberi oleh Kerajaan Barisan Nasional ketika masih memerintah Selangor.
1. Di samping itu, saya berharap dilakukan kajian semula tentang bilangan CCTV yang diletakkan di kawasan hitam, kawasan kesesakan lalu lintas, kawasan tumpuan awam serta kawasan yang difikirkan perlu supaya fungsi CCTV berjalan dengan berkesan. Pada masa ini keseluruhan pembahagian kamera di setiap PBT, berjumlah 414 unit. Sebagaimana saya nyatakan tadi, Kerajaan Negeri sedang dalam proses menilai semula perancangan projek ini bagi memastikan projek ini benar-benar memanfaatkan daripada segi keselamatan.
1. Seterusnya, berkenaan dengan usaha pemuliharaan alam sekitar. Saya menyeru semua warga negeri Selangor supaya sama-sama memulihara alam sekitar kita demi kesejahteraan generasi ke generasi. Jika tidak, impian untuk menjadikan Selangor Negeri Idaman pasti tidak kesampaian jika alam sekitar kita dicemari dan tidak dipulihara. Saya meminta supaya Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar kerap memantau dengan lebih cekap dan tegas terhadap isu-isu yang berkaitan alam sekitar dan pencemaran, serta menyelaras aktiviti-aktiviti yang dapat melahirkan kesedaran masyarakat tentang betapa pentingnya memulihara alam sekitar.
1. Bagi memastikan kejayaan tindakan ini, saya meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya meneruskan usaha-usaha penambahbaikan dalam pengurusan alam sekitar semasa pelaksanaan projek-projek pembangunan. JAS mestilah sentiasa memberi maklum balas dan ulasan yang membina dan konstruktif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan faktor alam sekitar diambil kira sebagai langkah pencegahan. Khidmat nasihat juga perlu kerap diberi kepada penggerak projek dan stake holders mengenai aspek kawalan dan pencegahan pencemaran akibat projek-projek pembangunan.
1. Sehubungan ini, rakyat yang sihat dapat menyumbang terhadap kemajuan negeri. Bagi tujuan tersebut, saya berharap Jabatan Kesihatan Negeri berusaha melaksanakan program-program yang sesuai bagi memastikan setiap individu, keluarga dan masyarakat mencapai tahap kesihatan yang optimum dan menikmati kualiti hidup yang sewajarnya.
1. Usaha yang murni ini termasuklah meningkatkan taraf kesihatan penduduk dan kesihatan persekitaran dengan mengawal penyakit demam denggi dan penyakit-penyakit berjangkit lain, menjaga kebersihan dan keselamatan makanan, serta mempromosikan cara hidup sihat kepada masyarakat.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Anggaran hasil Kerajaan Negeri yang dapat dikutip pada tahun 2009, berjumlah kira-kira RM1,400 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 4.48 % berbanding anggaran hasil 2008 yang berjumlah RM1,340 juta. Pendapatan ini meliputi kutipan hasil cukai sebanyak RM463 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM530 juta, dan terimaan bukan hasil sebanyak RM407 juta. Sila rujuk Gambar Rajah 3.
Your browser may not support display of this image.
Gambar Rajah 3: Carta Pai Anggaran Hasil Tahun 2009
1. Selaras dengan dasar bajet berimbang, saya mencadangkan supaya wang sebanyak RM1,400 juta diperuntukkan bagi bajet 2009. Daripada jumlah peruntukan ini, RM689,400,000 diperuntukkan bagi Belanja Mengurus dan RM710,600,000 bagi Belanja Pembangunan. Dengan yang demikian, Belanja Mengurus dan Belanja Pembangunan pada tahun 2009, pada nisbah 49:51. Sila rujuk Gambar Rajah 4.
Your browser may not support display of this image.Your browser may not support display of this image.
Gambar Rajah 4: Carta Pai Pembahagian Peruntukan Tahun 2009
1. Seterusnya, dibentangkan anggaran perbelanjaan tanggungan, yang berjumlah RM43,684,174, dan diperuntukkan dalam Perbelanjaan Tanggungan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM16,769,025 diperuntukkan bagi Perbelanjaan Diraja, sejumlah RM20,000,000 untuk pembayaran hutang kepada Kerajaan Persekutuan dan pampasan, sejumlah RM6,653,947 diperuntukkan bagi perbelanjaan Dewan Undangan Negeri, dan RM261,202 bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri. Sila rujuk Gambar Rajah 5.
Your browser may not support display of this image.Your browser may not support display of this image.
Gambar Rajah 5: Carta Pai Pecahan PerbelanjaanTanggungan
1. Sejumlah RM689,400,000 diperuntukkan dalam Perbelanjaan Perbekalan tahun 2009. Peruntukan ini meningkat sebanyak RM19,400,000 ataupun 2.9%, berbanding dengan tahun 2008.
1. Daripada peruntukan perbelanjaan mengurus tersebut, sebanyak RM256,794,419.65 diperuntukkan bagi Perbelanjaan Emolumen. Peruntukan ini meningkat sebanyak 4.2% berbanding tahun lalu berikutan kenaikan harga minyak yang membawa implikasi terhadap kenaikan harga barangan yang lain.
1. Sejumlah RM432,605,580.35 pula diperuntukkan dalam perbelanjaan-perbelanjaan lain, iaitu untuk Perkhidmatan dan Bekalan, Pembelian Aset dan Pemberian Kenaan Tetap. Sila rujuk Gambar Rajah 6.
Your browser may not support display of this image.
Gambar Rajah 6: Carta Pai Agihan Peruntukan Tahun 2009
1. Berhubung dengan anggaran perbelanjaan pembangunan, pada tahun 2009, sejumlah RM710,600,000 dicadangkan bagi Perbelanjaan Pembangunan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM704,824,300 bagi Perbelanjaan Pembangunan dalam Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, dan RM5,755,700 bagi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan.
1. Peruntukan Pembangunan ini diagihkan kepada 11 jabatan yang bertanggungjawab melaksanakan projek-projek pembangunan negeri. Semua peruntukan tersebut merupakan peruntukan yang disediakan secara langsung melalui peruntukan negeri. Pembahagian secara keseluruhan dilakukan mengikut Kepala-Kepala (Bahagian-Bahagian) berikut:
* * a) Sejumlah RM235,229,943 diperuntukkan bagi Bahagian P01 - Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan untuk pelbagai projek perkhidmatan masyarakat, pembangunan luar bandar, perbandaran, pembangunan industri, pembangunan sosial, pembangunan institusi pentadbiran, perikanan, mergastua, pembangunan taman, pertumbuhan desa, pembangunan usahawan, pembangunan insan, kajian-kajian, Program Merakyatkan Ekonomi Selangor dan program-program dalam Jawatankuasa Tetap.
* * b) Sejumlah RM36,000,000 diperuntukkan bagi Bahagian P04 dan P05 - Perbendaharaan Negeri, iaitu RM35,000,000 pelbagai Projek Am dan RM1,000,000 untuk menaik taraf sistem komputer Perbendaharaan Negeri.
* * c) Sejumlah RM15,000,000 diperuntukkan bagi Bahagian P08 - Jabatan Pertanian. Peruntukan ini disediakan bagi perbelanjaan projek-projek pembangunan taman agroteknologi, taman makanan, taman industri, industri bunga, industri tanaman hiasan, industri asas tani dan agro pelancongan.
* * d) Sejumlah RM5,755,700 diperuntukkan bagi Bahagian P10 - Jabatan Hutan untuk projek pembangunan hutan.
* * e) Sejumlah RM190,110,000 diperuntukkan bagi Bahagian P12 - Jabatan Kerja Raya. Peruntukan ini bagi perbelanjaan projek-projek pembinaan dan menaik taraf jalan dan jambatan.
* * f) Sejumlah RM65,200,000 diperuntukkan bagi Bahagian P13 - Jabatan Pengairan dan Saliran. Peruntukan ini bagi membiayai projek-projek pengairan yang meliputi rancangan mencegah banjir, menaik taraf sistem saliran perumahan dan perindustrian, pembangunan kawasan pertanian dan pelbagai projek pengairan.
* * g) Sejumlah RM103,500,000 diperuntukkan bagi Bahagian P14 - Jabatan Agama Islam. Peruntukan ini disediakan bagi projek-projek membina dan menaik taraf sekolah-sekolah rendah agama, pejabat-pejabat agama dan masjid. Peruntukan ini juga melibatkan kerja penyelenggaraan kecil.
* * h) Sejumlah RM2,718,357 disediakan bagi Bahagian P16 - Jabatan Perancangan Bandar dan Desa bagi menjalankan kajian pembangunan.
+ + i) Sejumlah RM6,386,000 disediakan bagi Bahagian P17 - Jabatan Perkhidmatan Haiwan bagi menjalankan projek dan program kawalan penyakit, ternakan ayam, ternakan rusa, transformasi industri lembu tenusu, pembangunan taman agrotek dan pengeluaran makanan, transformasi industri lembu daging dan kambing/bebiri serta pembangunan industri fidlot.
* * j) Sejumlah RM700,000 disediakan bagi Bahagian P27 - Mahkamah Syariah bagi menjalankan kerja membaik pulih institusi Mahkamah Syariah.
* * k) Sejumlah RM50,000,000 disediakan bagi Bahagian P29 - Peruntukan Luar Jangka.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sekarang, dihuraikan pula sumbangan Kerajaan Negeri kepada kakitangan perkhidmatan awam.
1. Anggota perkhidmatan awam dalam pentadbiran Kerajaan memang memberikan sumbangan yang besar dan memperlihatkan produktiviti yang tinggi terhadap pembangunan negeri Selangor. Setiap lapisan pegawai dan kakitangan mempunyai kemahiran dan sikap profesionalisme yang tinggi bagi memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
1. Saya amat berharap prestasi kakitangan sektor awam dapat dipertingkat dari semasa ke semasa. Pelbagai dasar baharu sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri yang memerlukan persefahaman dan kerjasama erat dengan kakitangan sektor awam supaya dasar atau polisi ini dapat disampaikan kepada rakyat dengan cekap dan berkesan.
1. Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan yang diberikan, Kerajaan Negeri memperuntukkan bonus bersamaan sebulan gaji dengan minimum RM1,000 bagi tahun 2008, dan diberikan dalam dua bayaran. Bayaran pertama diberikan pada September lalu, manakala bayaran kedua menyusul pada November 2008. Saya percaya dengan pemberian bonus ini, banyak sedikit dapat meringankan tanggungan perbelanjaan kakitangan sektor awam pada musim perayaan dan sebagai persiapan persekolahan anak-anak.
1. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh pegawai dan kakitangan keselamatan yang memberi sumbangan bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan serta kestabilan negeri. Terima kasih juga diucapkan kepada rakyat yang memberi mandat dan kepercayaan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat untuk memerintah dan mentadbir Negeri Selangor. Sesungguhnya, saya dan barisan pemimpin dalam parti-parti anggota Pakatan Rakyat serta barisan pentadbiran kerajaan awam dan swasta bertekad untuk terus berusaha membawa perubahan demi kesejahteraan rakyat Selangor.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Bagi mengakhiri ucapan pembentangan Bajet Tahun 2009 Negeri Selangor ini, saya perlu menekankan lagi penjelasan berkenaan dengan tumpuan utama Kerajaan Negeri dalam usaha melaksanakan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Sesungguhnya, program-program yang sedang dan bakal dilaksanakan meliputi keperluan dan manfaat semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, usia, darjat, mahupun dukungan parti politik. Kita tetap mengakui betapa rakyat merupakan aset paling penting yang menjadi jentera atau nadi penggerak sesebuah negeri untuk terus maju ke hadapan. Maka, demikianlah sanjungan kita terhadap rakyat di negeri Selangor ini, yang diyakini sedia memperbanyak dan memperteguh sokongan kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
1. Suatu peringatan kepada kita semua, iaitu, walaupun negeri Selangor sudah berada di hadapan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, kita semua tidak seharusnya lupa atau leka dibuai mimpi lantaran kejayaan ini. Kita sewajarnya terus berusaha gigih bagi memajukan negeri menuju tahap yang lebih tinggi dan seterusnya berada di posisi yang mantap dan sukar digugat daripada segala aspek, khususnya ekonomi, politik dan sosial.
1. Oleh yang demikian, marilah kita menggembleng tenaga agar semua rakyat dapat memperoleh segala manfaat dan nikmat daripada kemajuan Negeri Selangor dengan berlandaskan prinsip Merakyatkan Ekonomi Selangor ke arah negeri berkebajikan. Namun begitu, selaku pemimpin kerajaan, kami juga menasihati rakyat jelata agar tidak leka terhadap kemewahan hidup, sebaliknya sentiasa menghayati peringatan Allah, sebagaimana firman-Nya dalam Surah As-Syura, Ayat 36, bermaksud: “Maka sesuatu yang diberikan kepadamu itu merupakan kenikmatan hidup di dunia, dan yang ada pada sisi Alah lebih baik dan lebih kekal bagi orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal”.
1. Selaku ketua Kerajaan Negeri, saya menanam hasrat untuk memastikan semua pihak terus tekun, gigih dan mempunyai cita-cita yang tinggi bagi memastikan kestabilan ekonomi, keharmonian antara kaum dan kestabilan politik dipelihara bersama. Kita tidak mahu menggadai kemakmuran negeri Selangor yang selama ini kita kecapi bersama, akibat permusuhan, pertelingkahan dan perselisihan pendapat dalam kalangan sesetengah pihak. Kita berharap semua pihak menerima keputusan rakyat dan tidak membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dalam keghairahan sesetengah pihak menyerang Kerajaan Negeri. Kita berharap pemimpin politik dapat memperlihatkan contoh kematangan berpolitik ala bangsa Malaysia dalam proses pematangan sistem demokrasi tanah air kita. Sikap seumpama ini tidak merugikan sesiapa bahkan ia mampu memberi kemakmuran jangka panjang yang dapat diwarisi oleh generasi anak dan cucu cicit kita. Sila kita hayati maksud pantun yang berikut:
Khabarnya ramai orang berjiwa kerdil
Selama lima dekad BN memerintah
Kini pentadbiran PR telus dan adil
Selangor maju rakyatnya mewah
1. Saya memohon ke hadrat Ilahi agar mendapat rahmat, petunjuk dan hidayah-Nya bagi memimpin negeri Selangor tercinta ini, dalam usaha mengekalkan kesejahteraan, menegakkan kebenaran, membezakan dakyah dan kepalsuan demi kemakmuran rakyat seluruhnya. Semoga kita sentiasa dipelihara Allah SWT dan berada dalam cakupan perlindungan-Nya. Harapan kita ini bersesuaian sekali dengan firman Allah dalam Surah Yunus, Ayat 58, yang bermaksud: “Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan”.
Bersempena Syawal Tahun Hijrah 1429 ini, saya dan isteri, Puan Sri Salbiah, dengan tulus ikhlas mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin” Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang beragama Islam.
Tuan Speaker,
Saya mohon mencadangkan….