keahlian bukan Islam dalam pas
Posted on 21 NOV,2008
Nik Abduh
Salam Kamunting,
Biar saya jelaskan sedikit perihal perbincangan mengenai keahlian bukan Islam dalam PAS. Ada pertanyaan yang acap juga masuk di ruang komentar dan rasanya saya belum menyentuhnya sebagai satu jawaban yang melunaskan harapan mereka yang mengharap.
Anda tahu bahawa isu ini telah agak lama dicari jawabannya dan anda juga tahu betapa para ulama dalam PAS tidaklah segera menjawabnya, apatah dengan jawaban yang satu tanpa selisih dan khilaf. Justeru anda bolehlah menyimpulkan bahawa ia adalah isu yang agak sukar diselesaikan oleh para ulama tersebut, lalu perbincangan mengenainya agak memakan masa.
Janganlah pula anda mengira ini tanda ulama lembap dan tiada peka. Perlahan - lahan itu daripada agama manakala gelojoh itu daripada syaitan. Sesuatu hukum itu adalah berdasarkan gambaran yang diperolehi. Isu pengkid cepat diselesaikan manakala isu yoga, kita terpaksa menunggu lebih lama daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.
Tetapi, memang sesetengah ulama agak lembap. Sama seperti sesetengah anda, agak gelojoh.
Islam datang sebagai rahmat untuk sekelian alam. Justeru Islam melata ke setiap sektor manusia, kemanusiaan dan kehidupan seluruhnya dengan jawaban, penyelesaian dan alternatif.
Ia menjelaskan hubungan di antara manusia dengan tuhannya, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk tuhan seluruhnya. Ia membaiki urusan ugama, urusan dunia dan urusan akhirat.
Ia secara mutlak menawarkan kebahagiaan untuk manusia di dunia dan akhirat. Jika manusia menolak akhirat, Islam tetap menawarkan untuknya kebahagiaan di dunia sahaja. Jika ia mahukan akhirat, maka untuknya akhirat bersekali dengan dunia juga.
Jika mereka tidak menerima Islam atau dipanggil kafir, maka Islam menerima kesaksian dan kemahuan itu tanpa paksaan apa - apa ke atas mereka. Pengiktirafan Islam terhadap anutan manusia selain Islam sebagai hak duniawi adalah salah satu cabang ruang kebahagiaan duniawi yang dicanangkan oleh Islam.
Anda tidak akan melihat timbang rasa sebegini unik di dalam ugama lain selain Islam, sedangkan Islam adalah agama yang cukup keras mengatakan semua adalah batil kecuali Islam. Hampir semua agama hari ini, kecuali Islam, didorong oleh tekanan semasa untuk mengatakan semua agama adalah sama dan betul. Lihat betapa kerasnya kesaksian Islam tetapi betapa jugalah tolerannya Islam.
Jika begitu, kedudukan orang bukan Islam diberi ruang yang luas perbincangan mengenainya oleh ugama. Islam tidak mungkin hanya membincangkan dan meluaskan perbincangan perihal kebahagiaan kehidupan duniawi dan ukhrawi muslim sahaja tanpa membincangkan juga perihal kebahagian kehidupan duniawi bukan Islam.
Kebahagian manusia adalah pada mendapatkan haknya. Kemuncak haknya adalah keadilan dan kebebasan.
Isi dan intipati ajaran Islam adalah memperkenalkan dan memberikan hak kepada empunya hak. Yang dizalimi akan diadili Islam. Jika tidak disempurnakan keadilan itu di dunia, keadilan tuhan menunggunya di akhirat. Yang bekerja akan dibalas setimpal pekerjaannya. Jika tidak disempurnakan pembalasan itu di dunia, pembalasan tuhan menunggunya di akhirat nanti.
Begitu intipati ugama menjawab, menyelesai dan memberi alternatif. Siapakah yang terlebih baik penghakimannya selain Allah, buat mereka yang berakal?
Justeru setiap manusia memiliki hak yang sama kerana mereka sama sebagai manusia. Tetapi oleh kerana persembahan mereka adalah berbeza, maka hak mereka juga menjadi berbeza di antara mereka.
Muslim dan bukan muslim adalah sama sebagai manusia. Tetapi mereka tidak sama selamanya kerana persembahan mereka adalah berbeza. Dua bersaudara adalah sama sebagai seorang anak, tetapi mereka menjadi berbeza di sisi ibu bapanya berdasarkan persembahan masing - masing.
Justeru muslim dan bukan muslim memiliki hak bersama sebagaimana masing - masing mereka memiliki hak yang tersendiri.
Islam bertugas menyempurnakan hak semuanya.
Perbincangan kita di sini adalah perihal bagaimanakah Islam memelihara hak apabila muslim berhubung dengan bukan muslim dalam kehidupan. Anda tahu dengan mudah sedari awal bahawa Islam tidak pernah memerintahkan setiap muslim mestilah dipindahkan ke timur manakala setiap bukan muslim mestilah dinyahkan ke barat, lalu saling bedil membedillah di antara mereka.
Di bumi mana muslim berpijak, disitulah bukan muslim menjunjung langitnya. Kecuali di tanah suci/haram kota Mekah. Allah telah menyucikan tanah itu daripada najis kekufuran selepas kebangkitan baginda sallaLlahu alaihi wasallam. Orang bukan Islam memikul najis itu. Justeru mereka dilarang memasukinya.
Kitab - kitab fiqh Islami ‘memulakan’ perbincangan perihal muamalah antara mulim-non muslim dengan menjelaskan asas hubungan di antara kedua - duanya, adakah ianya diasaskan atas hubungan damai dan kasih sayang atau ianya adalah hubungan perang dan permusuhan.
Berlaku khilaf dan perselisihan. Tetapi ia jelas bahawa ianya berlaku demi memudahkan penyampaian hak masing - masing dilaksanakan.
Kemudian perbincangan fiqh Islami tersebut memanjang - manjang di dalam segenap lapangan dan hal seperti kekeluargaan, kejiranan, perniagaan, sosial, kehakiman sehinggalah ia memuncak di dalam perihal hubungan pada masa damai dan perang antara kedua - duanya.
Perihal keahlian bukan Islam di dalam PAS, bagi saya, adalah termasuk dalam fasal perbincangan para ulama kita mengenai hak memohon pertolongan daripada bukan muslim di dalam sesuatu perkara. Boleh atau tidak boleh. Jika boleh, kenapa? Jika tak boleh, kenapa? Boleh itu di bahagian mana dan yang tak boleh itu di bahagian mana? Boleh yang bagaimana dan tak boleh yang bagaimana? Bila dah meleret, meleretlah pula khilaf dan tempat sadungnya.
Oleh kerana nama PAS tiada dalam kitab fiqh dan jenis bukan Islam di Malaysia pun tiadalah diperincikan keadaannya di dalamnya, maka ulama kita pastinya akan mencermati perincian mengenai kedua - duanya sebelum mengaplikasikan sumber dan hukum qias ke atasnya.
Penggunaan kaedah qias di dalam menentukan hukum terhadap isu - isu semasa dan setempat adalah terdesak demi menghidupkan dalil - dalil yang berselerakan di dalam kitab - kitab fiqh Islami sepanjang zaman. Ilmu qias adalah payah dan lebih payah adalah mengaplikasikannya dalam menentukan hukum sesuatu. Ia adalah sebahagian daripada hikmat. Barangsiapa dikurniai hikmat, sesungguhnya dia telah dikurniai kebaikan yang melimpah - ruah.
( Justeru janganlah anda bermudahan mendakwa tahu seperti sesetengah kita yang mengqiaskan perjanjian dalam Pakatan Rakyat dengan/atas perjanjian Hudaibiah di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Bagaimana boleh disamakan PKR/DAP yang telah menerima untuk berdamai dengan PAS, dengan golongan musyrikin Mekah yang menentang Islam? Perjanjian yang dilakukan al Rasul dengan kafir yang tidak menentangnya adalah tidak sama dengan perjanjian baginda dengan kafir yang menentangnya. Bahkan, muqabalah PAS-UMNO adalah lebih mirip perjanjian Hudaibiah. Perhatikan.)
Kemudian, adakah keahlian dalam PAS bermaksud keahlian kepada sebuah gerakan Islam atau ianya adalah bermaksud keahlian di dalam sebuah parti politik Islam dalam konteks sistem demokrasi negara, itu adalah perbincangan yang tidak pula akan menamatkan dengan mudah persoalan hak - hak yang telah dipertegaskan boleh atau tidak bolehnya bukan Islam mengambil atau menerima sesuatu peranan di dalam membantu perjuangan Islam menegakkan Islam dan kebenaran.
Yang penting, orang bukan Islam memiliki hak untuk turut bersama menegakkan kebenaran, bahkan menegakkan Islam juga. Mereka berhak untuk menolak kezaliman dan memilih Islam sebagai jalan memperolehi keadilan dan kesaksamaan. Berikan kepada mereka hak mereka seluas ianya diluaskan oleh Islam.
Jika keahlian bukan Islam dibenarkan di dalam PAS, anda akan melihat persamaan dan perbezaan di antara ahli muslim dan ahli bukan muslim adalah berdasarkan hak masing - masing yang telah diperincikan hukumnya oleh para ulama kita. Perselisihan adalah keluasan jika ianya digunakan pada tempat dan masanya dengan tepat.
Yang penting, hari ini PAS telah meneroka sesuatu tidak diterokainya secara serius dahulu. Ia didesak oleh tuntutan semasa yang memerlukan kebijaksanaan menghukum dan melepaskannya di medan yang akan memperjudikan masa depannya yang namakan sebagai ‘usaha’ di sepanjang iman dengan ‘tawakkal’ kepada pemilik perjuangan ini.
Semoga PAS terus gagah memacu perjuangan sucinya.
Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!
Friday, 21 November 2008
keahlian bukan Islam dalam pas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment