Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!

Friday, 2 January 2009

Lapan penyakit Nafsu Dan Penawarnya

Lapan penyakit Nafsu Dan Penawarnya
Posted on 2 JAN,2009

PENYAKIT NAFSU DAN PENAWARNYA
oleh Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy(325H-412H)

Penyakit Pertama
Ia menyangka bahawa ia telah berjaya mengetuk pintu ketuhanan dengan berbagai-bagai zikir dan amal ketaatan. Pintu itu memang terbuka tetapi laluan untuk rujuk kepada Allah di dalam jiwa ditutupnya, disebabkan oleh banyaknya dosa-dosa yang telah dilakukan.

Kata Ibn Masruq, pada suatu hari Rabia’ah al-Adawiyah telah lalu dimajlis Soleh al-Murra, lalu Soleh berkata, “Siapa yang berterusan mengetuk pintu ketuhanan Allah akhirnya ia akan dibuka,” lalu dijawab oleh Rabia’ah al-Adawiyah, ” Pintu itu terbuka tapi kamu lari daripadanya. Bagaimanakah kamu boleh sampai kepada matlamat perjalanan sekiranya kamu tersalah jalan sejak dari langkah yang pertama lagi? Bagaimanakah seseorang hamba itu dapat membebaskan dirinya daripada pengaruh jahat nafsunya sedangkan ia sentiasa dikuasai oleh syahwat? Atau bagaimanakah seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada kongkongan hawa nafsu sedangkan ia tidak menegah dirinya daripada melakukan dosa-dosa?”

Kata al-Sulamiy, Ibn Abu Dunya berkata, para ahli hikmah berkata, “Janganlah kamu meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat kejayaan menuju Allah sedangkan dirimu diselaputi dosa.”

Rawatannya ialah sepertimana kata Sarij al-Saqati,“Hendaklah kamu sentiasa menurut jalan hidayah, mempastikan segala pemakanan bersumber daripada yang halal serta menyempurnakan ketakwaan kepada Allah.”

Penyakit Kedua
Apabila ia menangis maka hilanglah rasa dukacitanya dan ia berada di dalam keadaan senang hati.

Rawatannya ialah dengan sentiasa melazimi perbuatan menangis berserta perasaan dukacita oleh kerana dosa yang ia lakukan sehingga ia tidak berhajat kepada keinginan untuk bersenang hati. Oleh itu apabila seseorang diuji oleh Allah dengan perasaan dukacita, ia tidak akan menangis dengan sebab dukacita itu, bahkan ia akan merasa senang hati dan bergembira jika tangisan itu lahir daripada rasa takut kepada Allah kerana dosa yang dilakukannya. Sesiapa yang menangis kerana dukacita maka tangisan itu akan menambahkan lagi beban dukacita yang ditanggungnya.

Penyakit Ketiga
Apabila ia ditimpa mudarat ia akan mengadukannya kepada kuasa yang tidak mampu merungkai mudharat tersebut. Bagitu juga, dia akan meletakkan pergantungan harapannya kepada sesuatu yang tidak akan mampu memenuhi harapannya. Ia juga berhempas pulas dan menumpukan perhatian sepenuhnya mencari rezeki sedangkan rezekinya telah dijamin oleh Allah.

Rawatannya ialah dengan memperbetulkan keimanan dengan menyakini sepenuhnya firman Allah s.w.t. :
Yang bermaksud, “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia(Allah); dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, …

Firman Allah s.w.t. lagi:
Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya …

Hakikat yang telah dinyatakan oleh ayat-ayat tersebut adalah sangat jelas bahawa semua makhluk Allah itu bersifat lemah. Di suatu sudut yang lain, semua makhluk memerlukan bantuan daripada pihak lain untuk menyempurnakan kehidupannya. Bagaimanakah orang yang memerlukan bantuan untuk memenuhi kehidupannya mampu untuk mengisi keperluan hidup orang lain. Oleh itu apabila seseorang itu ternyata lemah serta tidak berkemampuan nescaya dia tidak akan dapat memperbaiki orang lain. Jadi dia perlu memperbetulkan salah faham ini dan hendaklah bergantung kepada Allah secara mutlak.

Penyakit Keempat
Dia telah mengabaikan hak-hak tertentu yang wajib ke atasnya, sedangkan sebelumnya dia telah melaksanakan hak-hak tersebut. Pengabaian ini lebih tercela apabila seseorang itu langsung tidak ambil peduli terhadap kecuaian dan kelalaian itu. Ia akan menjadi sangat tercela apabila seseorang itu tidak menyedari kelalaiannya. Keadaan ini akan menjadi lebih dahsyat apabila seseorang itu menyangka bahawa kehidupan agamanya sempurna walaupun keadaan dirinya penuh cuai.

Hal ini berlaku kerana ketika ia melaksanakan hak-hak yang dituntut ke atas dirinya itu, sifat syukur yang ada di dalam dirinya kepada Allah sangat sedikit. Apabila semakin berkurangan sifat syukur di dalam dirinya, lalu kedudukan seseorang itu akan ditukar oleh Allah daripada menghayati dan menjunjung perintahNya kepada makam lalai dan cuai. Akhirnya seseorang itu akan terhijap daripada dapat melihat kelemahannya bahkan lebih dahsyat lagi, dia akan menganggap kejahatan dan dosa yang dilakukannya sebagai kebaikan. Hal inilah yang ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:
Yang bermaksud, “Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik,?”
(Surah Fathir : 8)

Rawatannya ialah sentiasa rujuk kepada Allah dalam segala hal serta melazimi zikir-zikir tertentu, membaca Al-Quran, berhati-hati dan teliti dalam sumber rezeki dan makanan dengan mempastikan yang halal, memelihara kehormatan dan maruah umat Islam, serta memohon doa daripada auli’a Allah agar melalui doanya itu Allah akan memeliharanya daripada kelemahan dan kesalahan yang telah disebutkan sebelum ini, disamping Allah akan membukakan hijab untuknya melaksanakan ketaatan kepada Allah.

Penyakit Kelima
Dia mentaati perintah Allah tetapi tidak dapat mencapai kemanisan di dalam melaksanakan perintah itu. Hal ini berlaku kerana amal ketaatannya itu telah bercampur baur dengan unsur-unsur riya’ dan tidak disertai dengan keikhlasan serta tidak menurut sunnah di dalam amalan.

Rawatannya ialah dengan melatih jiwa supaya ikhlas di dalam amalan, menuruti sunnah di dalam setiap perbuatan dan amalan serta memperbetulkan seluruh asas kehidupan supaya kesudahannya menepati kehendak kebenaran.

Penyakit Keenam
Dia mengharapkan dirinya mendapat balasan kebaikan setelah mendapati tanda kebaikan itu wujud pada dirinya. Sekiranya ia dapat mencapai kebaikan itu nescaya orang yang jiwanya hampir kepada Allah akan bermasam muka dan merasa malang dengan kehadirannya.

Hal ini pemah disebutkan kepada sebahagian daripada para salaf, “Apakah pendapatmu terhadap (Seseorang yang bertahan makamnya di dalam dunia kesufian di antara dua makam)?” Lalu dijawab, “Aku pernah menyaksikan pelbagai golongan seperti itu. Kalaulah bukan kerana aku pernah menjadi seperti mereka, nescaya aku akan memohonkan keampunan daripada Allah untuk mereka. Beginilah bentuk perjalanan (jiwa yang hidup).

Rawatannya ialah hendaklah diketahui sekiranya Allah mengampunkan dosa-dosa mereka sedangkan Allah menyaksikan dan mengetahui bahawa keampunan yang dianugerahkannya itu akan ditukar ganti oleh mereka itu dengan melakukan dosa dan maksiat. Oleh itu hendaklah kita merasa malu kepada Allah dan sentiasa sedar terhadap kejahatan diri sendiri. Hal ini dinyatakan oleh al-Fudail bin ‘Iyad6, “Alangkah kejinya perbuatan kamu itu walaupun kamu merasakan ianya sesuatu yang baik. Ini adalah kerana kamu telah mendahului ilmu Allah di dalam urusan tersebut.” Kata Al-Sulamiy, Yahya bin Muaz7 berkata, “Berlapar itu dianggap sebagai makanan kerana dengan berlapar itu Allah akan memperkuatkan tubuh badan para siddiqin.”

Penyakit Ketujuh
Jika kamu ingin membina dan menyuburkan kehidupan akhirat kamu, terlebih dahulu hendaklah kamu mematikan keinginan terhadap (keseronokan) kehidupan duniawi. Kamu tidak akan dapat berdampingan dengan Allah sehingga kamu mematikan keinginan nafsu kamu kepada perkara-­perkara yang keji.”

Hal ini disebut oleh Yahya Bin Mu’az, katanya “Sesiapa yang menghampirkan diri kepada Allah dengan hati yang mendalam, Allah akan memelihara jiwanya daripada godaan nafsu. Cara menguasai hawa nafsu itu ialah melakukan perkara-perkara yang tidak disukainya, kerana nafsu itu selama-lamanya tidak akan tunduk kepada kebenaran.”

Rawatannya ialah berjaga malam untuk beribadat, berpuasa, melaksanakan kewajipan yang tidak disukai oleh nafsu serta menghalang daripada pengaruh syahwat yang berbagai-­bagai.

Penyakit Kelapan
Nafsu itu selama-lamanya tidak akan melahirkan kebenaran. Hal ini kerana amal ketaatan itu berlawanan dengan kehendak nafsu, bahkan akan lahirlah pula pertentangan yang lebih banyak apabila seseorang itu patuh mengikut kehendak hawa nafsu dan syahwat.

Rawatannya ialah keluar daripada kongkongan nafsu itu secara keseluruhan kemudian kembali kepada Allah secara mutlak. Al-Sulamiy berkata, “Abul Qasim al-Basri berkata di Baghdad; Ibn Bazdan telah ditanya, “Atas dasar apakah seseorang itu keluar menuju kepada Allah?”

Katanya,”Keluar di atas dasar dia tidak akan kembali semula ke tempat asalnya, serta dia akan memelihara dan menumpukan seluruh perhatiannya kepada Allah.” Abul Qasim al-Basri berkata, “Hal itu hanya melibatkan pencarian orang yang telah menemui hakikat ketuhanan Allah”

“Bagaimana pula keadaan orang yang masih belum menemui hakikat itu?” Jawabnya, “Kemanisan iman yang lahir dipermulaan langkah menuju Allah itu akan menjadi penawar yang sangat mujarab untuk mengharungi segala kepahitan di dalam pencarian hakikat ketuhanan itu di hari-hari yang mendatang.”

No comments: