Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!

Thursday 18 September 2008

SAPP keluar BN

SAPP keluar BN
Posted on 18 SEPT,2008



PETALING JAYA: Parti Maju Sabah (Sapp) yang menggerakkan usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri empat bulan lalu hari ini memutuskan untuk keluar Barisan Nasional (BN).

Dengan pendirian itu, Sapp akan bertindak sebagai parti Bebas di dewan perundangan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Sapp hari ini.

Presiden Sapp, Datuk Yong Teck Lee semasa mengumumkan keputusan tersebut hari ini berkata, ia dicapai dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi parti itu.

"Majlis Tertinggi Sapp dengan ini mengisytiharkan bahawa Sapp bukan lagi anggota komponen BN.

"Anggota Sapp yang memegang jawatan politik secara lantikan dalam cabang eksekutif kerajaan akan meletak jawatan mereka dengan memberi notis seperti yang dikehendaki perlembagaan, peraturan dan undang-undang berkaitan, bermula dari peringkat Kabinet," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Sapp di Kota Kinabalu.

Yong mendakwa BN telah hilang "semangat BN" dan bukannya rakyat yang tidak mahu BN, tetapi BN yang meninggalkan rakyat.Bagaimanapun Yong menolak khabar angin bahawa Sapp akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Kami tidak akan memohon untuk menyertai Pakatan Rakyat," katanya dan menambah parti itu membuka pilihan untuk mengadakan perundingan dengan pertubuhan politik lain.

"Mulai hari ini, Sapp akan menjadi pembangkang yang berkualiti sehingga tiba masanya kami kembali sebagai kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai kerajaan mana yang dimaksudkannya, beliau berkata, "sebarang kerajaan yang memerintah."

Yong berkata, dalam mesyuarat hari ini, dua daripada anggotanya yang hadir menolak keputusan untuk keluar BN iaitu Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Naib Presiden, Jimmy Wong.

Ekoran keputusan itu, Timbalan Presiden Sapp, Datuk Raymond Tan berkata, beliau akan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam tempoh 24 jam.

Kata Tan, beliau belum memutuskan sama ada meninggalkan Sapp ataupun sebaliknya.

Tan merupakan antara pemimpin dalam Sapp yang tidak bersetuju dengan usul tidak percaya kepimpinan Abdullah yang dibawa parti itu.

Presiden Sapp, Datuk Yong Teck Lee pada Jun lepas berkata parti itu telah hilang keyakinan terhadap Abdullah dan dua anggota Parlimennya - Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau) - akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Keadaan itu menyebabkan Majlis Tertinggi BN mengeluarkan surat tunjuk sebab yang telah dijawab oleh SappP, tetapi BN masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Selain dua Ahli Parlimen, Sapp juga mempunyai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Yong berkata, dua lagi anggota MT tidak dapat hadir kerana seorang daripadanya sedang bercuti sementara seorang lagi sedang dalam tugas di Kuala Lumpur sementara Naib Presiden, Au Kam Wah yang juga ADUN Elopura memilih untuk tidak hadir.

Ditanya sama ada beliau telah dimaklum mengenai keputusan Au untuk keluar parti, Yong berkata, "beliau (Au) berkata beliau tidak akan bersama status kami di luar BN. Perkataan "meletak jawatan" tidak disebut tetapi maksudnya adalah sama."

Mengenai perasaan berbelah bahagi di kalangan anggota parti berhubung keputusan SappP keluar BN dan sama ada beliau menjangka perpecahan akan berlaku, Yong berkata, beliau tidak fikir begitu kerana percaya Sapp menerima sokongan padu daripada rakyat.

"Sesetengah orang berkata ia terlalu cepat, sesetengah berkata ia terlalu lama (untuk membuat keputusan) tetapi kami melihat kepada keadaan, dan masa telah tiba untuk menolak segala keraguan.

"Beberapa bulan lepas, (kami telah memperhalusi sama ada) kami perlu kekal atau keluar. BN tidak membuat sebarang keputusan untuk memecat kami, oleh itu selepas dua bulan, mungkin kami lihat masanya sudah tiba," katanya.

Yong menjelaskan, dengan mengenepikan SAPP daripada empat mesyuarat eksekutif Dewan Tertinggi BN dan dua mesyuarat jawatankuasa pengurusan sejak ia mengisytiharkan hilang keyakinan terdapat kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Jun lepas, BN secara berkesan menyingkirkan keanggotaan Sapp.

Ditanya sama ada Sapp akan menimbang menyertai Pakataan Rakyat sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya membentuk kerajaan baru, Yong berkata, mereka akan membuat keputusan "sekiranya hari itu tiba."

"(Penasihat DAP) Lim Kit Siang telah menimbulkan terminologi baru iaitu 'Pakatan plus', tetapi kami di Sabah berharap mempunyai 'Sapp plus'," katanya.

Ditanya pula sama ada Sapp akan menimbang untuk menyokong semula BN sekiranya Abdullah meletak jawatan, beliau berkata, "sekiranya kapal karam, kaptennya akan turut terjun."

Beliau berkata, beliau akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai keputusan SappP keluar BN.

No comments: