Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!

Wednesday, 6 August 2008

Lapangan Terbang Batu Berendam Berpotensi Jadi Hub Tambang Murah

Beroperasi Mulai Januari 2009
LTBB Berpotensi Jadi Hub Tambang Murah
Posted on 6 Aug, 2008

BATU BERENDAM, 1 Ogos - Kerajaan Negeri berharap supaya Lapangan Terbang Batu Berendam (LTBB) yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini, dapat dijadikan hub bagi penerbangan tambang murah sektor selatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, langkah itu perlu kerana Syarikat Penerbangan Tambang Murah Air Asia akan bekerjasama untuk menyediakan laluan destinasi penerbangan.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Syarikat Air Asia bagi mempelbagaikan laluan destinasi berbanding hanya laluan ke Pekan Baru sahaja yang ada buat masa ini," katanya kepada pemberita selepas melawat kerja-kerja menaik taraf Terminal LTBB di sini, hari ini.

Katanya lagi, setakat ini, pihak syarikat tersebut masih belum memberi maklum balas kepada Kerajaan Negeri berhubung tawaran itu.

"Bagaimanapun, perbincangan lanjut dengan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Datuk Tony Fernandez, akan dibuat pada lawatannya ke LTBB minggu depan," ujarnya.

Menurut Mohd. Ali, syarikat penerbangan Air Asia perlu beroperasi di LTBB bagi membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin menjadikan Melaka sebagai negeri tumpuan dalam industri pelancongan kesihatan.

"Ia dapat dilaksanakan, memandangkan Melaka menawarkan pelbagai kepakaran dalam bidang perubatan dan setakat ini ianya terbukti mendapat sambutan hangat di kalangan pesakit dari Indonesia.

"Saya yakin, kalau ada penerbangan terus ke Melaka, mereka akan mendapatkan rawatan di sini, kerana kosnya jauh lebih murah berbanding di Jakarta," kata beliau.

Katanya lagi, kerja-kerja menaik taraf LTBB yang telah mencapai tahap 70 peratus itu juga boleh dijadikan tempat penerbangan Jemaah Haji selepas lapangan terbang tersebut sedia beroperasi Januari tahun depan.

"Jika MAS (Syarikat Penerbangan Malaysia) berminat untuk mengadakan penerbangan Jemaah Haji di LTTB, kita tidak akan menolak, lagipun ia dapat mengurangkan kesesakan di Kompleks Haji Kelana Jaya.

"Bagaimanapun, kita masih lagi kekurangan sebanyak 400 meter landasan bagi menampung laluan penerbangan. Ia membabitkan kos RM400 juta dan peruntukan tersebut masih belum lagi mendapat kelulusan Kerajaan Pusat," ujarnya.

Mohd. Ali turut memberitahu, terdapat beberapa syarikat industri di Batu Berendam dan Tanjung Kling yang berminat menggunakan kemudahan penerbangan kargo di LTBB.

"Mereka berminat kerana ia memudahkan syarikat terbabit memperolehi bekalan bahan mentah daripada negara luar," jelasnya.

Projek menaik taraf LTBB yang bermula pada tahun lepas itu meliputi bangunan pentadbiran, terminal dan landasan pesawat bagi membolehkan pendaratan pesawat Airbus dan Boeing 737 di lapangan terbang tersebut.

Antaranya syarikat penerbangan yang beroperasi sebelum ini di LTBB ialah Merpati Nusantara Airlines, Riau Airlines dan Berjaya Air.

No comments: