Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!

Thursday, 14 August 2008

Ucapan Perasmian Muktamar Dewan Pemuda oleh YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden di Ipoh bersempena dengan muktamar DPPP 2008

Teks Ucapan Timbalan Presiden PAS
Posted on 14 AUG,2008









Muqaddimah

Dr Abdul Qadir Audah dalam salah satu tulisan beliau dan membentangkan kepada dunia bahawa di antara faktor kejatuhan umat Islam dunia hari ini ialah:

(i)Kelemahan para ‘ulama’ dalam mempertahankan kesucian Agama Islam dan menterjemahkan keagungan Syari‘at Islam kepada negara yang diperintah oleh orang-orang Islam;

(ii)Kejahilan umat Islam untuk memahami dan menghayati Agama Islam itu sendiri.[1]

Pandangan ini amat bertepatan jika kita menoleh sejenak dan meretrospeksi ke dalam jati diri kita sebagai makhluk pilihan Allah yang telah diamanahkan beban tugas amat berat sebagai Khalifatu’l fi al-Ardh.[2] Walaupun Islam dijamin oleh Allah SWT dan tetap akan dipelihara-Nya, namun kealpaan umat Islam terhadap Ni‘mat yang telah Allah SWT anugerahkan kepadanya akan mengundang bencana yang amat perit. Dalam sejarah Islam sendiri peristiwa penuruan Nabi Adam AS dari Syurga ke bumi; kisah kehancuran kaum Nabi Nuh AS, Nabi Lut AS, kaum ‘Ad dan Thamud dan seumpamanya, adalah bukti-bukti jelas bala’ yang ditimpakan ke atas umat Islam akibat kedurjaaan mereka sendiri apabila mereka berpaling daripada Islam! Inilah sejarah yang mesti kita fahami, inilah mesej yang mesti kita hayati.

PAS – Jamaah Harakah Islamiyyah dan Pilihanraya Umum

Apabila kita berbicara mengenai da’wah dan Jama’ah, sekali lagi kita ingin menegaskan bahawa Parti Islam SeMalaysia atau PAS sejak dilahirkan pada tahun 1951 muncul atas asas dan kesedaran untuk berdakwah dan menyahut tuntutan di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Sejak kelahirannya 50 tahun dahulu, PAS telah meletakkan Islam sebagai dasarnya, iaitu Islam dari segi Undang-Undang Tubuhnya, perjalanannya, perjuangan setiap ahli dan barisan kepemimpinannya sehinggalah ke matlamatnya untuk memperjuangkan wujudnya didalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai nilai hidup islam dan hukum hukumnya menuju keredhaan Allah.

Kemunculan PAS di tengah-tengah masyarakat Malaysiabersama dengan beberapa kumpulan Islam yang lain tidak akan mengubah statusnya sebagai sebuah Jama’ah Harakah Islamiyyah utama berdasarkan ciri-ciri berikut:-

(i) PAS adalah sebuah Jama’ah Islam yang ditubuhkan di atas kesedaran untuk melaksanakan tajdid sepenuhnya;

(ii) PAS adalah Jama’ah Islam yang mendukung dan memelihara kesyumulan Agama Islam dan kesejagatannya;

(iii) PAS adalah Jama’ah Islam yang memelihara tradisi ‘ilmiyyah dan ‘aqliyyah;

(iv) PAS adalah Jama’ah Islam yang berada di bawah Kepemimpinan ‘Ulama’;

(v) PAS adalah Jama’ah Islam yang realistik dan praktikal;

(vi) PAS adalah Jama’ah Islam yang berakarumbikan rakyat jelata dari semua lapisan masyarakat;

(vii) PAS adalah Jama’ah Islam yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk membina sebuah ummah;

(viii) PAS adalah Jama’ah Islam yang menakankan ciri-ciri Hizbu’Llah;

(ix) PAS adalah Jama’ah Islam bersifat tersendiri, bebas dan tidak dikongkong oleh Kerajaan;

(x) PAS adalah Jama’ah Islam yang bersifat ‘Alamiyyah.[3]

