Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!

Sunday, 10 August 2008

Sebelum Kamu Berdoa

POsted on 10 AUG,2008
Daripada Aisyah r.a., beliau berkata;

Rasulullah s.a.w. telah masuk kerumahku, lalu aku tahu melalui wajahnya bahawa wahyu telah turun kepadanya. Baginda terus berwudhu' dan tidak bercakap dengan sesiapapun. Aku duduk di tepi dinding bilik untuk mendengar apa yang akan disabdakan oleh baginda. Baginda terus duduk di atas mimbar lalu memuji Allah dan bersabda: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah berfirman kepada kamu semua:

"Suruhlah melakukan makruf dan laranglah daripada kemungkaran sebelum kamu berdoa kepada-Ku, tetapi Aku tidak memperkenankan doa kamu, sebelum kamu meminta kepada-Ku, tetapi Aku tidak menunaikan permintaan kamu, sebelum kamu meminta pertolongan kepada-Ku, tetapi Aku tidak menolong kamu."

Baginda tidak berkata lebih dari itu sehingga baginda turun dari mimbar.

Diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ibn Hibban dalam sahihnya.

Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakatuh.

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang Maha Mencipta dan Maha Mematikan, yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Dialah Tuhan yang Maha Mengurniakan nikmat dan kesenangan. Dialah yang Maha Melihat dan Mendengar. Kita memohon perlindungan-Nya dan kekufuran samada yang kita sedari atau yang tidak kita sedari, dan kita memohon dari-Nya hidayah dan petunjuk untuk terus berada di dalam keteguhan iman, keadilan islam dan tsabat di atas jalan dakwah ini.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Muhammad s.a.w. yang menjadi Rasul pilihan Allah untuk menyampaikan islam yang syumul dan penutup bagi risalah yang di bawa para anbiya hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari yang di rahmati Allah,

Sesungguhnya kita manusia adalah hamba yang dhaif dan fakir. Kita adalah makhluk yang serba kekurangan namun Allah mengurniakan kita pakaian, makanan, kekuatan, akal fikiran dan segalanya. Sesungguhnya Allahlah yang melengkapkan kehidupan kita. Setiap waktu kita mengharap dari Allah s.w.t kurniaan-Nya agar kita tidak tersepit dalam kesusahan. Setiap waktu kita berdoa agar Allah menjauhkan kita dari malapetaka dan kesusahan. Itulah kita, yang mengharapkan bantuan dan bimbingan Allah s.w.t.

Namun apakah yang diperkatakan oleh hadith di atas tadi?! Betapa goyahnya hati hamba yang mengharap kurniaan Allah saat mendengar hadith di atas. Betapa gemuruhnya jiwa mereka yang sering memanjatkan doa kepada-Nya demi bantuan di saat kesempitan atau senang tatkala mendengar hal ini. Sesungguhnya ini seolah satu tamparan kepada jiwa yang lemah dan fakir, sebelum kamu berdoa kepada-Ku, tetapi Aku tidak memperkenankan doa kamu. Bukankah Allah telah berfirman dalam kitab-Nya yang suci;

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada engkau mengenai Aku maka (beritahulah kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. (Al-Baqarah : 186)

Maha Suci Allah. Sesungguhnya setiap sesuatu itu atas kekuasaannya. Dia tidak terikat dengan apa-apa syarat dan hukum. Bahkan Allahlah yang menurunkan hukum dan syarat ke atas ciptaan-Nya. Allah berhak atas setiap sesuatu dan Allah menentukan setiap sesuatu. Adakah Allah menetapkan perkara yang menakutkan ini kepada hamba-hamba-Nya (muslimin) yang berdoa kepada-Nya, memohon dan meminta pertolongan daripada-Nya?.

Ya! Ketika mereka berhenti daripada menyuruh kepada makruf dan melarang daripada kemungkaran walaupun dengan cara selemah-lemah iman (dengan hati).

Saudara-saudari yang diberkati Allah,

Begitulah iradat Allah menghendaki kita menjadi khalifah di atas muka bumi. Kehendak-Nya juga menghendaki supaya manusia menjadi kuasa dominan yang aktif di alam ini, dengan berlandaskan syariat dan kebenaran Allah s.w.t.

Dan Dia memudahkan (untuk faedah dan kegunaan) kamu segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. (Al-Jathiyah : 13)

Dengan itulah manusia dikehendaki bekerja dan menghasilkan pengeluaran. Manusia menghidupkan sistem dan mengatur urusan di alam ini sebagai khalifah Allah s.w.t. Kita menjadi kuasa dominan yang membawa kebaikan dan sebagai agen yang positif, dan pada masa yang sama menjadi hamba yang taat kepada segala perintah-Nya. Di atas landasan inilah sunnah-Nya berjalan semenjak Dia menjadikan bumi dan manusia.

Inilah sunnah Allah yang lazim dan seharusnya difahami dengan benar oleh manusia, apatah lagi oleh muslimin. Sesungguhnya hasil itu datang dari kebiasaan sunnah yang dibaringi dengan usaha dan penat lelah. Bukanlah Allah tidak berupaya untuk merubah keadaan sesuatu kaum tanpa mereka merubah diri mereka sendiri. Sesungguhnya Dia amat berkuasa atas segala sesuatu, ke atas hamba-hamba-Nya. Maha Suci Allah, yang apabila hendak melakukan sesuatu, maka sesungguhnya Dia hanya berkata: Jadilah (perkara ini), lalu iapun berlaku. (Maksud ayat al-Quran).

Namun Allah menghendaki kitalah yang menjadi agen perubahan. Kita yang menggerakkan segenap saraf dan otot untuk menggerakkan perubahan. Kita memerah usaha dan keringat untuk membawa kebaikan demi melaksanakan amanah Allah sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Kita menjadi anasir yang membina dan bersifat positif. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri yang mengubah nasib diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd: 11).

Saudara saudari yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya kemuliaan yang Allah kurniakan kepada kita adalah pada kurniaan belas kasih rabbani kepadanya dan tiupan Ilahi yang menjadikannya seperti yang ada padanya. Manusia itu tetap juga berasal dari tanah, kejadiannya adalah dari rumah hunian cengkerik, cacing dan serangga-serangga yang lainnya. Jika tiada kemuliaan yang Allah kurniakan kepada kita, maka serupalah kita dengan binatang-binatang itu semua.

Namun hendaklah kita sedar, bahawa kemuliaan itu datang dengan bebanan yang berat dan tuntutannya amat besar. Dan itulah syarat yang Allah kemukakan dalam hadith di atas, suruhlah melakukan makruf dan laranglah daripada kemungkaran. Inilah bebanan yang Allah taklifkan kepada kita, hendaklah kita menyuruh kepada makruf, dan melarang dari yang mungkar serta beriman kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi menusia, kamu menyuruh kepada makruf dan kamu melarang dari kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah. (Al-Imran : 110).

Inilah satu syarat untuk Allah membukakan pintu kurniaan-Nya, pintu perlindungan-Nya, pintu pertolongan-Nya. Sesungguhnya perkara makruf dan mungkar tidaklah sedikit dan boleh dibilang sahaja dengan jari. Begitu luas bidang kehidupan manusia, begitu luas pula ruang untuk melaksanakan kebaikan dan begitu juga kejahatan dan kefasadan. Dan itulah sunnah kehidupan manusia, untuk mengawasi manusia agar melaksanakan makruf dan mencegah mereka pula dari kemungkaran. Allah menghendaki manusia mendorong ke arah pengislahan dan kebaikan.

Ia merupakan satu jalan yang berat dan membebankan, namun ia adalah satu-satunya jalan untuk mengatur urusan kehidupan manusia. Jika ini berlaku, maka kebatilan tidak akan punya setitis keberanian pun untuk terus berada di atas muka bumi ini.

Saudara saudari yang dikasihi Allah,

Hendaklah anda menyedari bahawa kekuatan satu-satu masyarakat bergantung besar kepada usaha mereka dalam melaksanakan amanah ini. Masyarakat yang melaksanakan amanah ini, adalah satu masyarakat yang bersatu-padu, kukuh, sentiasa maju ke hadapan, setia dengan kemajuan dan kejayaan, amanah dengan pendirian, bersungguh dalam kehidupannya. Masyarakat ini adalah yang paling hampir dengan fitrah manusia yang benar, bahkan terus berada di atas kelangsungan fitrah yang berjalan.

Sirah telah mengajar kita, bahawa kejatuhan dan keruntuhan umat islam bukanlah disebabkan oleh kemunduran teknologi, tenggelam dalam kejahilan atau kejumudan. Namun jelas sungguh di saat kemuncaknya umat ini, kita telah melupai tugas amar makruf nahi mungkar. Disebabkan pemerintah yang asyik dengan kelazatan duniawi, kezaliman sosial dan ekonomi yang membahagikan manusia kepada kumpulan yang zalim dan tertindas, kekuatan ketenteraan dan produktiviti yang merosot sedang Eropah membangun membina empayar dalam diam. Semuanya kerana sikap duduk sahaja melihat tanpa mencegah kemungkaran dan menyeru kebaikan.

Tidakkah anda mendengar Allah berfirman;

Dan apabila kamu menghukum sesama manusia maka hendaklah kamu menghukum dengan adil (An-Nisa' : 58)

Bukankah Allah telah melarang dari duduk sahaja berdiam diri terhadap kezaliman;

Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka menzalimi dir mereka sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum musyrikin) mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang telah kamu lakukan mengenai agama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi."... maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam. Dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (An-Nisa' : 97).

Bukankah kamu membaca bahawa Allah menyuruh kamu mempersiapkan diri kamu;

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan. (Al-Anfal : 60).

Bukankah Allah telah memuliakan ilmu;

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan, yang telah mengajar dengan pena dan tulisan, yang telah mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-‘Alaq : 1-5)

Bukankah Allah telah menyuruh agar harta tidak hanya berlegar di kalangan orang kaya sahaja;

Supaya harta itu tidak hanya berlegar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. (Al-Hasyr : 7).

Tidakkah kamu membaca kitab al-Quran yang telah Allah turunkan sebagai penjelasan kepada kamu? Tidakkah kamu mendengar hadith-hadith Muhammad s.a.w. yang menyuruh kamu berlaku adil di muka bumi ?!

Saudara saudari yang dikasihi Allah,

Itulah dia tanggungjawab kita sebagai khalifah. Sesiapa yang tidak bekerja, dia langsung tidak akan mendapat sesuatu...walaupun secara teorinya dia mengenal Allah, berdoa kepada-Nya dan memohon pemberian-Nya. Muslimin ditaklifkan memberi petunjuk kepada manusia yang sesat ke jalan Allah. Dan kita tidak akan dapat memberi petunjuk kepada manusia sehingga mereka terlebih dahulu mengambil petunjuk daripada Allah dan berjalan di atas jalan-Nya. Jalan adalah jelas sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah.

Sesungguhnya Allah berfirman kepada kamu semua:

"Suruhlah melakukan makruf dan laranglah daripada kemungkaran sebelum kamu berdoa kepada-Ku, tetapi Aku tidak memperkenankan doa kamu..."

Di olah dari "...sebelum kamu berdoa, tetapi Aku tidak memperkenankannya." Buku Qabasat Min Ar-Rasul (Hadith-hadith Pilihan) karangan Muhammad Qutb.

No comments: