Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!

Wednesday 17 September 2008

Akta Keselamatan Dalam Negeri

Akta Keselamatan Dalam Negeri
Posted on 17 SEPT,2008

Akta Keselamatan Dalam Negeri

(Dipetik dari buku: RESPONS - Intelektual Muslim & Isu-Isu Semasa, susunan Ann Wan Seng, terbitan Harakah, Jabatan Penerangan dan Penyelidikan, Parti Islam SeMalaysia, 2006) Artikel ini adalah hasil tulisan Abdul Aziz Bari*.

Persoalan mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act) 1960 sering menjadi perbahasan yang hangat di kalangan rakyat Negara ini. Akta yang lebih dikenali dengan akronim Inggerisnya, ISA dianggap zalim, tidak berperikemanusiaan, drakonian, menentang demokrasi, undang-undang rimba dan sebagainya.

ISA dan Kerangka Perlembagaan

Kefahaman mengenai kerangka perlembagaan Negara penting untuk memahami kedudukan akta ISA. Inilah yang memberikan asas kepada undang-undang itu. Namun begitu, daripada segi prinsipnya, akta ISA adalah bertentangan perlembagaan dan konsep kedaulatan undang-undang. Akta ISA bertentangan dengan perlembagaan kerana ia bercanggah dengan peruntukan-peruntukan di bawah kebebasan asasi.

Bagaimanapun, pertentangan ini diharuskan oleh Perkara 149 yang memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi mencegah kegiatan subversif [1]. Kuasa untuk menagani kegiatan dan anasir subversif ini terlalu luas sehingga ia boleh merangkum apa sahaja keadaan yang dianggap mengancam ketenteraman awam termasuk yang belum berlaku lagi.

Daripada segi kedaulatan undang-undang, ISA tidak dapat diterima kerana akta ini membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara [2]. Di bawah prinsip kedaulatan undang-undang, seseorang hanya boleh dihukum melalui perbicaraan di mahkamah. Meskipun akta ISA mempunyai kesahan atau alasan di sisi perlembagaan [3], keadaan tidak mungkin seprti sekarang sekiranya mahkamah-mahkamah kita sejak akta ISA diluluskan pada tahun 1960-an dahulu mengambil pendekatan yang tegas dan kritikal dalam kes-kes di bawah akta itu. Sebaliknya mahkamah mengambil sikap tidak mahu memeriksa dengan teliti alasan penahanan dan seumpamanya [4]. Dalam beberapa kesempata, mahkamah malah menyelamatkan penahanan yang memperlihatkan kesilapan prosedur [5].

ALASAN-ALASAN ISA HARUS DIMANSUHKAN [6]

Daripada segi demokrasi, memang benar bahawa sistem berkenaan perlukan sebuah masyarakat yang aman & stabil supaya ia dapat beroperasi dengan lancar. Tetapi apakah akta ISA ini sinonim dengan kestabilan & ketenteraman awam? Tidak dinafikan bahawa negara ini jika dibandingkan dengan negara-negara lain agak stabil dan aman. Tetapi mestikah itu semua berpunca daripada undang-undang seperti ISA?

Apakah keamanan tidak mungkin berpunca daripada sikap tidak suka keganasan di kalangan masyarakat Malaysia? Dengan demikian, alasan yang mengatakan bahawa akta ISA perlu dikekalkan kerana ia telah berjaya mengawal dan mewujudkan ketenteraman sebenarnya tidak saintifik kerana hubungan di antara keamanan dan akta ISA lebih merupakan dakwaan yang kebenarannya belum dipastikan. Dalam pada itu, penganiayaan di bawah akta ISA sudah agak jelas berdasarkan kepada memoir [7] dan pengalaman yang dtulis oleh tokoh-tokoh tertentu yang pernah ditahan di bawah akta ISA. Melihat kepada profil mereka yang ditahan di bawah akta ISA agak jelas bahawa akta ini juga praktiknya ditujukan kepada penentang dan pengkritik kerajaan yang juga merupakan sesuatu yang sah di sisi demokrasi [8].

Daripada segi Islam, alasan yang sering dikemukakan untuk menyokong undang-undang seperti akta ISA juga lebih kurang sama dengan hujah yang dikemukakan itu. Yang berbeza, cuma seseorang yang ditahan itu disyaki membahayakan Islam dan para penganutnya. bagaimanapun, tidak ada bukti jelas bahawa mereka yang ditahan di bawah akta ISA benar-benar mengancam keselamatan negara [9]. Yang kita tahu, mereka yang ditahan di bawah akta ISA sama ada penggiat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau ahli politik pembangkang, mereka adalah golongan yanng kritikal terhadap kerajaan.

Berbalik kepada kedudukan akta ISA di sisi Islam, mungkin relevan jika dikatakan bahawa di dalam Islam, bercakap benar khususnya mengkritik pemerintah yang zalim digolongkan sebagai perlakuan taqwa yang tinggi [10]. Inilah di antara alasan yang menyebabkan kita merasa ragu bahawa akta ISA boleh dijustifikasikan di sisi Islam. Apatah lagi apabila kita menyedari bahawa ada pihak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah dengan islam tidak pula ditangkap di bawah akta ISA [11].

ALTERNATIF UNTUK ISA

Bagi sesetengah pihak khususnya pembangkang dan mereka yang kritikal terhadap penggunaan akta ISA, jalan di hadapan hanyalah satu iaitu mansuhkan ISA. Ini kerana sejak kebelakangan ini, tangkapan di bawah undang-undang ini semakin tidak meyakinkan alasannya. Sama seperti undang-undang lain seperti Akta Mesin Cetak 1984, Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972, pelaksanaan akta ISA lebih bersifat menentang demokrasi.

Daripada satu sudut tindakan kerajaan menggunakan akta ISA boleh dianggap sebagai meghalang rakyat menggunakan proses aman di bawah sistem demokrasi dan memprovokasikan menggunakan kekerasan. Ini sesuai dengan sifat manusia yang sekiranya mereka sentiasa dihalang dan disekat daripada menggunakan saluran-saluran yang sah maka mereka lambat laun akan hilang kepercayaan kepada sistem tersebut. Keadaan inilah yang akan mendorong dan menjadi punca kepada keganasan serta yang seumpamanya.

Selain itu, tanpa akta ISA pun, sebenarnya sistem kita sudah dipenuhi dengan pelbagai undang-undang yang hujahnya semakin meleset dan ketinggalan zaman. Inilah yang terjadi dengan akta-akta di atas yang pelaksanaannya lebih merupakan halangan dan sekatan buat rakyat daripada menggunakan hak mereka yang sah di sisi demokrasi. Mungkin perlu disebut bahawa kebanyakan undang-undang ini berasal daripada undang-undang lama yang diwujudkan oleh pihak penjajah British semasa mereka masih memerintah negara ini pada suatu ketika dahulu.

Daripada sudut ini, kerajaan sekarang yang kononnya membenci penjajahan dan pengaruh asing sebenarnya banyak bergantung kepada peninggalan penjajah yang telah usang itu.

Ada yang menghujah bahawa akta ISA ini boleh dkekalkan dengan syarat mahkamah diberikan kuasa untuk menyemak keputusan membuat tahanan oleh kerajaan [12]. Daripada segi teorinya, hujah ini nampak baik. Tetapi daripada segi pelaksanaannya adalah meragukan setakat mana ia boleh menjamin supaya hak-hak mereka yang ditahan tidak dicabul dengan sewenang-wenangnya. Lagipun pengalaman selama ini tidak begitu meyakinkan di mana mahkamah sering enggan untuk mengambil corak tafsiran yang kritikal dan proaktif.

KESIMPULAN

Agak jelas bahawa jalan di hadapan hanya satu iaitu akta ISA perlu dimansuhkan. Meskipun kerajaan mendakwa akta ISA masih diperlukan tetapi hujah-hujahnya tidak meyakinkan. Tangkapan terbaru di bawah undang-undang ini benar-benar melemahkan dakwaan kerajaan.

Sekiranya kerajaan memerlukan undang-undang seperti akta ISA untuk menangani pelbagai ancaman, formula yang boleh menggantikannya cukup mudah iaitu luluskan undang-undang untuk menangani masalah-masalah tertentu seperti undang-undang mencegah penyeludupan, pemalsuan pasport dan seumpamanya.

Masalah besar dengan akta ISA ialah ia mengizinkan kuasa yang terlalu luas kepada pihak menteri atau polis untuk menahan sesiapa sahaja hanya dengan alasan mereka mengancam keselamatan negara.

Berdasarkan kepada senario itu, semasa bekas tahanan-tahanan perlu menggembleng tenaga untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku teruatama pengalaman mereka semasa di dalam tahanan. Ini penting kerana masyarakat mempunyai tanggapan bahawa tahanan ISA dilayan dengan baik oleh pihak polis sedangkan ada cerita yang sebaliknya daripada sebahagian para tahanan. Usaha ini sudah mencapai momentum dan perlu diteruskan untuk kebaikan generasi akan datang.

Menarik untuk disebut bahawa berbanding dengan masa-masa yang lalu, tentangan terhadap akta ISA pada masa kini lebih lantang lagi [13]. Pendidikan yang berterusan perlu dipertingkatkan. Masyarakat yang kahil tentang demokrasi yang tidak sedar betapa kebebasan mempunyai nilai yang tinggi akan membenarkan pencabulan hal bermaharajalela di depan mata mereka. Manusia sebegini tidak akan mampu menghargai nilai-nilai itu sehinggalah mereka sendiri meringkuk di bawah akta dominan dan drakonian ini.
[1] Lihat Perkara 149(1). Peruntukan ini sebenarnya telah dipinda beberapa kali dan apa yang ada sekarang berbeza dengan undang-undang berkenaan 1957. Lihat Abdul Aziz Bari, “ISA in the light of Constitution”, Sunday Sun, 15 Jun 1997, halaman 18.
[2] Konsep kedaulatan undang-undang ini dipelopori oleh ahli huku Inggeris, A.V. Icey menuntut bahawa: (1) semua orang sama rata di sisi undang-undang, (2) seseorang hanya boleh dihukum kerana kesalahan di sisi undang-undang dan (3) keputusan hanya boleh dibuat oleh sebuah mahkamah yang bebas.
[3] Akta lain yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Perkara 149 ini ialah Akta Dadah Merbahaya (Kuasa-kuasa Pencegahan Khas) 1985.
[4] Lihat keputusan Tun Salleh Abas dalam kes Theresa Lim Chin Chin vs Inspector General of Police (1988) 1 MLJ 293.
[5] Lihat keputusan Tun Mohamed Suffian dalam kes Karam Singh vs Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia (1969) 2 MLJ 129.
[6] Lihat umpamanya, Abdul Aziz Bari; “Has ISA outlived it’s purpose?”, Sunday Sun, 8 Jun 1997, halaman 18.
[7] Yang terbaru memoir Said Zahari, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu yang berjudul Meniti Lautan Gelora-Sebuah Memoir Politik (Utusan & UKM, 2001), Two Face-Detention without Trial oleh Syed Husin Ali (Insan, 1996) dan Universiti Kedua oleh Kassim Ahmad (Media Intelek, 1982). Lihat juga tulisan dan pengalaman beberapa tahanan yang lain seperti Koh Swe Yong, “Life under ISA-Coorporate or we will gun you down”, Jumaat, 4 Mei 2001, http://malaysiakini.com.
[8] Lihat Abdul Aziz Bari, “Membenci Kerajaan-Satu Perspektif Perlembagaan dan Undang -undang”, Dewan Masyarakat, Jilid 38, Bilangan 12, Disember 2000 halaman 36-37.
[9] Untuk perbincangan lanjut tentang kaitan antara keselamatan negara dan undang-undang, lihat Abdul Aziz bari, “Keselamatan Negara dan Perlembagaan”, Eksklusif, 20 Mac 2000 halaman 17.
[10] Lihat M.H. Kamali, Freedom of Expression in Islam, Kuala Lumpur: Ilmiah Publishers Sdn. Bhd. 1998, halaman 28-44.
[11] Ini termasuklah golongan anti Hadith. Bagaimanapun, beberapa orang pengikut ajaran Syiah pernah ditangkap di bawah ISA. Lihat Abdul Aziz Bari, “The use of ISA in Curbiing Shiism”, Sunday Sun, 16 November 1997, halaman 17.
[12] “ISA still needed, says drafter”, The Star 17 April 2001.
[13] Yang terbaru ialah perhimpunan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada akhir bulan April 2001 di mana 3,000 orang telah menghadiri rapat itu.

*Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Dip. Public Admin. (ITM), LL.B (Hons) (IIUM), LL.M (Nottingham), Ph.D Birmingham, United Kingdom.

No comments: