Hari Terakhir Saya Sebagai Mufti Perlis..
Posted on 30 NOV,2008
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis. Ini bererti, Pena Mufti kali ini adalah Pena yang akhir daripada saya bagi ruangan ini. Menjelang jam 12 malam ini, maka tamatlah tugasan saya sebagai seorang mufti di Negeri Perlis. Insya Allah, pada jam 10.45 pagi esok (isnin) saya akan bertolak ke United Kingdom bagi cuti sabatikal saya. Saya akan menyempurnakan –dengan izin Allah- kajian perbandingan mengenai tafsiran hadis antara fundementalis dengan orientalis.
Dua tahun sebulan saya menjadi mufti. Izinkan saya pada hari ini menceritakan sedikit pengalaman yang ringkas dalam tempoh tersebut. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, sekadar berkongsi pengalaman dengan para pembaca yang selalu setia. Jika ada yang baik boleh diambil manfaat, jika ada yang buruk, wajar dijauhi.
Pada hari saya dijemput ke Perlis untuk menjadi mufti saya berfikir panjang apakah yang mampu untuk saya lakukan mengenai perubahan kefahaman dan minda rakyat. Mampukan saya menghadapi corak warna yang sukar diubah yang menguasai suasana. Beberapa hari selepas tawaran itu datang, Ramadan menjelang. Saya yang teramat lemah dan kerdil ini mengambil kesempatan dari dataran Ramadan yang penuh rahmat memohon pertolongan Allah agar diberikan kekuatan dan kemampuan agar saya mampu melakukan sesuatu.
Selepas ramadan itu, saya pun menerima tugas sebagai Mufti Perlis dan cuba melakukan tanggungjawab yang saya percaya saya patut lakukannya. Bermula pada saat itu, saya belum berehat menghadapi berbagai isu yang saya utarakan atau yang muncul dalam masyarakat. Atas slogan: “Kembalikan imej Islam” , “Islam dibina atas dalil dan fakta”, “Islam itu mudah”, “Islam memusuhi kebodohan”, saya berkuliah di sana-sini, berucap dalam berbagai majlis, membentangkan kertas kerja, memberikan pandangan yang berbagai di media, memenuhi berbagai rancangan televisyen, menghadiri berbagai dialog, menulis sekitar seratus lebih artikel yang melahirkan berbagai diskusi sepanjang dua tahun, menghasilkan buku, membuka laman web yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan, berunding dan berbincang dengan berbagai pihak, pertubuhan, artis, pelajar dan lain-lain.
Namun saya terus yakin, masih ada ruangan baki tenaga yang barangkali saya belum gunakan sepenuhnya. Ada waktu saya terbuang kerana bersembang dan ceria bersama rakan dan sahabat yang kadang-kala mengambil masa yang lebih daripada yang patut. Ada juga ruang waktu santai yang kadang-kala mungkin boleh untuk dikurangkan.
Pun bagitu dalam tempoh dua tahun itu saya juga beberapa kali demam yang disebabkan lebihan bebanan kerja. Memerah otak lebih penat daripada memerah tenaga. Alhamdulillah, tidak boleh dinafikan juga, sokongan Kerajaan Perlis yang lepas dan Istana Perlis yang memberi ruang serta tidak pernah mengongkong saya adalah antara faktor yang melancar segala usaha.
Merubah bukit dan gunung kadang kala lebih ringan dari merubah minda manusia yang berakar umbi sekian lamanya. Bukit dan gunung jika diubah tidak akan bercakap, tetapi manusia jika kita ingin mengubah mindanya yang patut diubah, jika mereka tidak bersetuju, mereka bukan sahaja menolak, tetapi merencana untuk bertindak dan kita akan menghadapi padahnya. Bukit dan gunung tidak akan akan berdusta dan membuat cerita bohong mengenai kita, tetapi manusia yang tidak bersetuju akan melakukannya. Bukit dan gunung tidak akan hasad dengan kita, tetapi manusia jika dia hasad, segala kejadian dan cerita luar biasa akan tercetus.
Apapun saya rasa perubahan –alhamdulillah- telah berlaku dalam tempoh tersebut. Berbagai lapisan rakyat yang berjumpa saya menyatakan sokongan. Ribuan email sokongan diterima sepanjang tempoh tersebut. Walaupun tidak dinafikan masih ada yang memusuhi, prejudis dan menganggap saya mengganggu periuk nasi dan kerusi empuk mereka yang selesa terutama sebilangan mereka yang berjawatan dalam agama dan politik.
Dua tahun memanglah singkat. Hari ini saya telah menamatkan pusingan dan tugasan tersebut. Kepada Allah saya serahkan; agar diampunkan kelemahan dan diberi pahala jika ada kebaikan. Siapalah insan yang kerdil dan daif seperti saya untuk merasai diri telah menyempurnakan tugas. Bahkan saya yakin, masih ada ruangan yang patut saya sempurnakan, namun saya tidak memenuhinya. Maka apabila saya ditanya oleh wartawan yang berbagai: “Apakah Dr berpuas hati dengan misi yang dilakukan sepanjang dua tahun ini?”. Jawaban saya, tentulah “tidak”. Saya mengharapkan Allah mengampuni kekurangan dan kelemahan saya.
Saya teringat Rasulullah s.a.w yang amat sempurna itu. Dalam khutbah baginda pada Hari Hajjatul Wada’, baginda bertanya lautan para sahabah yang hadir tentang tugasan yang telah dilakukan oleh baginda. Baginda bersabda:
“Kamu akan ditanya (oleh Allah) mengenaiku, apakah yang akan kamu jawab?” Kata mereka: “Kami menyaksikan bahawa engkau telah menyampaikan, telah menunaikan, dan telah menasihati”. Lalu baginda mengangkat jari telunjuk ke langit dan kemudian ke arah orang ramai dan bersabda: “Ya Allah! Saksikanlah” sebanyak tiga kali. (Riwayat Muslim).
Demikian seorang nabi yang penuh amanah menunaikan tanggungjawab, menyampaikan kebenaran dan menasihati umat, pun begitu masih inginkan kepastian dan kepuasan perasaan dengan bertanyakan orangramai tentang tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh dirinya yang mulia. Siapalah kita di hadapan semua ini.
Mengubah minda dan pemikiran bukan kerja yang mudah. Ia memerlukan masa dan kesungguhan. Lebih daripada itu, ia memerlukan kesabaran dalam menghadapi ujian dan harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan. Kata ‘Abd Allah bin Mas’ud r.a:
“Apa akan terjadi kepada kamu nanti apabila fitnah (penyelewengan) membaluti kamu. Anak kecil membesar dalamnya, yang dewasa pula telah tua bersamanya, lalu fitnah dijadikan sunnah (kebiasaan) sehingga jika ia diubah maka dikatakan “ini tindakan yang munkar”. Ditanya beliau: “Bilakah hal itu akan terjadi?”. Jawabnya: “Apabila kurangnya mereka yang amanah dalam kalangan kamu, tetapi ramainya pemimpin (orang politik) kamu, kurangnya mereka yang faqih (memahami hakikat Islam) dalam kalangan kamu tetapi ramainya pembaca al-Quran, dan dipelajari ilmu bukan kerana agama (Allah) serta dicari dunia dengan amalan akhirat” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq- lihat: al-Albani, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, 1/26).
Ini realiti kita sebenarnya. Banyak perkara bukan agama dikatakan agama. Sehingga manusia sukar hendak membeza antara pendapat ustaz dengan nas al-Quran dan al-Sunnah yang sebenar. Lalu pendapat golongan agama, sekalipun tidak menepati nas tetap dimaksumkan. Contohnya seseorang tidak membeza antara perkahwinan yang sah, dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh Pejabat Agama. Seperti cerita seorang kadi yang enggan mengesahkan perkahwinan yang diuruskan oleh kadi lain kerana pasangan tersebut menjemput kadi luar kawasan. Padahal rukun nikah sudah dipenuhi; ada pasangan, wali, saksi dan akad. Namun kerana fulus pendaftaran tidak sampai ke tangan kadi kawasan, maka pasangan itu selama beberapa tahun terpaksa merayu sijil nikah mereka. Menderitalah mereka dalam tempoh tersebut, lalu ada yang menganggap perkahwinan mereka tidak sah.
Sama seperti perkahwinan di luar negara, bukan tidak sah tetapi tidak diiktiraf oleh kerenah birokrasi agama di Malaysia. Begitu juga dalam hal-hal lain termasuk ibadah. Berapa banyak perkara adat melayu disangka ajaran Islam sehingga jika kita berbeza kita akan dituduh dengan berbagai perkara. Demikian juga kita kekurangan tokoh yang amanah tetapi ramai pulak yang hendak jadi ahli politik.
Seterusnya betapa ramai para pembaca al-Quran atau penceramah dalam kalangan kita, tetapi sedikit pula yang benar-benar memahami hakikat Islam yang dihantar kepada umat manusia. Akhirnya kita gagal menampilkan imej Islam yang indah seperti yang diperjuangkan oleh baginda Nabi s.a.w.
Dalam rangkap yang akhir dalam riwayat ‘Abd Allah bin Mas’ud ini dicerita pada zaman fitnah tersebut manusia menggunakan amalan agama untuk mendapatkan dunia. Lihatlah, bermula dengan upah sembahyang hadiah untuk jenazah, upah baca al-Quran untuk mayat sehingga perkara-perkara lain yang lebih besar yang lain. Semua itu projek duit atas nama agama. Berbagai khurafat akhirnya muncul, sedangkan umat Islam dilanda bermacam masalah yang getir.
Saya yang maha lemah ini mencuba untuk memberikan pandangan dan pemikiran agar Islam dan umat Islam dalam negara ini dapat terus tampil relevan terutama dalam menghadapi perubahan zaman. Saya bukan tidak menyokong majlis fatwa kebangsaan, tetapi kita perlukan kematangan dalam membimbing umat dan menghadapi zaman. Di samping fatwa yang ada, cubalah kita juga berikan fatwa yang dapat membangkitkan umat seperti fatwakan berdosa umat Islam di negara ini membiarkan ekonomi dikuasai oleh orang lain.
Alhamdulillah, media seluruh negara begitu baik membantu saya. Antara yang paling utama ruangan saya dalam Pena Mufti ini telah dibaca oleh berbagai pihak. Saya mendapat sahabat yang ramai kerana ruangan, termasuklah Tun Mahathir dan berbagai tokoh besar yang lain. Ribuan email dan surat sokongan saya terima daripada rakyat Malaysia dalam dan luar negara, muslim dan bukan muslim. Juga para pembaca daripada Singapura, Brunei dan Indonesia.
Media-media luar juga sering menemuramah saya. Di mana saya pergi alhamdulillah, berbagai lapisan menyatakan sokongan. Walaupun pada peringkat awal banyak yang prejudis, namun anjakan masa dan perubahan hari telah membawa sebahagian besar mereka dapat menerima bahawa idea dan pandangan yang dikemukakan itu di luar dari daerah kepentingan mana-mana individu atau pihak.
Namun saya tahu yang menolak terus menolak. Saya masih ingat, apabila RTM membuat wawancara khas secara langsung dengan saya yang dikendalikan oleh Datuk Johan Jaafar, apabila saya hadir ke mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan, pengerusinya seakan mengada sidang mahkamah khas mempertikai apa saya kemukakan. Namun kerana masa itu saya masih awal sebagai mufti, saya enggan mengambil langkah bertegang.
Bukan sedikit selepas itu berbagai fitnah datang daripada mereka yang memegang ‘jenama agama’. Ada yang tuduh saya tumbuk imam di Perlis, ada yang kata Amerika bantu. Ada yang ‘sepangkat’ dengan saya dalam ceramahnya menceritakan bahawa saya pergi ke New Zealand keluar bas tidak pakai songkok dan naik bas terlewat. Itu memang benar, namun saya pasti apakah itu perlu dimasukkan ke dalam isi ucapan.
Sehingga pada saat-saat ini pun apabila saya memberikan sedikit alternatif tentang isu yoga, ada pihak yang mendakwa Ph.D saya bukan dalam bidang agama dan saya tidak layak memberikan pandangan di hadapan golongan agama yang sudah lama berjawatan. Padahal Ph.D yang ditulis dalam Bahasa Arab itu telah dicetak oleh UIAM, dan cetakan kedua diterbitkan oleh pencetak buku ternama di Beirut, Lebanon. Saya malas hendak melayan itu semua dalam kesibukan mengejar waktu.
Bahkan rakan-rakan sejawatan beberapa negeri menghalang saya berceramah dalam negeri mereka. Selangor umpamanya membenar semua mufti berceramah, kecuali Mufti Perlis. Pihak JAKIM pula tidak akan melantik saya dalam sebarang panel fatwanya, walaupun mufti negeri-negeri lain dilantik. Saya menerima bahawa itulah realiti perjuangan dengan penuh senyuman dan tidak berkecil hati. Mereka yang lebih daripada saya, bahkan tidak dapat dibanding seperti para nabi dan ulamak terdahulu menghadapi lebih berat daripada itu.
Saya teringatkan kata-kata Za’ba dalam bukunya “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” yang Prof DiRaja Ungku Aziz kirimkan kepada saya agar saya baca. Antara katanya yang pernah saya petik dahulu:
“Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).
Saya telah mencuba dalam masa dua tahun yang lepas. Terserah kepada rakyat untuk menilainya. Jika ia tidak berjaya pun, saya mengharapkan Allah memberikan kepada saya pahala. Ya! Ratusan email saya terima membantah keputusan saya tidak mempertahankan jawatan mufti ini. Sehingga ada yang menulis “Selama ini saya amat menyanjungi kebijaksanaan tuan mufti, tetapi saya yakin tindakan tuan berhenti adalah merupakan keputusan yang silap, atau tuan mungkin tidak lagi memikirkan kepentingan umat Islam dan rakyat negara ini lagi. Maafkan saya!”.
Saya ingin katakan, saya akan terus berfikir untuk itu, bahkan saya akan cuba mewakafkan hidup untuk perjuangan yang panjang ini. Saya bukan lari meninggalkan medan perjuangan, tetapi saya insyaAllah akan pulang dengan kekuatan yang baru. Rakyat Perlis bersalam dengan saya pada Jumaat lepas dengan kesedihan dan tangisan. Saya bersyukur saya meninggal jawatan dengan penuh penuh senyuman dan persahabatan. Sekurang-kurang mereka tahu saya telah cuba melakukan sesuatu untuk Perlis dan Malaysia.
Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!
Sunday, 30 November 2008
Hari Terakhir Saya Sebagai Mufti Perlis..
Ketuanan Melayu
Ketuanan Melayu
Posted on 30 NOV,2008
Adly Zahari
* Manusia asalnya dari Adam. Tak pasti Nabi Adam apa bangsanya. Tok Guru selalu sebut akan konsep penyatuan manusia melalui Adam.
* Di Malaysia Melayu dikira tuan. Tuan asal Tanah Melayu, maka UMNO perkenalkan Ketuanan Melayu.
* Semua manusia adalah pendatang dimuka bumi Allah ini. Dicampakkan Nabi Adam kebumi maka berkembang biaklah manusia bermula dari Nabi Adam dan Hawa.
* Orang asli penduduk asal Malaysia, walaupun tak dapat dipastikan bila orang asli datang Malaysia. Mungkin selepas tu Melayu datang.
* Ada pandangan mengatakan bahawa Melayu ini berasal dari Bukit Siguntang yang namanya diambil dari sebuah sungai yang bernama Me Layu. Hikayat Munsyi Abdullah mungkin boleh menceritakan penghijrahan bangsa ke Malaysia.
* Kemudian Cina dan India. Portugis, Belanda, Inggeris pun ada datang ke Malaysia. Ada yang tinggal dan banyak yang balik. Dikampung saya dulu ada seorang posmen berbangsa Inggeris yang namanya John. Fasih berbahasa Melayu.
* Kaum Asli, Melayu, Cina, India, Portugis dan semua kaum yang ada di Malaysia dikira Rakyat Malaysia. Semua kaum pendatang, bezanya siapa dulu datang.
* Kalau majoriti kaum dijadikan ukuran membina ketuanan Melayu apakah Pulau Pinang dilihat sebagai tempat ketuanan Cina.
* Sebab itu Islam menolak konsep ketuanan bangsa. Ketuanan Melayu akan memakan diri sendiri.
* Dimana roh Melayu Ahmad Ismail, Pewaris, Ibrahim Ali, PPIM dalam mempertahankan perkara 153 perlembagaan Negara. Biasiswa, Bahasa, Islam, Tanah.
* Pewaris basah peluh mempertahankan ISA, sedangkan membiarkan pemimpin bergelumang dengan rasuah.
* PPIM bersungguh-sungguh mencari produk Halal untuk dijamah oleh Ummat Islam sedangkan membisu bila pemimpin menjamah rasuah. Makan kicap cina dikira jijik, makan rasuah bagaimana.
* Sebab itu Melayu perlukan pertimbangan Agama iaitu Islam. Islam telah mengangkat martabat Melayu. Melayu hina tanpa Islam. Jangan jarakkan Cina dan India daripada Islam kerana Melayu.
* Sampaikan mesej Islam bukan mesej Melayu. Kerana bersama Islam adanya Hidayah. Kita semua adalah pendatang dibumi Allah. Kalau kita amanah kita berjaya, kalau kita khianat kita akan kecewa.
* Melayu, Cina, India hanyalah bangsa untuk kita saling kenal mengenal sesama kita. Islam harus menjadi tali penghubung bagi kesatuan manusia. Buangkan ego perkauman tak kira kita Melayu, Cina atau India.>
Ucapan Dasar Presiden Keadilan Rakyat
Ucapan Dasar Presiden Keadilan Rakyat
Posted on 30 NOV,2008
Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Para Perwakilan dan Pemerhati sekalian,
Assalamualaikum w.b.r,dan salam sejahtera.
Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah swt kerana dapat kita bertemu sekali lagi bagi mengadakan Kongres keADILan 2008. Sejak Kongres di Negeri Sembilan tahun lalu, pelbagai cabaran dan perubahan telah berlaku kepada parti kita dan juga negara. Justeru, Kongres kali ini adalah peluang untuk kita menilai pencapaian dan memetakan masa depan parti kita dalam menjana Harapan Baru untuk Malaysia.
PKR – Parti Untuk Semua
KeADILan telah memainkan peranan yang signifikan dalam reformasi politik, sosial dan ekonomi negara. Malah dalam muafakat Pakatan Rakyat bersama Pas dan DAP; kita hanya setapak sahaja lagi untuk membentuk sebuah kerajaan baru. Namun sebelum itu, izinkan saya mengambil sedikit masa menekankan prinsip keadilan yang menjadi asas kepada perjuangan parti. Nilai keadilan merangkumi segala aspek kehidupan dan ia tuntas dengan ajaran Islam serta keluhuran agama-agama lainnya.
KeADILan tertubuh hasil dari hasrat perjuangan dan doa rakyat yang inginkan perubahan dalam politik negara. Agenda kita adalah agenda rakyat. Gerakan kita adalah gerakan parti politik yang berlandaskan sistem demokrasi. Justeru kita tidak akan mampu mencapai kemajuan sekiranya kebebasan berfikir dan hak untuk mengemukakan pandangan dinafikan. Kita harus mengekalkan fikrah murni dan menggilap semangat juang dan budaya kerja profesional. Setiap ahli harus mempunyai semangat juang yang kental, langkah gerak cergas, hemah bertindak dan santun berbicara.
Agenda reformasi telah menjadi inspirasi dan harapan kepada setiap rakyat Malaysia. Kita suburkan semula obor perjuangan yang dinyalakan tokoh-tokoh besar negara; Dr Burhanuddin al-Helmy, Dato Onn Jaafar, Ahmad Boestamam, Datu Mat Salleh dan Rosli Dhobi.
Saudara saudari sekalian,
Satu dekad berlalu sejak gelojak September 1998. Kita kenangkan jasa dan pengorbanan semua- termasuk yang meninggalkan kita. Dan kini, kita berhadapan dengan cabaran baru. Parti Keadilan Rakyat perlu lebih mantap; merangkumi semua kaum dan wilayah. Perlembagaan Parti perlu dikemaskini; dan saf pimpinan parti harus lebih berwibawa, peka dan bertanggungjawab. Maka untuk maksud tersebut, satu konvensyen khas akan diadakan pada akhir Febuari, insyaAllah.
Pilihanraya Umum ke-12: Satu Kejayaan Gemilang bagi Parti kita, Pakatan Rakyat, dan Fajar Baru untuk Malaysia
Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu dianggap oleh pemerhati politik tempatan dan luar negara, sebagai tsunami politik. Parti kita berjaya memenangi 31 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri. Bersama dengan PAS dan DAP, kita berjaya menghalang UMNO-Barisan Nasional daripada mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan menubuhkan Kerajaan Negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak di samping menyaksikan Umno tersungkur di Kelantan.
Tuntutan reformasi pilihanraya mencapai kemuncak melalui Perhimpunan Bersih 10hb November 2007. Perwakilan rakyat dari seluruh pelusuk negara menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum memohon kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong untuk campurtangan bagi memastikan pilihanraya yang bebas, adil dan bersih.
Tuntutan Bersih tidak mendapat perhatian sewajarnya malah Suruhanjaya Pilihanraya kekal berpihak kepada BN, perjalanan pilihanraya yang tempang dan tercemar, daftar pemilih yang gagal dikemaskini, penyalahgunaan jentera kerajaan yang tidak terkawal dan media menjadi alat propaganda picisan dan fitnah oleh Umno dan BN. Alhamdulillah kita bersyukur kerana tekanan dan serangan bertubi-tubi tidak berupaya mengabui mata majoriti rakyat. Hari ini kita melihat parti-parti komponan BN kucar-kacir, menuding jari dan bercakaran sesama sendiri kerana bukan sahaja mereka belum sembuh dari kekalahan ini, malah masih ditahap penafian- in a state of denial.
Justeru kejayaan pada PRU 12 yang lalu adalah kejayaan rakyat. Kemenangan rakyat merupakan satu kekalahan moral yang begitu besar bagi kerajaan Barisan Nasional sekaligus merubah percaturan dan lanskap politik Malaysia. Andai kata kita berjaya menawan Sabah dan Sarawak, sudah tentu kita telah menubuhkan Kerajaan Persekutuan. Harapan ini masih lagi membara dan dengan izinNya akan direalisasikan.
Sidang hadirin sekalian,
Tawaran Harapan Baru untuk Malaysia oleh Pakatan Rakyat di dalam manifesto Pilihanraya 2008, dengan mengambil pendekatan menangani permasalahan seluruh kaum dalam negara dan menawarkan barisan pimpinan berkaliber dan teruji telah berjaya meyakinkan rakyat untuk meletakkan harapan mereka kepada kita. Bermula dengan Harapan itulah akan kita susun langkah yang seterusnya agar amanah rakyat ini dapat kita tunaikan.
Manifesto Pilihanraya PKR 2008
Lima tunjang utama Manifesto Pilihanraya 2008 telah kita tawarkan kepada rakyat bagi menyembuhkan negara kita dari pentadbiran tempang dan penyalahgunaan kuasa pentadbiran Barisan Nasional.
Pertama, kita berjanji menjadikan Malaysia sebuah negara madani untuk semua rakyat. Menghormati semangat Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang dalam setiap tindakan. Kita percaya selagi kita berpegang kepada prinsip Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang, bertekad mewujudkan Badan Kehakiman yang bebas, menjamin perlindungan hak asasi semua rakyat Malaysia maka kita mampu membina sebuah negara madani, lantas melahirkan masyarakat majmuk yang bersatupadu, bertoleransi dan saling menghormati.
Kedua, kita bertekad membina semula ekonomi negara untuk seluruh rakyat Malaysia. Agenda Ekonomi Malaysia yang kita tawarkan telah menggariskan beberapa prasyarat iaitu sekiranya kita ingin bersaing di peringkat global, serta menjamin perkembangan ekonomi yang pesat, kita seharusnya menolak dasar diskriminasi yang hanya memperkaya kelompok elit, pemimpin, keluarga dan kroni. Kita akan melaksanakan dasar yang berasaskan keperluan, yang akan membantu semua rakyat miskin tanpa mengira bangsa, keturunan dan kepercayaan agama. Kita perlu meningkatkan daya saing, tahap kecekapan di samping membanteras rasuah dan berhemah di dalam perbelanjaan awam jika kita ingin berdiri setanding dengan negara-negara Asia lain seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura.
Ketiga, kita bertekad mewujudkan Malaysia yang selamat untuk semua dan melaksanakan saranan yang telah diberikan oleh panel Suruhanjaya DiRaja Pembaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia. Rasuah dan kecuaian pimpinan pasukan polis telah menjejaskan kewibawaan pasukan polis di mata rakyat. Negara memerlukan pasukan polis yang profesional, terlatih dan dilengkapi dengan peralatan terkini bagi melindungi keselamatan rakyat.
Keempat, kita berjanji menyediakan harga mampu barangan untuk semua golongan masyarakat dan mengawal harga barangan asas bagi menjamin bekalan yang konsisten dan berterusan. Semua perjanjian konsesi bagi tol dan penetapan tarif akan dikaji semula dengan meletakkan kepentingan dan kepedulian kepada rakyat sebagai faktor utama. Harga meningkat dan tidak terkawal kerana wujudnya amalan monopoli; perjanjian konsesi yang memihak kepada saudagar kaya sepertimana kekecewaan rakyat terhadap perjanjian yang dimeterai dengan syarikat pemilik stesen janakuasa bebas(IPP).
Sebagai negara pengeksport minyak, kenaikan harga petrol yang mendadak pada 5hb Jun 2008 telah mendapat tentangan hebat semua pihak kerana ia telah mengakibatkan kenaikan harga barang yang sukar dikawal dan membebankan rakyat. Meskipun hari ini kerajaan telah menurunkan harga petrol namun ia gagal menstabilkan harga barangan yang telah melambung tinggi apatah lagi ia telah meningkatkan kadar inflasi dalam negara.
Malah hari ini, manakala harga minyak di pasaran global merudum; rakyat dibebankan dengan cukai minyak tambahan. Pada keseluruhannya kerajaan Barisan Nasional ternyata tiada halatuju yang jelas dalam pengurusan ekonomi negara. Keadaan bertambah buruk apabila dunia menghadapi kemurungan ekonomi. Kedegilan kerajaan membentangkan pindaan pada Belanjawan 2009 membuktikan bahawa mereka sememangnya tidak mempunyai perancangan ekonomi dan masih tidak mahu menerima kelemahan diri. Pelan ransangan RM 7 billion yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang baru gagal memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur. Justeru tidak hairanlah berlaku penguncupan kepada kemasukan Pelaburan Langsung Asing ( FDI ) ke dalam negara. Laporan terbaru United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008, mendapati pengaliran keluar FDI secara besar-besaran mencecah RM38 billion pada tahun 2007.
Kelima, menyedari bahawa pendidikan adalah teras pembangunan negara maka kita berazam menyediakan pendidikan bermutu untuk semua rakyat. Kita juga insaf melihat kedudukan universiti-universiti Malaysia merudum di bawah tahap 200 universiti terbaik dunia, kebanjiran siswazah penganggur hingga mencecah 80 ribu orang, keruntuhan akhlak para remaja lepasan sekolah telah menguatkan tekad kita untuk mengkaji kembali dasar pendidikan sedia ada. Satu dasar pendidikan yang progresif yang mengutamakan sistem nilai pelbagai tamadun dan peringkat masyarakat akan diwujudkan agar para graduan bukan sahaja berketerampilan, malah berdaya saing dan mampu menceburi pasaran global.
Perubahan dalam Parti
Saudara saudari perwakilan sekalian,
KeADILan berada pada kedudukan yang sangat penting. Jumlah keahlian kita sudahpun meningkat kepada lebih kurang 500 000 ahli. Izinkan saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat datang kepada ratusan perwakilan dan pemerhati dari Sarawak dan Sabah. Puluhan ribu ahli baru- Dayak, Orang Ulu, Bidayuh, Melanau, Penan, Bajau, Kadazan, Dusun, Bugis, Melayu dan Cina kini menyertai KeAdilan. Saya yakin ini adalah petanda bermulanya satu pergerakan perubahan di Sabah dan Sarawak. Kita menjanjikan persembahan menarik dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan diadakan dalam tahun 2009, insya-Allah.
KeADILan akan terus memberi penerangan kepada rakyat terutama berkenaan rancangan peralihan kuasa pimpinan dari Dato’ Seri Abdullah Badawi kepada Dato’ Seri Mohd Najib Abd Razak. KeADILan menegaskan peralihan kuasa tersebut tidak akan memberi sebarang perubahan positif kepada kerosakan sistem pentadbiran utama negara seperti Badan Kehakiman, Institusi Polis, Badan Pencegah Rasuah dan Institusi Parlimen. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan, peralihan ini akan membawa kepada sebuah pentadbiran yang lebih mirip kepada pemerintahan regim lama- meluasnya penggunaan ISA dan rasuah- dimana di bawah pentadbiran lamalah berlaku kemusnahan dahsyat kepada kebanyakan institusi pentadbiran dalam negara.
Justeru itu, bagi kesinambungan perjuangan, pewaris kepimpinan selepas ini wajib seringkali bermuhasabah dan menilai diri serta langkah yang diambil supaya amanah yang dipikul tidak dikhianati. Pemimpin yang baik akan sentiasa membantu individu yang memerlukan latihan dan asuhan, mencungkil dan memupuk bakat-bakat terpendam untuk dikembangkan demi kebaikan parti dan negara. Hidup kita lebih bererti jika kita boleh menabur bakti mengikut kemampuan dan keupayaan diri.
Gabungan Harapan Baru - Pakatan Rakyat
Para Perwakilan dan Pemerhati sekalian,
Sesungguhnya kita percaya tidak akan wujud satu parti politik yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian. Justeru muafakat gabungan parti-parti politik sangat penting. Kerjasama terbuka, matang dan ikhlas antara keADILan, PAS dan DAP di bawah Pakatan Rakyat telah memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia.
Langkah berani membentuk satu pakatan hingga kita mencapai kata sepakat dalam konsep 'satu lawan satu' bukanlah mudah. Namun, hasilnya apa yang kita lihat hari ini- kita berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen dan sekaligus menafikan 2/3 majoriti Barisan Nasional dalam Dewan Rakyat dan menakluki 5 Kerajaan Negeri.
Saya dengan ini mengambil peluang mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan al-Fadhil Dato Seri Haji Hadi bin Awang serta seluruh pimpinan PAS dan YB Sdr Lim Kit Siang, YB Sdr Karpal Singh, dan YAB Sdr Lim Guan Eng serta seluruh pimpinan DAP, di atas usaha dan kerja keras mereka membina Pakatan Rakyat.
Kejayaan kita dalam pilihanraya Umum ke-12 telah mengukuhkan lagi ikatan ini. Kita telah menubuhkan Majlis Presiden dan Sekretariat Pakatan Rakyat. Kerjasama mantap Ahli- ahli Parlimen Pakatan dan pimpinan di antara lima kerajaan negeri; Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan sedang dipergiatkan.
Kepercayaan dan persahabatan yang ada di antara pemimpin Pakatan Rakyat telah membolehkan kita menandatangani 'communique bersama', yang menjelaskan komitmen kita terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa bangsa Melayu, Bahasa Malaysia dan agama Islam, sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan. Pucuk pimpinan kita juga mengulangi komitmen bersama untuk memperjuangkan hak asasi semua rakyat Malaysia. Perkembangan ini merupakan satu kejayaan besar untuk kita dan menandakan Pakatan Rakyat mempunyai masa depan politik yang cerah. Malah kita bersedia untuk mengembalikan kekebalan raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan.
Inilah erti sebenar ’Harapan Baru’ yang kita bawa. Bersatu dalam kepelbagaian, berusaha gigih membentuk demokrasi plural dan merakyatkan kepesatan ekonomi negara, berpandukan pentadbiran yang telus dan adil, prinsip pasaran terbuka serta pengagihan kekayaan secara adil. Kita telah mengambil masa lebih sedekad bagi membentuk wawasan bersama untuk masa hadapan negara, dan kita perlu terus berusaha demi mempertingkat kerjasama dan kefahaman di antara ahli parti-parti kita. Kita telahpun berjaya mengetepikan orientasi politik, ideologi parti dan sejarah kita yang sememangnya amat berbeza, demi kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya. Kerana rakyatlah maka kita mewujudkan pakatan yang berjuang berlandaskan Ketuanan Rakyat.
Kejayaan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat tiada siapa yang boleh menafikannya. Meskipun terlalu besar halangan yang cuba dilakukan Kerajaan Pusat, namun berkat iltizam yang kuat pimpinan, kita telah mampu melaksanakan sebahagian besar janji-janji kita kepada rakyat. Contohnya di Selangor ini, kita telah memberi bekalan air percuma kepada rakyat termasuk kepada ahli-ahli UMNO, menitikberatkan pendidikan anak-anak Selangor, prihatin kepada golongan warga emas dan para ibu tunggal dan berbagai kemudahan lagi, semuanya tanpa mengambil kira ideologi politik sama sekali .
Hadirin sekalian,
KeADILan Mesra Pekerja
Apabila inflasi melanda negara golongan pekerjalah yang paling terkesan. Lantaran itu, keADILan mengulangi azam untuk memperkenalkan kadar gaji minima golongan pekerja di negara ini baik dalam sektor awam mahupun swasta sekurang-kurangnya pada kadar RM1000 sebulan. Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakannya dalam tempuh terdekat. Kita juga akan mengkaji semula kadar dan sistem percukaian terutama cukai pendapatan individu. KeADILan juga berazam akan menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada semua golongan pekerja dalam sebarang kes kesihatan, pengecualian kos pendidikan kepada anak pekerja yang berpendapatan rendah, menyediakan kemudahan rumah mampu milik dan semua kemudahan asas kehidupan. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr Irene Fernandez yang memperjuangkan nasib pekerja asing yang ditindas ketika berada di dalam negara ini. Tiga belas tahun berjuang akhirnya kemenangan berpihak kepada kebenaran.
Integrasi Nasional - Sabah dan Sarawak.
Kita tetap bertekad memberikan peluang pertumbuhan ekonomi yang saksama kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak apabila kita menerajui pemerintahan negara.
KeADILan sedang giat berusaha menyusun semula operasi kita dan membina ikatan kukuh dengan generasi baru rakyat Sabah dan Sarawak bagi menjamin kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Mesej perubahan yang kita bawa sedang turun ke akar umbi di seluruh pelusuk kedua-dua negeri tersebut.
Kita komited dengan janji memberikan 20% daripada hasil pengeluaran petroleum di Sabah dan Sarawak kepada rakyat peribumi di samping memberi peranan yang lebih aktif dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan jika kita menerajui pentadbiran negara.
Masyarakat Madani dan Bloggers
Para Perwakilan sekalian,
Dalam dunia teknologi maklumat yang melihat berkembangnya Internat yang makin inovatif, kita melihat lahirnya satu kuasa baru yang dapat membentuk dan menggerakkan pandangan rakyat umum. Justeru itu, kita sama sekali tidak boleh menutup mata kepada perkembangan masyarakat madani dan komuniti blogger di Malaysia. Alhamdulillah, kita sememangnya telah lama menyedari sumbangan yang dapat mereka berikan dalam mengembangkan perjuangan kita untuk demokrasi, kebebasan dan keadilan, lantas menggunakan kemahiran mereka dengan sepenuhnya.
Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Serantau
KeAdilan sedia untuk bekerjasama dan menjalin hubungan dengan jaringan gerakan demokrasi dan kebebasan seluruh dunia. Kita mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika. Kita menyambut baik janji beliau untuk mengundurkan tentera Amerika dari Iraq dan penutupan Pusat Tahanan Guantanamo. Namun demikian, kita mengharapkan beliau agar lebih peka dan berusaha keras untuk memastikan keamanan di rantau Timur Tengah dipulihkan khususnya di Palestin, yang menderita akibat kekejaman Israel. Kita juga mengharapkan Presiden Amerika Syarikat yang baru akan menolak pendekatan “war on terror” yang ditaja oleh Presiden Bush.
Inilah masa yang tepat untuk memperlihatkan keluhuran sistem demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Kepada juak-juak Umno yang berbangga dengan langkah Presiden Bush membela akta kejam; Akta Patriot 2001 (USA Patriot Act 2001) dan Pusat Tahanan Guantanamo, haruslah menginsafi akta zalim ISA dan Pusat Tahanan Kamunting tidak lagi relevan dan wajar dimansuhkan.
KeADILan mengutuk sebarang tindakan keganasan baik yang dilakukan oleh individu, organisasi mahupun negara. Insiden yang berlaku di Mumbai mengejutkan kita dan rakyat harus menolak keras sebarang tindakan yang diambil oleh gerombolan pengganas tidak kira dari apa jua kelompok, kaum atau agama. Kita bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban atau tercedera.
Negara-negara Asean harus mengorak langkah yang lebih proaktif bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan rantau ini. Kita mesti menerima hakikat bahawa rantau ini bukannya ekabudaya. Sikap toleransi dan terbuka yang sekian lama mengakar di dalam masyarakat nusantara seharusnya menjadi asas kepada kerjasama yang lebih erat di kalangan negara-negara Asean. Penyelesaian bagi isu-isu di Selatan Thai, Mindanao dan Burma, mahu tidak mahu, harus melibatkan semua pihak sepertimana usaha yang dilakukan di Acheh.
Para perwakilan sekalian,
Parti kita semakin tertumpu, bersatu dan kuat, dengan 500,000 ribu ahli di seluruh negara. Nombor keahlian ini masih berkembang pesat, didorong oleh prinsip keadilan untuk semua yang kita junjung. Komitmen kita untuk mengubah wadah politik dan ekonomi semakin bergema dengan rakyat Malaysia yang sedar bahawa kita tidak boleh lagi menerima amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik kaum. Inilah masanya untuk bersatu dan memandang ke hadapan kerana Malaysia adalah negara yang dikurniakan rahmat. Terpulanglah kepada kita untuk memimpin jalan ke ”Harapan Baru”. Kita mesti menguatkan lagi ikhtiar kita untuk membangunkan kembali bangsa dan negara, serta menghapuskan segala rasuah dan keruntuhan akhlak.
Wabillahi-taufik-walhidayah wasalamualaikum-warahmatullahi-wabarah-katuh.
Saturday, 29 November 2008
Pilihanraya Kecil P 036 Kuala Terengganu
Pilihanraya Kecil P 036 Kuala Terengganu
Posted on 29 NOV,2008
Dewan Pemuda PAS Pusat terlebih dahulu mengucapkan takziah kepada Isteri dan seluruh ahli keluarga MP Kuala Terengganu merangkap Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Razali Ismail yang meninggal dunia di Genting Highland jam 6.30 petang kelmarin .
Beliau merupakan ahli parlimen Kuala Terengganu selama dua penggal berturut-turut. Difahamkan Allahyarham Dato' Razali 59' , rebah etika bermain badminton di institut Aminudin Baki .
Semoga mencucuri rahmatnya kepada almarhum dan menggolongkannya dikalangan hamba - hambanya yang soleh .
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, beliau menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas, Maimun Yusuf. Dato' Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi. Allahyarham mendapat 32,562 undi, manakala Mohamad memperolehi 31,934 undi. Maimun, seorang nenek yang dipercayai calon paling tua, pula mendapat 685 undi.
Berikutan kematian al marhum , satu pilihanraya kecil akan diadakan Kuala Terengganu dalam tempoh 60 hari ini .
Pemuda PAS Bersiap Siaga
Umumnya dalam apa jua keadaan , Dewan Pemuda PAS telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi pilihanraya samaada pilihanraya umum atau pun pilihanraya kecil . Ekoran kekosongan kerusi di Parlimen KuaLA Terengganu dengan kembalinya penyandang MP sebelum ini ke rahmatillah , insyaallah Dewan Pemuda PAS Pusat akan segera memanggil seluruh exconya untuk mengadakan mesyuarat bagi menyusun tindakan akhir demi merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu .
Sebelumnya , Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu pasti sahaja telah meletakkan seluruh kekuatannya mengambil peranan utama bagi menggerakkan jentera pilihanraya pemuda menghadapi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini Insyaallah .
Bahkan saya mengharap agar semua anggota pemuda di seluruh negara bersiap sedia dengan segala upaya untuk bila - bila masa dikerah turun bagi membantu jentera PAS memenangi semula kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu .
Berasaskan statistik pilihanraya lepas dan perkembangan politik tanahair dewasa kini , saya yakin kita ( PAS ) mampu memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu .
Justeru itu , persiapan yang saya maksudkan tadi bukan sahaja terhenti pada persiapan material dan fizikal tetapi apa yang lebih penting ialah persiapan spiritual berupa munajat dan pergantungan kepada Allah swt .
Mulai sekarang , semua pemuda jangan lupa untuk terus menitip doa ke hadhrat Azza wa Jalla sebagaimana biasa atau rutin kita lakukan dalam kehidupan kita sebagai seorang pejuang agar Allah swt terus membekalkan kekuatan dan ketabahan serta kesabaran untuk mara berjuang memburu kemenangan bagi Islam atau kita syahid kerananya .
Aktiviti dakwah fardiyyah sewajarnya di pertingkatkan lagi oleh semua anggota pemuda bukan sahaja terhad kepada kawasan pilihanraya semata - mata tetapi disemua peringkat dan kawasan setelah banyak perkara yang telah kita lakukan dalam usaha memahamkan masyarakat kepada Islam dan perjuangannya.
Kerana kita tidak pernah berpuas hati apa yang kita lakukan . Insyaallah kita pemuda PAS akan senantiasa melakukan suatu yang terbaik demi perjuangan Islam ini .
Kita masuk pilihanraya dan kita hadapi pilihanraya adalah kerana Islam . Kita mahu kemenangan adalah kerana Islam . Kita mengharapkan kita berjaya untuk terus memartabatkan Islam di negara kita ini khasnya .
Sekali lagi , kepada seluruh anggota pemuda PAS khasnya pemuda PAS Terengganu agar siap untuk kita menawan kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu .
Thursday, 27 November 2008
Pergi Haji : Dalam Hutang Dan
Pergi Haji : Dalam Hutang Dan Secara Berhutang
Posted on 27 NOV,2008
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
Saya ada mendengar beberapa saranan kerajaan dan beberapa buah institusi kewangan Islam untuk sama ada memberikan pinjaman tanpa faedah ( Qardhul Hasan) ataupun pembiayaan secara Islam bagi mereka yang berminat untuk menunaikan fardhu haji.
Dalam isu berkaitan, timbul banyak persoalan seperti sama ada individu yang sedang menanggung hutang wajib atau wajar menunaikan haji.
Adakah pembayaran hutang perlu didahulukan dari menjadi tetamu Allah di Baitullah al-Haram?
Bagaimana pula jika hutang untuk tempoh yang panjang? Selain itu adakah wajar pula berhutang untuk menunaikan haji.?
Artikel ini dibuat bagi menjelaskan isu ini secara padat dan ringkas serta tidak terlalu berat dengan hujjah ilmiah.
Pertamanya elok jika kita melihat kepada firman Allah dari ayat :-
وَلِلّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً
Ertinya : ".. mengerjakan Haji adalah kewajiban manusia kepada Allah swt iaitu (bagi) orang yang berkemampuan dan sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah;.." ( Al-Imran : 97 )
mecca2.jpg
Para ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan tertanggung ke atas seseorang lelaki dan wanita selagi syarat "istita'ah" atau ‘kemampuan' belum diperolehi.
Pengertian istita'ah secara mudah lagi ringkas, adalah SEBAGAIMANA YANG DINYATAKAN OLEH NABI s.a.w ketika ditanya akan ertinya, baginda Nabi s.a.w menjelaskan :
الزاد والراحلة
Ertinya : Bekalan dan pengangkutan perjalanan ( Riwayat At-Tirmidzi; berkata At-Tirmidzi & An-Nawawi : Hadis Hasan : Al-Majmu', 7/41 [1])
Jelas dari hadis yang memperincikan erti istita'ah di atas, terdapat dua perkara utama iaitu :-
1- Bekalan
Erti bekalan di sini adalah bekalan makanan, minuman dan pakaian yang mencukupi sepanjang pemergiannya sehinggalah kepulangannya. ( I'anah At-Tolibin, 2/281 ; Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316)
2- Kenderaan dan Perjalanan
Kenderaan dan perjalanan mestilah sesuai dan diyakini keselamatannya, kenderaan pula mestilah diperolehi sama ada dengan membelinya atau menyewa. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah)
DUA ISU UTAMA
Dua bekalan yang perlu untuk syarat kewajiban haji adalah jelas, namun bagaimana dengan isu yang ingin kita bincangkan? Ia seperti berikut :-
a) Berhutang melalui pembiayaan Islam untuk menunaikan haji
Berhutang untuk menunaikan Haji jika dilihat dari satu sudut, ia seolah-olah menunjukkan ketidakmampuan seseorang atau belum mempunyai kelayakan dan bekalan mencukupi untuk menunaikan ibadah Haji.
Dari sudut yang lain pula, ia mungkin juga boleh menunjukkan status kemampuan, cuma kemampuan itu memerlukan sedikit masa, maka untuk mempercepatkan status ‘mampu', ia membuat pinjaman.
Jika itu dua kemungkinannya, adakah seseorang dituntut untuk meminjam semata-mata untuk tujuan Haji.? Apatah lagi pembiayaan dari Institusi Kewangan yang akan menyebabkan kos yang lebih tinggi dari harga asal kos haji.
Jawab ringkasnya TIDAK PERLU DAN IA BUKAN PRIORITY. Itulah jawapan ringkas yang diberikan oleh Nabi s.a.w apabila ditanya oleh seorang sahabatnya Abdullah Bin Abi Awfa,
سألته عن الرجل لم يحج أيستقرض للحج ؟ قال : لا
Ertinya : Berkata Abdullah : Aku bertanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang lelaki yang belummenunaikanHaji, adakah boleh ia meminjam wang untuk Haji? , jawab Nabi : TIDAK" (Musnad As-Syafie ; 1/109 ; Al-Um, 2/116 )
Imam Asy-Syafie berkata berselepas itu :
ومن لم يكن في ماله سعة يحج بها من غير أن يستقرض فهو لا يجد السبيل
Ertinya : Barangsiapa yang tidak mempunyai kemudahan, keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat pinjaman, ketika itu DIA DIANGGAP TIDAK BERKELAYAKAN ( TIADA BEKALAN) UNTUK PERGI HAJI" ( Al-Umm, 2/116)
Islam tidak memberatkan kecuali kepada mereka yang benar-benar sudah sampai kemampuan dan bukan kemampuan yang dipaksa-paksa sebelum tiba saatnya.
Imam Ibn Qudamah menjelaskan bahawa para ulama hampir sepakat menyatakan bahawa belanja bekalan itu mestilah :-
أن يكون هذا فاضلا عما يحتاج إليه لنفقة عياله الذين تلزمه مئونتهم في مضيه ورجوعه لأن النفقة تتعلق بها حقوق الآدميين , وهم أحوج وحقهم آكد...وأن يكون فاضلا عن قضاء دينه
Ertinya : Dan hendaklah (bekalan ini) adalah harta yang lebih dari apa yang wajib ke atas tanggungjawabnya dari nafqah keluarga yang wajib disediakannya semasa pergi dan kembalinya, ini adalah kerana nafqah berkait dengan hak manusia, dan ia adalah lebih perlu dan diutamakan ( dalam hal ini dari Haji yang merupakan Hak Allah semata-mata),...selain itu mestilah bekalan ia dari harta yang lebih dari mencukupi untuk melunaskan hutangnya. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/317)
Namun demikian, jika hutang baru itu TIDAK menjejaskan keseluruhan tanggungjawab (kewajiban) hartanya kepada yang berhak (seperti anak dan isteri), kerana ia mempunyai simpanan yang mencukupi atau harta lain (dalam bentuk hartanah atau lain-lain) yang boleh dijual apabila perlu, tatkala itu, TINDAKAN BERHUTANG TADI BOLEH MENJADI HARUS. Sebagaimana kata Imam As-Syafie :
ولكن إن كان ذا عرض كثير فعليه أن يبيع بعض عرضه أو الاستدانة فيه
Ertinya : "Tetapi jika ia mempunyai harta yang banyak, bolehlah ia menjual sebahagiannya atau berhutang (kerana yakin boleh membayar balik hutang kerana mempunyai harta bukan dalam bentuk wang tunai )" ( Al-Umm, 2/116)
b) Hutang belum selesai tetapi ingin menunaikan haji.
Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan bahawa seseorang yang masih tersangkut dengan bebanan hutang TIDAK WAJIB untuk menunaikan haji. Sebagai yang dijelaskan di atas, ulama sependapat bahawa ‘bekalan' yang dimaksudkan oleh Nabi adalah lebihan harta berbanding tanggungan asasinya, justeru hutangnya terhadap individu perseorangan adalah termasuk dalam tanggungjawab asasinya seperti juga nafqah wajib.
Selain itu, hutang individu perseorangan yang bersifat jangka pendek MESTILAH diselesaikan sebelum pergi menunaikan Haji.
Sebagai contoh, terdapat beberapa individu yang masih berhutang dengan saya sebanyak RM3000, sedangkan janji pelunasan hutang sudah terlewat sekitar setahun dan beberapa bulan. Kesannya, individu ini tidak layak menunaikan haji kecuali telah melunaskan hutang yang telah dimungkiri tempohnya terlebih dahulu,
ATAU
sebagai pilihan lain, WAJIBLAH atasnya meminta izin dari saya (pemberi hutang) menunaikan Haji. Tujuannya adalah agar pemberi hutang, boleh redha jika sesuatu berlaku kepadanya sewaktu di tanah suci lalu samada menghalalkan hutang berbaki atau menuntut dari waris keluarganya.Tanpa izin, ia tidak seharusnya pergi menunaikan Haji.
Justeru, sekiranya pihak kerajaan ingin mengeluarkan khidmat pembiayaan Islam bagi mereka yang berhasrat menunaikan Haji, seluruh pertimbangan ini mestilah diberikan dan disemak kepada pemohon sebelum kelulusan diberi, agar khidmat yang bertujuan baik oleh kerajaan tidak tersilap sasaran sehingga membawa mudarat kepada individu yang kurang berkemampuan, lalu menjerumuskan mereka di dalam perkara haram.
Kerajaan Malaysia diketahui ‘cuba' berpegang dengan mazhab Syafie dalam banyak pendapat Fiqhnya, justeru dalam hal ini Imam Syafie sendiri telah meriwayatkan hadis berkenaan larangan meminjam untuk menunaikan haji. Maka jika ulama rasmi kerajaan ingin mengambil pendapat lain, mereka perlulah berhati-hati serta menilai syarat-syaratnya dan tidak tergesa-gesa.
HUTANG INSTITUSI KEWANGAN
Namun demikian, terdapat perbezaan di antara hutang individu dengan hutang Institusi Kewangan yang berpanjangan selama bertahun-tahun malah ada yang mencecah 30 tahun seperti pembiayaan rumah.
Seperti kes pembiayaan tersusun kepada institusi kewangan, terutamanya bagi mereka yang mengamalkan pembayaran melalui pemotongan gaji.
Seorang jutawan muslim di sebuah masjid di Kuala Lumpur pernah berkata kepada :-
"Ustaz kalaulah berhutang itu menghalang seseorang pergi haji, saya pastinya tidak akan pergi haji sampai bila-bila, walaupun saya ada harta yang banyak"
"Mengapa kata demikian?" Tanya saya
"kerana saya ada syarikat sendiri, dan syarikat sentiasa ada hutang baru, biasalah ustaz, bisnes sederhana dan besar tanpa wujud hutang adalah tidak logik. So, adakah kerana hutang syarikat saya ini menyebabkan saya tidak berkelayakan menunaikan Haji?" balasnya perlahan dan sangat berminat mendengar jawapan.
"Ooo, hutang jenis tu lain sikit cara pengendaliannya, tapi masih ada syarat" jawab saya ringkas
Benar, hutang dari jenis ini TIDAK menjejaskan kelayakan mereka untuk menunaikan haji DENGAN SYARAT, pemergiannya ke Haji tadi TIDAK AKAN membawa masalah kepada pembayaran hutang sistematik kepada institusi kewangan tadi.
Jika diyakini pemergiannya ke Mekah, BAKAL menyebabkan terjejasnya kedudukan kewangannya sehingga diyakini boleh menjejaskan tanggungjawab wajibnya seperti nafqah, dan hutang wajib kepada institusi kewangan.
Tatkala itu, TIDAK WAJAR baginya untuk menunaikan Haji malah pemergiannya boleh membawa kepada haram, ini kerana telah sedia maklum bahawa apa-apa yang diyakini membawa kepada haram, maka hukumnya juga jatuh HARAM. Disebutkan oleh para ulama Islam satu kaedah yang dipetik dari dalil-dalil al-Quran dan hadis :-
ما يؤدي إلى الحرام فهو حرام
Ertinya : Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adaah haram ( Majma Al-Anhar, 4/251 ; Rujuk perincian dalam ‘Ilam Al-Muwaqqi'ien, Ibn Qayyim, 3/137 )
Ia juga boleh difahami dari firman Allah yang mengharamkan segala bentuk dan jenis permulaan kepada zina. Bermakna, bukan hanya zina sahaja yang haram, segala bentuk tindakan dan perilaku yang boleh membawa zina juga adalah haram seperti peluk, cium, renungan mata, chat bersyahwat, telefon bersyahwat dan lain-lain.
Demikian juga halnya haji dengan keyakinan membawa mudarat kepada hak pemilik hutang dari kalangan individu dan institusi kewangan.
KESIMPULAN
Tiada jawapan satu baris bagi kedua persoalan di atas kecuali perincian dan semakan terhadap kemampuan individu dan kiraan semula nafqah wajibnya. Hanya selepas itu baru dapat di pastikan sama ada berhutang untuk menunaikan Haji dibolehkan atau sebaliknya.
Demikian juga halnya bagi mereka yang sedang terikat dengan hutang, perlu ditinjau jenis hutang dari pelbagai aspek dan hanya selepas itu boleh ditentukan sama ada individu ini boleh menunaikan Haji. Tanpa penilaian yang tepat, seseorang itu mungkin sahaja pergi haji dengan dosa kerana mengabaikan hak individu lain yang lebih berhak ditunai segera.
Sebagaimana berdosanya seorang isteri yang berpuasa sunat tanpa izin suami.
Sekian
[1] Namun kesohihan dan hasan hadis ini dipertikai, Imam Ibn Munzir mengatakannya dhoif, Abu Hatim terdapat perawi status munkar iaitu Abu Qatadah Abdullah Bin Waqid al-Harrami; Ibn Hajar Al-Asqolani mengatakannya tidak mawsul, manakala jalan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim pula terdapat rawi bernama Ibrahim Bin Yazid al-Khuziyy yang dikatakan sebagai matruk . Kesimpulannya kata Ibn Hajar, semua jalan periwayatannya adalah dhoif. ( Talkhis al-Habir, 2/221 )
Dr Asri: Isu haram yoga, fatwa jangan kaku
Dr Asri: Isu haram yoga, fatwa jangan kaku
Posted on 27 NOV,2008
Oleh ZIEMAN
KUALA LUMPUR Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini mula menegur Majlis Fatwa Kebangsaan tentang isu pengharaman yoga yang diumumkan baru-baru ini.
Walaupun pada dasarnya, beliau bersetuju ada unsur agama lain dalam yoga, pergerakan senaman itu menurut beliau tidak seperti air yang sudah tercemar yang sukar untuk dipisahkan.
“Majlis Fatwa jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif. Banyak lagi amalan-amalan sukan yang diambil dari budaya lain seperti tai chi, judo, taekwando. Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan,” jelas Dr Asri dalam satu temubual telefon sebentar tadi.
Dr Asri difahamkan tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan kerana dikatakan kurang selesa dengan sikap diskriminasi JAKIM kepadanya dan kenyataan Pengarah JAKIM yang tidak berapa senang dengan pandangan alternatif beliau.
Pun begitu, ini tidak menghalang beliau untuk memberi satu lagi pandangan tentang fatwa ‘yoga’.
“Pengamal-pengamal yoga yang beragama Islam sepatutnya ada alternatif dengan diberikan satu versi amalan yoga yang terpisah dengan pergerakan yang terlalu jelas menyamai agama lain, bacaan-bacaan yang bertentangan dengan agama Islam dan kepercayaan karut. Versi yoga yang disyorkan ini seharusnya mengekalkan pergerakan yang baik untuk kesihatan.
“Tanggalkan yang bertentangan sahaja, samada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Kekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan,” jelas Dr Asri.
Kata Dr Asri lagi, Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya tidak terlalu kaku.
“Fatwa yang dikeluarkan pada zaman sekarang hendaknya jangan terlalu kaku. Berilah alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga yang baik untuk kebaikan kesihatan. Sekiranya ada kelebihan dari segi kesihatan dan ianya memanfaatkan, itu boleh dikekalkan.
“Pergerakan manusia itu tidak semestinya berkaitan dengan agama. Sama seperti amalan judo, misalnya. Apa yang tidak sesuai, dihapuskan saja dan diambil manfaatnya. Kita kekalkan pergerakan yang meafaatkan badan,” jelas Dr Asri.
Beliau juga berharap Majlis Fatwa memberi ruang untuk umat Islam melihat alternatif.
Sabtu lepas, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Pengerusi, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin mengumumkan Majlis Muzakarah Kebangsaan (yang bersidang pada 22 hingga 24 Oktober di Kota Bharu) bersetuju memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.
Umat Islam negara ini diminta tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.
Tambah beliau, amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.
Namun, beliau menasihati umat Islam agar meninggalkan amalan tersebut kerana dikhuatiri akan menghakis akidah mereka.
“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.
“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media hari itu.
Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.
Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Jelasnya, pelaksanaan dari dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kuasa perlaksanaan dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Setelah ia diwartakan barulah kita boleh tahu apa tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang masih mengamalkannya,” katanya.
Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.
Menurut Zakaria, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.
“Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan Tuhan,” katanya.
Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.
18 tahun penjara kes dera Nirmala
18 tahun penjara kes dera Nirmala
Posted on 27 NOV,2008
Sudah 4 tahun penderaan ini berlaku,bagaimana Nirmala hanya mengunakan selimut malarikan diri malalui tingkat sehingga masyarakat melihat beliau tergantung di sebuah kondimium,sehingga di selamatkan dalam keadaan yang sangat teruk.
Surirumah Yim Pek Ha dihukum 18 tahun penjara selepas didapati bersalah mencederakan dengan parah pembantu rumahnya Nirmala Bonat empat tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Akhtar Tahir mendapati Yim bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.
Tertuduh menghadapi tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk terhadap Nirmala menggunakan seterika dan air panas, di 33B-26-6 Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.
Hakim menjatuhkan hukuman 18 tahun bagi setiap satu kesalahan tersebut, tetapi ia akan berjalan serentak.
Beliau berkata tindakan Yim yang telah mencederakan pembantu warga Indonesia itu dengan sadis tidak boleh diterima oleh masyarakat bertamadun.
Akhthar menjelaskan, kecederaan yang dialami oleh Nirmala bukan akibat perbuatannya sendiri.
Yim juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk terhadap Nirmala dengan menggunakan cawan besi di tempat yang sama pada pukul 3 petang, 17 Mei 2004.
Bagaimanapun tuduhan keempat itu tidak dapat dibuktikan.
Surirumah itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, manakala bagi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 325 kanun yang sama, dia boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Monday, 24 November 2008
Rasuah Musnahkan Tamadun Manusia
Rasuah Musnahkan Tamadun Manusia
Posted on 24 NOV,2008
Sofi Wahab
Sungai Udang : Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang berkata rasuah yang sedang dijadikan senjata untuk menang pada pemilihan Umno sekarang terbukti menjadi pemusnah tamadun bangsa.
"Malang sekali ahli Umno menggunakan duit untuk memilih pemimpin sehingga jutaan ringgit digunakan untuk membeli undi".
"Tamadun manusia akan hancur jika rasuah menjadi amalan masyrakat, dan ianya terbukti menjadi musuh utama ketamadunan manusia"
Ustaz Hadi berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada konvensyen PAS Negeri Melaka 2008 di Madrasah An-Nuriah dekat sini pagi tadi.
Menurut Ustaz Hadi PAS berjaya mentarbiyah ahlinya sehingga berjaya memimpin 3 buah negeri dan menjadi sebahagian dari kerajaan campuran di dua buah negeri lain. PAS, kata beliau mempunyai sistem tarbiahnya tersendiri yang berbeza dengan tarbiah gerakan Islam lain.
Kehebatan tarbiah kita menjadikan PAS terus relevan, berkembang dan istiqamah dalam perjuangan sehingga mampu bertahan lebih dari 50 tahun. Parti-parti lain yang tidak berteraskan Islam semuanya berkubur seperti parti negara, Hamim, Berjasa dan lain-lain.
Selain itu beliau juga mengingatkan bahawa tarbiah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Apa yang penting ahli-ahli mesti komited dan bersedia untuk ditarbiah.
Kertas Kerja beliau bertajuk 'Kegemilangan tarbiyyah PAS realiti harapan' mendapat sambutan yang hebat dari peserta yang berpendapat ianya sangat relevan dan sesuai untuk dijadikan panduan untuk meneruskan perjuangan yang mencabar pada masa depan.
Seorang peserta, Salleh Othman dari Taman Merdeka yakin para peserta faham dan boleh melaksanakan saranan-saranan Tuan Guru bila balik ke cawangan masing-masing.
KONVENSYEN PAS MELAKA DAPAT SAMBUTAN HEBAT
KONVENSYEN PAS MELAKA DAPAT SAMBUTAN HEBAT
Posted on 24 NOV,2008
Sofi Wahab
Sungai Udang : Konvensyen PAS Negeri Melaka 2008 mendapat sambutan yang cukup hebat apabila dihaidiri kira-kira 500 wakil-wakil PAS Kawasan, Dewan-dewan dan Cawangan-cawangan. Konvensyen tersebut yang diadakan dari pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang tadi di Madrasah An-Nuriah di sini dihadiri oleh Presiden dan Timbalan Presiden PAS sebagai pembentang kertas kerja.
Dewan Sekolah An-Nuriah melimpah sehingga keluar dan Khemah terpaksa didirikan bagi menampung kehadiran peserta.
Tuan Guru Presiden, YB Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang membentangkan kertas bertajuk 'Kegemilangan Tarbiah PAS realiti dan harapan' manakala Timbalan Presiden PAS YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa menyampaikan kertas kerja bertajuk ' Pemerkasaan Wasilah Tarbiyyah'.
Di akhir Konvensyen tersebut, wakil Dewan Ulama' Ustaz Faisol Mohd membacakan resolusi 7 perkara yang antara berkisar kepada kepentingan tarbiah dan kepimpinan.
Seorang peserta Mohd Jas Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana kejayaan program tersebut.
'Saya yakin jika peserta yang hadir komited dan serius dalam kerja-kerja tarbiah PAS Melaka akan bertambah gemilang dan berjaya' kata Jas.
Sunday, 23 November 2008
Apabila Zina Lebih Mudah Daripada Kahwin
Apabila Zina Lebih Mudah Daripada Kahwin
Posted on 23 NOV,2008
Dr Asri
Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.
Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.
Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan.
Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:
“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; “kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.
Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf.
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.
Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.
Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.
Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.
Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.
Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:
“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”.
Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.
Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut:
“Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).
Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.
Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa.
Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu Iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Baqarah, ayat 231).
Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah.
Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:
“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).
Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.
Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:
“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).
Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.
Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.
Friday, 21 November 2008
Razak Baginda Jadi peguam Bela Najib
Razak Baginda Jadi peguam Bela Najib
Posted on 21 NOV,2008
Sofi Wahab
Razak Baginda sudah mula bercakap kepada media. Kalau sebelum ini beliau sering mengelak dari membuat kenyataan media kini beliau mula berani dan seperti dijangka kenyataan media pertama beliau sudah tentu digunakan untuk mempertahankan dirinya dan 'boss' nya.
Hari ini media internet menyiarkan kenyaaan Bekas penganalisis politik tersebut yang mendakwa bahawa Timbalan Perdana Menteri dan bakal Perdana Menteri Najib Tun Razak tidak terbabit langsung dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Malah, katanya, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor tidak pernah bertemu dengan Altantuya. Abdul Razak memberitahu demikian dalam sidang akhbar pertamanya selepas dibebaskan pada 31 Oktober lalu daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.
Hebat kenyataan Razak Baginda ini. Mengapa tiba-tiba Razak Baginda bertindak seolah-olah sebagai peguam kepada Najib. Bukannya kenyataan beliau akan menyebabkan rakyat semakin sangsi dan curiga kepada Najib.
Bagi saya adalah lebih baik Razak Baginda berdiam diri dari bercakap soal hubungan Najib, Rosmah dan Altantuya. Ini kerana semakin isu ini dibangkitkan semakin ianya menjadi tandatanya dan mencurigakan.
Sudah menjadi lumrah kepada pemimpin di Malaysia bahawa jika sesuatu itu dinafikan, maka perkara itu sebenarnya adalah sebaliknya. Sepertimana penafian Pak Lah tentang tarikh pembubaran parlimen dan tarikh kenaikan harga minyak dahulu. Hari ini nafi besok betul-betul berlaku.
Maka kemungkinan ramai orang akan menganggap bahawa penafian Razak Baginda ini tidak benar.
ps: Bagi kacanghijau Razak Baginda hanya balas budi. Kau tolong aku, aku tolong kau.Atau lain perkataan,Kau lepaskan aku ,aku lepaskan kau.
keahlian bukan Islam dalam pas
keahlian bukan Islam dalam pas
Posted on 21 NOV,2008
Nik Abduh
Salam Kamunting,
Biar saya jelaskan sedikit perihal perbincangan mengenai keahlian bukan Islam dalam PAS. Ada pertanyaan yang acap juga masuk di ruang komentar dan rasanya saya belum menyentuhnya sebagai satu jawaban yang melunaskan harapan mereka yang mengharap.
Anda tahu bahawa isu ini telah agak lama dicari jawabannya dan anda juga tahu betapa para ulama dalam PAS tidaklah segera menjawabnya, apatah dengan jawaban yang satu tanpa selisih dan khilaf. Justeru anda bolehlah menyimpulkan bahawa ia adalah isu yang agak sukar diselesaikan oleh para ulama tersebut, lalu perbincangan mengenainya agak memakan masa.
Janganlah pula anda mengira ini tanda ulama lembap dan tiada peka. Perlahan - lahan itu daripada agama manakala gelojoh itu daripada syaitan. Sesuatu hukum itu adalah berdasarkan gambaran yang diperolehi. Isu pengkid cepat diselesaikan manakala isu yoga, kita terpaksa menunggu lebih lama daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.
Tetapi, memang sesetengah ulama agak lembap. Sama seperti sesetengah anda, agak gelojoh.
Islam datang sebagai rahmat untuk sekelian alam. Justeru Islam melata ke setiap sektor manusia, kemanusiaan dan kehidupan seluruhnya dengan jawaban, penyelesaian dan alternatif.
Ia menjelaskan hubungan di antara manusia dengan tuhannya, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk tuhan seluruhnya. Ia membaiki urusan ugama, urusan dunia dan urusan akhirat.
Ia secara mutlak menawarkan kebahagiaan untuk manusia di dunia dan akhirat. Jika manusia menolak akhirat, Islam tetap menawarkan untuknya kebahagiaan di dunia sahaja. Jika ia mahukan akhirat, maka untuknya akhirat bersekali dengan dunia juga.
Jika mereka tidak menerima Islam atau dipanggil kafir, maka Islam menerima kesaksian dan kemahuan itu tanpa paksaan apa - apa ke atas mereka. Pengiktirafan Islam terhadap anutan manusia selain Islam sebagai hak duniawi adalah salah satu cabang ruang kebahagiaan duniawi yang dicanangkan oleh Islam.
Anda tidak akan melihat timbang rasa sebegini unik di dalam ugama lain selain Islam, sedangkan Islam adalah agama yang cukup keras mengatakan semua adalah batil kecuali Islam. Hampir semua agama hari ini, kecuali Islam, didorong oleh tekanan semasa untuk mengatakan semua agama adalah sama dan betul. Lihat betapa kerasnya kesaksian Islam tetapi betapa jugalah tolerannya Islam.
Jika begitu, kedudukan orang bukan Islam diberi ruang yang luas perbincangan mengenainya oleh ugama. Islam tidak mungkin hanya membincangkan dan meluaskan perbincangan perihal kebahagiaan kehidupan duniawi dan ukhrawi muslim sahaja tanpa membincangkan juga perihal kebahagian kehidupan duniawi bukan Islam.
Kebahagian manusia adalah pada mendapatkan haknya. Kemuncak haknya adalah keadilan dan kebebasan.
Isi dan intipati ajaran Islam adalah memperkenalkan dan memberikan hak kepada empunya hak. Yang dizalimi akan diadili Islam. Jika tidak disempurnakan keadilan itu di dunia, keadilan tuhan menunggunya di akhirat. Yang bekerja akan dibalas setimpal pekerjaannya. Jika tidak disempurnakan pembalasan itu di dunia, pembalasan tuhan menunggunya di akhirat nanti.
Begitu intipati ugama menjawab, menyelesai dan memberi alternatif. Siapakah yang terlebih baik penghakimannya selain Allah, buat mereka yang berakal?
Justeru setiap manusia memiliki hak yang sama kerana mereka sama sebagai manusia. Tetapi oleh kerana persembahan mereka adalah berbeza, maka hak mereka juga menjadi berbeza di antara mereka.
Muslim dan bukan muslim adalah sama sebagai manusia. Tetapi mereka tidak sama selamanya kerana persembahan mereka adalah berbeza. Dua bersaudara adalah sama sebagai seorang anak, tetapi mereka menjadi berbeza di sisi ibu bapanya berdasarkan persembahan masing - masing.
Justeru muslim dan bukan muslim memiliki hak bersama sebagaimana masing - masing mereka memiliki hak yang tersendiri.
Islam bertugas menyempurnakan hak semuanya.
Perbincangan kita di sini adalah perihal bagaimanakah Islam memelihara hak apabila muslim berhubung dengan bukan muslim dalam kehidupan. Anda tahu dengan mudah sedari awal bahawa Islam tidak pernah memerintahkan setiap muslim mestilah dipindahkan ke timur manakala setiap bukan muslim mestilah dinyahkan ke barat, lalu saling bedil membedillah di antara mereka.
Di bumi mana muslim berpijak, disitulah bukan muslim menjunjung langitnya. Kecuali di tanah suci/haram kota Mekah. Allah telah menyucikan tanah itu daripada najis kekufuran selepas kebangkitan baginda sallaLlahu alaihi wasallam. Orang bukan Islam memikul najis itu. Justeru mereka dilarang memasukinya.
Kitab - kitab fiqh Islami ‘memulakan’ perbincangan perihal muamalah antara mulim-non muslim dengan menjelaskan asas hubungan di antara kedua - duanya, adakah ianya diasaskan atas hubungan damai dan kasih sayang atau ianya adalah hubungan perang dan permusuhan.
Berlaku khilaf dan perselisihan. Tetapi ia jelas bahawa ianya berlaku demi memudahkan penyampaian hak masing - masing dilaksanakan.
Kemudian perbincangan fiqh Islami tersebut memanjang - manjang di dalam segenap lapangan dan hal seperti kekeluargaan, kejiranan, perniagaan, sosial, kehakiman sehinggalah ia memuncak di dalam perihal hubungan pada masa damai dan perang antara kedua - duanya.
Perihal keahlian bukan Islam di dalam PAS, bagi saya, adalah termasuk dalam fasal perbincangan para ulama kita mengenai hak memohon pertolongan daripada bukan muslim di dalam sesuatu perkara. Boleh atau tidak boleh. Jika boleh, kenapa? Jika tak boleh, kenapa? Boleh itu di bahagian mana dan yang tak boleh itu di bahagian mana? Boleh yang bagaimana dan tak boleh yang bagaimana? Bila dah meleret, meleretlah pula khilaf dan tempat sadungnya.
Oleh kerana nama PAS tiada dalam kitab fiqh dan jenis bukan Islam di Malaysia pun tiadalah diperincikan keadaannya di dalamnya, maka ulama kita pastinya akan mencermati perincian mengenai kedua - duanya sebelum mengaplikasikan sumber dan hukum qias ke atasnya.
Penggunaan kaedah qias di dalam menentukan hukum terhadap isu - isu semasa dan setempat adalah terdesak demi menghidupkan dalil - dalil yang berselerakan di dalam kitab - kitab fiqh Islami sepanjang zaman. Ilmu qias adalah payah dan lebih payah adalah mengaplikasikannya dalam menentukan hukum sesuatu. Ia adalah sebahagian daripada hikmat. Barangsiapa dikurniai hikmat, sesungguhnya dia telah dikurniai kebaikan yang melimpah - ruah.
( Justeru janganlah anda bermudahan mendakwa tahu seperti sesetengah kita yang mengqiaskan perjanjian dalam Pakatan Rakyat dengan/atas perjanjian Hudaibiah di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Bagaimana boleh disamakan PKR/DAP yang telah menerima untuk berdamai dengan PAS, dengan golongan musyrikin Mekah yang menentang Islam? Perjanjian yang dilakukan al Rasul dengan kafir yang tidak menentangnya adalah tidak sama dengan perjanjian baginda dengan kafir yang menentangnya. Bahkan, muqabalah PAS-UMNO adalah lebih mirip perjanjian Hudaibiah. Perhatikan.)
Kemudian, adakah keahlian dalam PAS bermaksud keahlian kepada sebuah gerakan Islam atau ianya adalah bermaksud keahlian di dalam sebuah parti politik Islam dalam konteks sistem demokrasi negara, itu adalah perbincangan yang tidak pula akan menamatkan dengan mudah persoalan hak - hak yang telah dipertegaskan boleh atau tidak bolehnya bukan Islam mengambil atau menerima sesuatu peranan di dalam membantu perjuangan Islam menegakkan Islam dan kebenaran.
Yang penting, orang bukan Islam memiliki hak untuk turut bersama menegakkan kebenaran, bahkan menegakkan Islam juga. Mereka berhak untuk menolak kezaliman dan memilih Islam sebagai jalan memperolehi keadilan dan kesaksamaan. Berikan kepada mereka hak mereka seluas ianya diluaskan oleh Islam.
Jika keahlian bukan Islam dibenarkan di dalam PAS, anda akan melihat persamaan dan perbezaan di antara ahli muslim dan ahli bukan muslim adalah berdasarkan hak masing - masing yang telah diperincikan hukumnya oleh para ulama kita. Perselisihan adalah keluasan jika ianya digunakan pada tempat dan masanya dengan tepat.
Yang penting, hari ini PAS telah meneroka sesuatu tidak diterokainya secara serius dahulu. Ia didesak oleh tuntutan semasa yang memerlukan kebijaksanaan menghukum dan melepaskannya di medan yang akan memperjudikan masa depannya yang namakan sebagai ‘usaha’ di sepanjang iman dengan ‘tawakkal’ kepada pemilik perjuangan ini.
Semoga PAS terus gagah memacu perjuangan sucinya.
Thursday, 20 November 2008
Dr Asri: Saya tidak dibayar gaji untuk jadi pengampu!
Dr Asri: Saya tidak dibayar gaji untuk jadi pengampu!
Posted on 20 NOV,2008
MENITI hari-hari terakhirnya sebagai Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bercakap tentang jawatan yang akan dilepaskannya beberapa hari lagi, cadangan beliau tentang mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang beliau anggap wajar disiarkan pada orang ramai, keberkesanan peranan JAKIM dan Mufti-mufti dari negeri lain dan membetulkan pendapat songsang yang mengaitkan beliau sebagai penyokong Umno dan penentang pembangkang.
"Saya bukan pengampu dan saya tidak dibayar gaji untuk mengampu dan ini tidak seharusnya terjadi," komen Dr Asri bila ditanya kenapa beliau lantang mengkritik pihak pemerintah mahupun pembangkang.
Kesemua pandangan beliau, bersifat neutral dan tidak memihak pada mana-mana parti politik walaupun ramai yang tersalah anggap.
Setiapkali beliau berhujah dan melontarkan pandangan, banyak maksud yang tersirat didalam bahasanya yang sarat dengan seribu makna dan sindiran. Mungkin juga ditujukan kepada mereka-mereka yang tidak senang dengan kehadirannya sebagai mufti paling muda di Malaysia.
Selama dua tahun memegang jawatan mufti, secara tidak sedar, Dr Asri mempunyai pengaruh yang kuat dalam mencorak pemikiran masyarakat Melayu dan pengamatan beliau tentang senario politik semasa.
Bertepatan dengan tajuk buku beliau yang baru sahaja diterbitkan bertajuk, "Mengemudi bahtera perubahan minda" (hasil himpunan koleksi artikel yang tersiar dalam kolum Pena Mufti) oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Dr Asri tidak pernah jemu menegur dan mengajar umat Islam termasuk ahli-ahli politik agar mengatasi kelemahan cara fikir, meninggalkan kejumudan, keterbabasan sikap dan mentaliti serta penyelewengan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Kelangsungan dan kelantangan beliau melontarkan idea dan pandangan bernas serta buah fikirannya yang tajam dan kritikal berdasarkan fakta dan ilmiah menjadikan pandangan Dr Asri tidak begitu disenangi oleh kebanyakkan tokoh agama dan Mufti-mufti dari negeri lain.
Sehinggakan ketidaksenangan ini mengundang satu sekatan ke peringkat tidak membenarkan Dr Asri memberi ceramah di beberapa negeri.
Tapi Dr Asri tidak mudah goyah dengan sikap dan persepsi kelompok sebegini, meskipun tokoh agama yang lebih berusia darinya.
Beliau juga tidak kisah digelar 'Mufti kontroversi' kerana di situlah kehebatan dan keistimewaannya yang sering dianggap sebagai 'pakar rujuk' oleh pengamal media, setiapkali ada isu-isu yang berkaitan agama dan hukum hakam.
Selama hampir satu jam temubual mStar Online di Taman Sri Ukay baru-baru ini, tokoh agama ini melontarkan pandangannya yang berani tanpa sempadan untuk kesekian kalinya.
Dalam lenggok bahasa yang sinis dan tegas disulam dengan jenaka yang pedas, Dr Asri masih tidak hilang bisanya meskipun tidak akan bergelar Mufti lagi.
Selami pemikiran tokoh agama, pensyarah, pemikir, penulis, kolumnis, penyair dan juga strategis ini dalam satu temubual ekslusif:
BOLEH KOMEN TENTANG KONTRAK MUFTI PERLIS YANG TERNYATA TIDAK MEMUASKAN HATI DR? DR TETAP DENGAN PENDIRIAN UNTUK BERHENTI MESKIPUN DIPUJUK. ADAKAH KERANA DR MERAJUK, BOSAN ATAU KERANA PRINSIP
Kontrak saya sepatutnya habis June 2009. Perancangan ke UK memang ada sejak awal, dua tahun lepas suda ada perancangan tapi dilewatkan berdasarkan kontrak.
Saya melihat keperluan untuk memegang jawatan itu dalam keadaan yang bermaruah. Saya tidak meminta sedekah untuk jawatan itu atau merayu untuk jawatan itu. Saya dahulunya dijemput untuk jawatan itu. Saya tidak mahu untuk kedua kalinya saya terpaksa mempertahankan jawatan saya. Saya rasa tidak perlu. Kalau itu berlaku, maka akan hilang kebebasan bersuara, sikap yang tidak berpihak dan itu tidak bermakna lagi saya memegang jawatan mufti.
ADAKAH DR PUAS HATI DENGAN TEMPOH DUA TAHUN SEBAGAI MUFTI PERLIS
Dari segi gerak kerja yang saya buat, saya boleh bersyukur. Dan memang kita patut bersyukur senantiasa. Sekurang-kurangnya tempoh itu berjaya. Berjaya buka minda banyak pihak. Kerja itu akan diteruskan tidak semestinya atas dasar platform Mufti Perlis.
ADAKAH AGENDA PERUBAHAN MINDA ITU MENCAPAI MATLAMAT? ATAU BELUM SELESAI
Perubahan minda itu telah berlaku. Alhamdulillah, pada peringkat awalnya, pada mulanya orang menjangka ianya satu kemustahilan. Dalam masa dua tahun, ianya berlaku dan diperkatakan di mana-mana. Ramai yang melihat agama dalam dimensi yang lebih luas.
Pihak konservatif terpaksa menyesuaikan diri pada arus persoalan. Saya pergi ke mana-manapun, saya berjumpa orang di kampung-kampung, di mana-mana negeri yang takada kaitan pun, berjumpa, salam dan menyatakan sokongan. Mereka rasa sangat gembira.
Dari sudut itu saya berjaya mencapai matlamatnya. Tapi untuk memastikan kelangsungan yang menyeluruh dan bukan sebagai slogan. Itu semua perlukan kerja yang lebih daripada seorang Mufti.
MAKSUD DR?
Maksudnya, saya mesti berfikir perancangan yang lain yang lebih besar daripada jawatan Mufti atau saya perlu pastikan banyak lagi Mufti yang begitu, agar perubahan boleh berlaku.
ADA YANG MENGANGGAP PEMERGIAN DR KE UK INI SEBAGAI SATU STRATEGI? DAN ADA YANG KATA DR MENDAPAT TAWARAN LUMAYAN SEKEMBALINYA DARI UK
Tawaran lumayan itu saya ingat, kita tutup dulu cerita itu....
TAPI DR TIDAK NAFIKAN?
Samada lumayan atau tidak, saya tidak melihat lumayan itu sebagai satu istilah dari segi gaji. Saya melihatnya dari segi tanggungjawab dan fungsi.
BAGAIMANA TAWARAN JAWATAN MENTERI?
Itu saya tidak boleh komen kerana perkara itu belum berada ada di depan mata.
ADAKAH TAWARAN KE ARAH ITU?
Tidak boleh dipastikan secara putus. Yang pentingnya ialah untuk seorang menjadi Menteri, dia kena melibatkan diri dengan politik. Dan saya di hari ini bukan ahli politik....
MUNGKINKAH SELEPAS 1 TAHUN KEMBALI?
Itu perkara di hadapan sukar untuk disebut tetapi seseorang membuat perancangan apa yang dirasakan mampu untuk menggerakkan perubahan minda rakyat dan ke arah kefahaman Islam yang lebih tepat dan lebih menyeluruh.
ADAKAH DR TERTARIK KE ARAH POLITIK?
Saya tidak boleh kata samada saya tertarik kepada politik ataupun tidak tetapi saya akan melihat apabila tiba masanya. Adakah penyertaan ke dalam politik ataupun tidak ke dalam politik itu boleh memberikan impak yang memadai ataupun nanti hanya akan mengorbankan segala pemikiran-pemikiran yang telah saya sebut dan cuba saya perjuangkangkan sebelum ini.
Itu satu perkara yang mesti untuk diimbangi senantiasa kerana politik ini...Pertama bila masuk politik orang akan melihat lihat sikap berpihak. Akan menyebabkan kita memihak sebahagian umat dan meninggalkan sebahagian umat yang lain. Itu harganya sangat besar dan kesannya sangat buruk jika sekirannya tidak di kawal. Di pihak yang lain, kalau sekiranya ada ruang itu, kita hendak kena ukur. Adakah sekadar memperolehi jawatan ataupun memang dapat meneruskan pandangan-pandangan agenda ataupun tidak?
Jika benar kita rasakan sesuai, kita kena fikir sejauh mana kita boleh bawa. Saya tak nak sekadar memenuhi kantung, tidak memberi apa-apa makna.
Kalau nak, ia mesti berjaya melaksanakan agenda.
TAPI DR PERNAH TERFIKIR KE ARAH ITU?
Saya berfikir banyak perkara termasuklah perkara itu.
KEMUNGKINANNYA MENJADI AHLI POLITIK?
Itu memerlukan satu kajian yang saya akan buat ketika itu nanti. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan perkara itu sesuai atau tidak.
ADAKAH DR PERLUKAN JAWATAN UNTUK MELONTARKAN PANDANGAN BILA BALIK NANTI?
Dalam kehidupan umat Islam ini, ada beberapa perkara pasal tokoh ini. Ada tokoh yang terkenal kerana jawatannya sedangkan dia itu bila dicabut jawatannya, maka he isnothing Ada orang tanpa jawatan, dia dianggap berwibawa. Ada orang, jawatan dan dia digabungkan sekali barulah kewibawaan itu nampak.
Bukan sedikit dalam sejarah pemikiran, munculnya ada tokoh-tokoh tidak mempunyai jawatan, mereka dianggap pemikir besar yang menjadi rujukan. Budaya ini mesti kita hidUpkan dalam masyarakat.
Cuma kita ada banyak tokoh agama, sebahagian pergi ke politik dan sebahagian ada kepentingan tertentu. Keadaan ini hilang. Wujudkan tokoh dengan kemampuannya sendiri dengan pemkirannya yang luas boleh berlaku dalam dunia Islam. Bahkan mufti-mufti yang tidak rasmi lebih terkenal dari mufti-mufti terkenal dalam dunia Islam.
Kita tak tahu mufti-mufti dalam negara ini tetapi tokoh-tokoh besar tak tahu apapun jawatannya tapi pemikirannya sangat besar.
Ini tidaklah bererti saya menolak jawatan. Saya hanya menegaskan bahawasanya hal itu boleh berlaku. Untuk menyampaikan kepada pemikiran, tetap boleh dilakukan kalau kena pada caranya.
Pemikiran ini dapat disebarkan bila seseorang tidak mempunyai jawatan. Memilikki jawatan dalam keadaan tertentu membantu seseorang dalam masyarakat. Yang perlukan jawatan kerana pihak-pihak berkuasa mengambilkira jawatan kerana dianggap authority mungkin perlu, tidak memadai sekadar pandangan.
JADI DR SENDIRI MELIHAT DR DALAM KATEGORI MANA?
Saya tak tahulah....Saya nak kena tengok dulu apa akan berlaku jika saya memberikan pandangan tanpa jawatan. Adakah pandangan itu masih lagi dianggap berharga, bernas atau telah tidak bernas kerana saya tidak ada jawatan.
Selama ini saya jadi mufti, saya rasa banyak pandangan saya banyak berbeza dari orang lain, kalau dari sudut popular, ianya tidak boleh popular kerana berbeza dengan banyak tokoh-tokoh agama di Malaysia.
Alhamdulillah, pandangan saya yang bernas itu senantiasa dapat diketengahkan dan dibincangkan, dilihat asas-asas pandangan dan banyak pandangan saya yang ditentang pada peringkat awalnya kemudiannya diterima sebagai pendapat umum dan dibincangkan di peringkat negara.
Walaupun masih ada yang kontra tapi masih ada yang boleh menerima.
SEDUTAN TEMURAMAH BHGN 2
Adblock
DR DIANGGAP 'A THREAT' PADA MUFTI-MUFTI LAIN? ADAKAH DR RASA TIDAK SELESA DENGAN SITUASI INI ATAU TIDAK KISAH?
Saya tidak kisah hal ini sebab kalau saya ingat memegang jawatan Mufti dalam keadaan selesa saya kenalah mencari keselesaan, ada kereta rasmi, tak payah beri pandangan, buat berserabut kepala. Saya tidak pilih itu.
Saya turun ke kampung, berjumpa berbagai lapisan, golongan cerdik pandai, terangkan apa yang kita bawa...menunjukkan ini bukan satu perjuangan untuk senang. Perjuangan untuk sampaikan mesej. Alhamdulillah ada perbezaan dengan banyak pihak tapi dari segi rakyat, mereka boleh menerima.
ADA NEGERI YANG TIDAK BENARKAN DR MASUK BAGI CERAMAH. BOLEH KOMEN?
Di Malaysia semua negeri saya boleh masuk. Saya boleh masuk, tapi tidak dibenarkan bagi ceramah dalam platform-platform yang mereka ini ada kuasa.
Pada masyarakat tempatan di negeri tertentu, beribu ramai yang datang nak dengar saya berucap. Tapi saya tidak hadir disebabkan pihak agama yang rasa kehadiran saya akan menggugat pandangan-pandangan yang mereka berikan atau takut saya akan mengkritik pengurusan agama sebab itu mereka tidak benarkan.
DR PERNAH DILABEL SEBAGAI PENCERAMAH UMNO DAN KADANGKALA PENYOKONG PAS
Kita kena memecahkan cara berfikir rakyat Malaysia ni. Mereka senantiasa menjangka dalam dunia ini haya ada dua warna saja - hitam atau putih, kuning ataupun biru - salah satu.
Manusia mesti boleh berfikir di luar daripada keterikatan ini. Apabila saya memberi pandangan yang berbeza dengan Umno, tidak bermakna saya berpihak pada pembangkang. Dan apabila saya mengkritik PAS, ini bukan bermakna saya mewakili Umno.
Ini perkara yang gagal difahami sehingga kita senantiasa mempunyai pengampu dan orang-orang yang takut berfikir di luar dari kotak ini.
Kritikan boleh diberikan kepada rakan kalau dia salah. Pada mulanya Umno terkejut, PAS terkejut. Tapi sekarang sudah ada orang mula berfikiran di luar keterikatan ini. Kenapa harus dihadkan segala kutukan untuk musuh kita, segala pujian pada kawan kita? Tidak semestinya. Segala kritikan boleh ditujukan pada kawan kalau dia salah.
Dan pujian pada musuh kita kalau dia berbuat sesuatu yang elok dari segi moral. Ini tidak mustahil tapi ini tidak dikenali oleh dunia yang telah memblog-blogkan manusia di atas nama parti-parti politik. Pemilihan politik Malaysia sepatutnya sama macam di Amerika.
DR MEMPUNYAI HUBUNGAN YANG BAIK DENGAN RAMAI VIP, KOMEN DR?
Saya ada hubungan baik dengan Perdana Menteri, menteri-menteri juga dengan pemimpin pembangkang. Tetapi ini tidak menghalang saya memberi pandangan.
Saya tidak mengutuk anda tetapi saya berhak memberi pandangan yang berbeza dengan anda. Saya bukan dibayar gaji untuk pengampu dan ini tidak seharusnya berlaku.
RATA-RATA APAKAH RESPON DARI ORANG RAMAI APABILA MEREKA MENDENGAR DR AKAN LEPASKAN JAWATAN MUFTI PERLIS
Ada yang tanya kenapa nak berhenti, tak sesuai ke? Tapi saya bersungguh dalam hal ini. Raja Perlis minta saya tunggu dulu sehingga saya pergi ke UK.
Saya merasa di saat ini, waktu saya keluar dari jawatan Mufti ini 'timing' yang betul. Disebabkan pergolakan yang berlaku di Perlis itu sendiri, keadaan politik di sana juga situasi politik Malaysia yang sekan-akan mencari arah.
Elok saya dedahkan diri di dunia Barat yang mana saya belum ada pengalaman ini, mengambil nafas baru, ambil pengalaman baru yang boleh dikongsi, yang boleh dianalisa, pembacaan dan research.
APAKAH PERGOLAKAN YANG DIMAKSUDKAN ITU?
Kita tahu Perlis selepas pilihanraya agak pelbagai-bagai...Masih lagi desus desas, berbunyi itu dan ini yang tak habis-habis....
HARAPAN PADA PENGGANTI MUFTI PERLIS
Saya harap supaya, bukan saja jawatan Mufti Perlis. Apa saja jawatan. Mufti bukan untuk jawatan untuk keselesaan. Kita dapat sampaikan tanggung jawab dan sampaikan risalah yang betul. Ini penting. Kalau kita fikir sekadar nak kerja dan ada gaji, ini akan memandulkan peranan kita sebagai Mufti.
PANDANGAN DR TENTANG KEBERKESANAN PERANAN MUFTI-MUFTI LAIN
Saya tidak tahu adakah peranan mereka dah berjaya atau tidak..... tapi rakyat, orang awam berhak menilai. Adakah Mufti-mufti mereka telah mainkan peranan atau masih perlukan memainkan peranan yang lebih?
BOLEH DR KOMEN KEBERKESANAN PERANAN JAKIM, JAIS DAN JABATAN AGAMA LAIN SETAKAT INI, ADAKAH SUDAH MEMADAI?
Saya bagi pandangan berbagai-bagai dan mengkritik juga beberapa tindakan Mahkamah Syariah mengenai hak-hak wanita. Masih ada lagi kekurangan ataupun isu-isu tertangguh yang tidak sepatutnya. Walaupun pandangan itu kurang selesa.
Jika kita tengok aktiviti JAKIM, apa saja aktiviti akan mengelakkan penglibatan saya, melainkan perkara yang tidak boleh tidak, melibatkan saya. Kita tahu mereka ada banyak panel berhubung dengan agama, Pengarah JAKIM tidak akan melibatkan saya walaupun Mufti-mufti lain terlibat.
Mungkin mereka merasa kurang selesa dengan pandangan-pandangan saya. Dan kebiasaan golongan agama ini, dia pantang dikritik. Saya pernah memberikan teguran kepada Pengarah JAKIM sendiri tentang sikap double standardnya walaupun sikap itu tidak mendukacitakan saya pun.
Tetapi hakikatnya jika mereka bersikap demikian, satu hari nanti jika mereka tidak berubah, mereka akan diubah.
ANTARA SUNGUTAN ORANG RAMAI, TIDAK ADA KESERAGAMAN DALAM SESUATU ISU AGAMA DAN MAJLIS FATWA JUGA LAMBAT MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN? TAPI DR SELALU MELONTAR PANDANGAN YANG CEPAT DAN BOLEH DITERIMA RAMAI
Alhamdulillah, antara perkara Allah kurniakan saya ialah pandangan yang dilontarkan, akan tertumpu pada pandangan itu. Pandangan itu akan menjadi panas. Ramai yang menilai pandangan itu secara serius walaupun ada yang pro dan kontra.
Mungkin juga rakyat Malaysia sudah sampai satu pendidikan yang agak baik. Tak nak lagi pandangan you beri, I ikut. Ini tak boleh, ini boleh. Ini haram ini halal. Mereka nak alasan, apa kemunasabahan, apa fakta disebaliknya.
Saya sentiasa tidak lupa melampirkan alasan-alasan pandangan. Saya membiasakan rakyat supaya mereka celik agama dan tidak hanya menjadi pengikut tanpa mengetahui apa yang mereka ikut.
SEDUTAN TEMURAMAH BHGN 3
Adblock
PANDANGAN DR TENTANG MAJLIS FATWA KEBANGSAAN
Saya mempunyai kesimpulan yang saya 'simpan' untuk Majlis Fatwa ini. Jika negara ini hendak diubah, kita perlu lihat juga kesungguhan Majlis Fatwa. Sukar untuk simpulkan.
Saya cadangkan Mesyuarat Majlis Fatwa disiarkan pada orang ramai melalui siaran TV. Rakyat tak tahu selama ini....Biar rakyat menilainya sendiri bagaimana sesuatu isu itu dibincang dan ketelusannya.
Nak tengok sejauhmana isu itu dibincangkan dengan masak atau tidak atau dibincangkan dengan penuh ketelusan ataupun tidak sekadar melepaskan tuntutan atau kebisingan orang ramai.
Pengerusi Majlis Fatwa juga perlu dinilai kemunasabahan untuk terus berada di jawatan berkenaan.
Saya tidak mahu membuat penilaian keputusan itu positif atau negatif. Kita akan beri hak itu pada rakyat jika mesyuarat fatwa itu disiarkan.
DR MOHD ASRI BERSAMA RAKAN-RAKANNYA, NIK MD YUSOF (KIRI) DAN SAFUAN JEFRI
PADA PANDANGAN DR, APA YANG MENYEBABKAN SESUATU FATWA ITU LAMBAT DIKELUARKAN CONTOHNYA ISU YOGA
Saya tidak mahu menyebut, ada perkara-perkara yang luarbiasa. Tidak boleh ada dalam pemikiran orang yang ingin memberi fatwa, sebelum memberi fatwa, "Adakah hal ini diredhai oleh pihak-pihak tertentu atau tidak?".
Mereka hendaklah berfikir fatwa berteraskan fakta dan ilmu dan bukan berteraskan, kehendak dan keredhaan dari pihak-pihak tertentu. Kalau itu boleh dilakukan, maka perbincangan itu hendaklah ilmiah dan mantap. Rakyat patut diberi peluang melihat bagaimana proses mereka melakukan ini.
MUNGKINKAH ADA SUARA LAIN YANG DAPAT MENGGANTIKAN DR BILA DR KE UK NANTI
Tidak dapat pastikan tempat saya akan terisi atau tidak. Setengah pihak lega saya tidak jadi mufti lagi. Kita lihat mungkin ada orang lain akan juga berikan pandangan. Perubahan terus akan ada, rakyatlah yang akan nilainya.
BAGAIMANA DENGAN KESINAMBUNGAN MEMANTAU AGENDA PERUBAHAN MINDA YANG DR USAHAKAN SELAMA INI?
Ribuan bantahan yang dihantar kerana saya hendak berhenti. Tidak puas hati dinyatakan oleh berbagai individu dan persatuan bahawa kata tindakan saya silap. Rasanya tindakan saya melepaskan jawatan Mufti itu tidak silap.
Bila ada isu, mereka semua ini menunggu pandangan saya tentang isu ini. Insya Allah, tindakan saya tidak silap.
Saya sendiri tidak tinggalkan negara ini begitu saja kerana jentera perubahan minda senantiasa bergerak aktif di pelbagai-bagai peringkat. Saya bekerja ke arah itu. Saya juga ada laman website saya, drmaza.com. Kedua, saya harapkan media masih berikan ruang untuk saya melontarkan pandangan.
Ketika saya jadi Mufti Perlis, saya gunakan jawatan itu untuk sampaikan mesej. Dalam kedudukan saya sekarang, sama seperti dulu.
Saya berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Ada kerja rasmi dan kerja asal saya. Mungkin di UK, saya dapat rehat sikit, itupun di sana kelihatnnya rakyat Malaysia telah menyusun banyak program untuk saya hadir.
Rakyat Malaysia di seluruh dunia dari negara-negara barat menghantar emel mengikuti perkembangan saya. Mungkin itu kesan dari apa yang saya buat kerana mereka tahu aktiviti saya. Mereka mengharapkan pandangan-pandangan dari saya.
KOMEN DR TENTANG GELARAN 'MUFTI KONTROVERSI'
Kontroversi mungkin kerana perkara-perkara itu dilontarkan di tengah media. Tetapi biasanya, media tidak akan kutip kalau tidak kontroversi.
Elemen kontroversi itu kadang-kadang perlu supaya berita itu dapat diedarkan. Kadang-kadang bila saya wujudkan sesuatu berita itu, saya 'create'kan sedikit elemen supaya sekurang-kurangnya mesej itu dapat dibaca kalau tidak siapapun tidak kutip.
Itu salah satu dari strategi dalam kita sebarkan pemikiran. Itu juga barangkali perlu dibaca oleh ahli-ahli pemikiran - mesti tahu apakah saluran suatu pemikiran itu naik ke hadapan.
ADAKAH DR MELIHAT DIRI DR SEBAGAI SEORANG STRATEGIS?
Saya tak tahu...saya satu orang yang banyak memikirkannya..strategi sesuatu tindakan. Dalam dua tahun itu kebanyakan strategi itu berjalan dengan baik.
Ketika saya dikepung dengan kepungan yang agak dasyat oleh pihak agama tertentu, saya melepasi kepungan itu, Alhamdulillah.
SELEPAS SEKEMBALI NANTI, APAKAH PROFESION PILIHAN DR?
Orang melihat saya sebagai apa? Saya melihat diri saya sebagai Mohd Asri....
Saya akan maklumkan kemudian. Ramai ahli politik yang ramalkan tarikh-tarikh tertentu, akhirnya tarikhnya pun tak menjadi.
Jadi, buat apa saya meramalkan satu tarikh ataupun perancangan akhirnya tak jadi, menjadi satu tempelak orang ramai saja.