Kemunculan PAS sebagai sebuah parti politik tidak mengubah kedudukannya sebagai sebuah Jama’ah Harakah Islamiyyah. Penglibatan PAS dalam pilihanraya tidak harus dipandang sebagai kemuncak aktiviti tetapi hanyalah sebagai salah satu metodologinya dalam berdakwah. Dalam hal ini PAS mengambil kaedah Syara’ yang mengizinkannya bertanding di dalam Pilihanraya Umum dengan maksud untuk memberikan suara Islam kepada para pengundi. Seperti kata Almarhum bekas Dato’ Presiden yang amat kita kasihi, “Kita telah memenangi Kelantan menerusi proses Perlembagaan. Kita telah menerima sistem demokrasi berparlimen, sama sepertimana yang dipercayai UMNO. Oleh yang demikian, kita berharap sistem demokrasi yang diamalkan kini akan terus mengizinkan kita mewakili rakyat secra demokratik.”[4]

Sehubungan dengan itu, perwakilan 23 orang Ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat dan 83 orang ADUN sejak PRU-12 2008 telah mendatangkan kesan yang cukup hebat kepada parti pemerintah. Kelantangan dan kebijaksanaan kita berhujjah di luar Dewan sebelum ini telah kita terjemahkan kembali dan berjaya menggegarkan Dewan Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri.



Dalam persada politik Malaysia, beberapa pendekatan syara’ berdasarkan siyasah syar’iyyah seperti Muwajah Silmiyyah dan Tahalluf as-Siyasi[5] telah menghasilkan kejayaan kepada Jama’ah kita. Gabungan ampuh kita semasa di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Pakatan Rakyat pada tahun 2008 telah berjaya mengembalikan (bukannya “merampas”) bumi Kelantan – Serambi Makkah kepada kita. Sekali lagi, percaturan cerdik politik kita pada tahun 1999 di bawah payung Barisan Alternatif (BA) telah membawa Terengganu Darul Iman di bawa pemerintah Islam. Namun Allah SWT menguji kita pada tahun 2004 apabila terengganu terlepas kepada pemerintah. Insya’ Allah berkat usaha gigih kita dan dengan Izin Allah SWT jua, manalah tahu pada tahun 2008 ini juga kita bakal kita bakal menggegarkan Dewan Parlimen apaibila buat kesekian kalinya, PAS dan sekutunya di bawah Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia, insya Allah.

Pemuda - Memperkasa ‘Amal Jama’iyy
Sebagai Modus Operandi Jamaah


Oleh sebab prinsip-prinsip da’wah kita dalam PAS akan menjadi lebih berkesan dilaksanakan secara kolektif (jama’iyy), maka aspek menyusun tanzim Jama’ah berdasarkan konsep ‘Amal Jama’iyy menjadi sangat penting. Inilah adab dan disiplin jamaah yang kita pegang yang wajib diimani oleh seluruh pendokong jamaah kita. Para‘ulama’ harakiyy telah menghuraikan empat elemen utama yang memastikan kejayaan Jama’ah mencapai matlamatnya berdasarkan ‘Amal Jama’iyy, iaitu:

(i) Pemimpin ( الأمارة )

(ii) Syura ( الشورى )

(iii) Ketaatan Anggota ( الطا عة )

(iv) Kesetiaan - Bay’ah ( البيعة )

Berjaya atau tidaknya pengurusan sesuatu jamaah itu mencapai matlamatnya amat bergantung pada keupayaan barisan pimpinan mengendalikan teraju kepemimpinan organisasi itu dan kesetiaan anggotanya menyokong kepemimpinan. Terlalu banyak nas al-Qur’an dan Hadith tentang perlunya organisasi mempunyai pemimpin yang cekap serta kepemimpinan yang baik. Oleh itu amat penting bagi sesebuah jamaah itu melantik kalangan yang benar-benar berkeupayaan untuk melaksanakan sesuatu amanah kepemimpinan. Pada dasarnya pemimpin perlu memiliki sifat-sifat quwwah dan amanah, perlu mewarisi sifat benar, tabligh dan bijaksana .Kita tidak perlu bergantung pada kekuatan orang lain.

Dengan wujudnya Pemimpin, maka mesti lahir pula ketaatan yang penuh tertib dan adab oleh ahli yang telah bersetuju melantik pemimpin tersebut. Dengan demikian barulah terbentuk saff Jama’ah Harakah Islamiyyah yang mampu menangani perjuangan dan memikul beban da’wah. Di sinilah letaknya persoalan at-Ta’ah dan al-Wala’ (kesetiaan). Al-Wala’ yang kita maksudkan bukanlah setia mematuhi membabi buta kepada Jama’ah atau pimpinan. Ia adalah kesetiaan kepada Islam yang diterjemahkan melalui Jama’ah Islam yang kita sokong, iaitu PAS berdasarkan prinsip dan kaedah syara’ sedia ada. Dengan demikian terlaksanalah suatu bay’ah ahli terhadap Pimpinannya. Janji setia itu dimahkotakan dengan ahli mengikut Pimpinan penuh setia dan bergerak di atas dasar syara’. Ini bermakna, jika pimpinan memberikan arahan kepada ahli, ahli wajib menurut arahan tersebut selagi arahan tidak bercanggah dengan hukum yang jelas walaupun mungkin ada ahli tidak bersetuju atau menyukai arahan tersebut. Di dalam sejarah Islam itu sendiri kita telah melihat banyak contoh ketaatan, di antara lain umpamanya, bagaimana Panglima Khalid al-Walid diarahkan oleh Khalifah ’Umar al-Khattab supaya mematuhi Abu ‘Ubadah al-Jarrah sebagai ketuanya walaupun jelas Khalid al-Walid lebih senior daripada Abu ‘Ubadah!

Pelaksanaan syura yang meluas di kalangan ahli Jama’ah adalah cara terbaik untuk mengelakkan Jama’ah daripada tergelicir daripada landasan kebenaran. Sistem syura merupakan komponen terpenting dalam tanzim, di mana, tanpanya cacatlah perjalanan organisasi Jama’ah itu. Keputusan syura mestilah binding dan dipatuhi oleh semua peringkat anggota hatta oleh Amir sekalipun. Pernah disebutkan di dalam banyak hadith bagaimana digambarkan bahawa Rasulu’Llah SAW adalah orang yang paling kerap melakukan syura lalu amalan ini dicontohi oleh para sahabat.[6]

Memadailah di sini kita petik kata-kata seorang tokoh Harakah Islamiyyah mengenai kepentingan Syura dalam sesebuah Jama’ah “Menyingkirkan prinsip syura dengan cara menghentikan amalan syura dan tidak mempraktikkannya di pihak pimpinan atau oleh pihak yang bertanggungjawab pada tempatnya yang wajar"walau-pun ia mempunyai keupayaan dan pengetahuan dikira sebagai satu penyelewengan daripada prinsip (da’wah) asal. Begitu juga dengan sambutan negatif daripada anggota yang tidak mahu memberi pendapat dan pandangan serta nasihat kepada yang bertanggungjawabdan tidak mahu menyedari bahawa mereka juga bertanggungjawabdalam masalah berkenaan. Ini juga dikira sebagai penyelewengankerana menyingkirkan prinsip syura.Di antara penyelewengan daripada prinsip syura yang paling berbahaya,sebagai contohnya, ialah ada syura dengan bentuk dan rupanya sekali tetapi kosong tidak berisi dan tidak berjiwa. Dengan ertikata lainnya,ada Majlis Syura tetapi sudah dicampuradukkan pelaksanaannyadengan pelbagai perkara yang kosong dan tidak berfaedah. MajlisSyura itu hanya sebagai tong kosong. Pimpinan pula menyetujuinya dan tidak menolak semua pendapat yang dikemukakan.[7]

Ekoran daripada kepemimpinan Qiyadah yang berkesan dan pelaksanaan syura yang meluas, ahli-ahli akan mudah memberikan ta’ah dan bay’ah yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin. Hatta Nabi SAW sendiri pernah menerima pandangan majoriti sahabat supaya keluar dari Madinah daripada bertahan di dalam kotaMadinah semasa Perang Uhud. Walaupun kemudian para sahabat bersedih kerana pandangan mereka bercanggah dengan pandangan peribadi Rasulullah SAW, tetapi Nabi dengan tegas menyatakan bahawa “tidak wajar seorang nabi menanggalkan baju perang yang telah dipakainya” lalu terus ke medan Uhud. Kepemimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW itu amat jelas sekali - itulah kelebihan bersyura yang amat dituntut oleh Islam.

Kemanisan bersyura akan dirasai secara automatik apabila ahli berasa yakin dengan perjalanan dan matlamat Jama’ah serta berasa amat senang dengan kepemimpinan barisan pimpinan Jama’ah. Inilah akhlak berjamaah yang kita mahukan. Inilah bentuk saff Jama’ah yang sedang kita usahakan sehingga lahirnya Jundiyyah yang menepati syarat-syarat Hizbu’Llah seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an, surah al-Ma’idah, ayat 54-55!

Arahan dan Peraturan

Secara umumnya setiap Jama’ah Islam ataupun organisasi mempuyai prinsip dan kaedahnya tersendiri untuk menguruskan jentera organisasinya. Oleh itu, kita dalam PAS juga mempunyai adab, tertib dan akhlak berjamaah yang mesti dipatuhi. Selain daripada asas-asas al-Qur’an, as-Sunnah, Ijma’ ‘Ulama’ dan Qiyas yang kita gunakan sebagai dasar Jama’ah kita, sebagai sebuah parti politik moden yang berdaftar, kita mempunyai barisan pimpinan yang wajib kita patuhi arahannya selagi arahan itu menpati syara’ sepertimana yang disebut di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW yang membawa maksud: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat.” Sesungguhnya, sebuah bahtera yang sarat dengan bala tentera akan tersasar daripada arah tujan perjalanannya, terumbang ambing tanpa nakhodanya yang cekap memberikan arahan. Begitu juga, bahtera yang sama akan menjadi kucar kacir jika terdapat dua nakhoda yang mengepalai satu bahtera yang sama.

Sehubungan itu, adab berjemaah wajib dipatuhi sepenuhnya. Apa-apa yang kita bahaskan di dalam mesyuarat atau ketika bersyura, wajib kita rahsiakan. Itulah medanyang diizinkan oleh Allah SWT supaya kita memerah fikiran dan berhujah untuk mendapatkan keputusan yang terbaik untuk jemaah kita. Kita berdoa kepada Allah semoga pandangan kita yang diterima oleh syura yang kita lontar itu benar-benar baik di sisi Allah SWT supaya ia dapat memperkasa jemaah. Namun, adalah melanggar adab dan disiplin jika kita menghebahkan kandungan mesyuarat kepada pihak yang tidak bertanggungjawab apatah lagi mereka yang bukan daripada jemaah kita! Inilah asas ‘amal jamai’iyy yang mesti kita fahami sedalam-dalamnya.

Mesej dan Ruang Lingkup Da’wah PAS

Ruang dan medandakwah terbentang luas. Dan PAS berdakwah dengan mengambil pentas politik berasaskan amalan prinsip demokrasi moden. Dalam isu muzakarah PAS-UMNO yang begitu hebat diwarwarkan, ana ingin mengajak seluruh ahli Dewan Pemuda meneliti konsep dakwah secara lebih besar dan menyeluruh dengan tidak menekankan konsep kepartian. Majlis Syura Ulamak yang telah bersidang pada 23 April 2008 telah memutuskan untuk membenarkan beberapa pimpinan PAS bertemu dan berbincang dengan pimpinan UMNO mengenai permasalahan Islam dan orang Melayu akibat pasca PRU 12. Kita berpegang pada konsep tahalluf as-siyasi dan di atas konsep inilah kita berkerjasama dengan PKR dan DAP. Siapakah mad’u kita yang paling hampir dengan kita kalau bukan ahli PKR, DAP malah UMNO sekalipun? Benarkah ahli PKR dan DAP bukan mad’u yang perlu kita dakwahkan lagi kerana mereka sudah menjadi rakan sekutu kita? Barangkali sekutu politik ya, tapi bukan benar-benar memahami kita. Bukan sekutu yang memahami Islam sefaham kita. Bukankah DAP terang-terang menentang hasrat PAS untuk melaksanakan Islam dari dulu sampai sekarang, tak padam-padam. Tapi DAP masih sekutu politik PAS! Nisbahnya, jika sedemikian maka bermuzakarah dengan siapa sahaja perlu dilihat dalam rangka dakwah yang lebih luas.

Politik adalah alat dan PAS adalah wadah yang berpolitik. Dan Islam adalah asas PAS berpolitik. Tapi Islam juga adalah cara hidup yang dipegang oleh ahli PAS. Justeru itu, Islam mewajibkan dakwah terutama kepada mereka yang perlukan seruan Islam. Atas sebab dakwah jua, tiada siapayang boleh dijauhi. Ya, ada diantara mereka pernah menjadi musuh politik PAS, kemudian sekutu dan kini musuh semula. Apakah mereka akan terus dibiarkan atau kita perlu berusaha mendekati mereka? Kalau benar kita sebegitu kuat dan mereka sedemikian lemah, kenapa yang kuat harus berasa tergugat menghadapi yang lemah?

Paling penting, pimpinan kita bertemu pimpinan UMNO dengan mandat dan keputusan Syura. Mereka pergi bukan untuk berunding kerusi jawatan menteri tetapi untuk beritahu pimpinan UMNO supaya terima Islam sebagai penyelesaian masalah ummat Malaysia. Benar, UMNO sedang lemah dan mereka mengajak kita dalam keadaan mereka lemah. Jika merekakuat, mereka tidak mengajak kita. Namun bukankah al-Quran mengajar kita supaya berunding jika pihak musuh ingin mengajak berunding demi maslahah Islam setelah kita bertempur di medanpilihanraya umum. Sebenarnya, di saat inih kita mesti bertenang dan follow perkembangan dari semua sudut very very closely. Jangan dikalutkan suasana. Tak sedarkah kita sebenarnya kita melanggar disiplin dan satu furu’ daripada adab berjemaah semata-mata kita rasa ‘‘kita terlalu sayangkan jemaah dan nak selamatkan jemaah’’? Kalau begitu, sikap Sayyidina ‘Umar yang menghunuskan pedang dan mencabar sesiapa yang kata Nabi SAW telah mati akan menerima maut di mata pedangnya itu betullah sebab ‘Umar amat menyayangi Nabi SAW! Siapa yang kata ‘Umar tak sayang Nabi SAW ? Bukankah sikap terlalu sayangkan Nabi itulah yang menyebabkan ‘Umar berbuat demikian? ‘Umar tak terfikir jauh lagi sehinggalah datangnya Sayyidina Abu Bakar mengungkapkan ayat al-Qur’an yang menjelaskan bahawasanya Muhammad itu hanyalah seorang Rasul daripada beberapa Rasul yang telah diturunkan sebelumnya, lalu dapat menenangkan ‘Umar! Sayangilah jamaah dengan hujah Islam berasaskan al-Qur’an dan Sunnah.

Penutup

Para Pemuda yang dikasihi sekalian,

Saya menutup tirai ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda 2008 ini dengan mengungkapkan semula kisah benar dalam siri perjuangan pemimpin PAS, iaitu kisah Dr. Burhanuddin al-Helmi, YDP PAS zaman 50-an ketika sampai untuk berceramah di sebuah ladang getah di Kg. Relau, Kedah sempena kempen PRU pada tahun 1964. Ketika Jawatankuasa Penganjur memberitahunya bahawa jumlah orang yang ada di kampung tersebut hanya sekadar 20 hingga 30 orang sahaja dan ingin mengalihkan ceramah ke tempat lain disebabkan jumlah penduduk yang terlalu sedikit berbanding dengan kedudukannya sebagai Yang DiPertua PAS, almarhum telah berkata dengan ungkapan yang terpahat dalam tinta emas perjuangan PAS "Tidak mengapa. Biar pokok-pokok getah menjadi saksi bahawa kita telah datang untuk menyampaikan dakwah dan memberikan peringatan….” Dengan lafaz “Bismillahir-Rahmanir-Rahim”, saya merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS yang ke-49 bagi tahun 2008 Masihi.

No comments: