Discover How You Can Transform Your Fingers To a Calculator!

Saturday 20 September 2008

Teresa Kok dibebaskan

ISA: Teresa Kok dibebaskan
Posted on 20 SEPT,2008



Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini selepas disiasat selama seminggu.

Beliau dibebaskan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur jam 1 petang.

Beliau berada di balai polis berkenaan selama 40 minit untuk proses urusan pembebasan sebelum keluar bersama ibu bapanya Kok Kim Tong Pong Seh Kwon, peguamnya Sankara Nair dan pembantunya Mandy Ooi.

DAP memaklumkan satu sidang media berhubung pembebasan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya jam 3.30 petang.

Exco kanan kerajaan Selangor itu ditahan bawah ISA menjelang tengah malam Jumaat lepas.

Beliau antara tiga orang yang ditahan minggu lalu bawah kontroversi itu selepas penangkapan editor Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.

Tan dibebaskan Sabtu lepas, sementara Raja Petra masih ditahan.

Teresa, yang juga ahli Parlimen Seputeh, ditangkap kira-kira jam 11.15 malam Jumaat lalu ketika pulang daripada menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.

Teresa yang setiausaha organisasi kebangsaan DAP, ditahan selepas kenderaan yang dinaikinya dihalang oleh tiga kereta peronda polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan Teresa mengikut Seksyen 73 (1) ISA.

Menurut pemimpin utama DAP Lim Kit Siang, tiga kereta polis bersama 10 anggota menahan Teresa di pintu masuk kondominiumnya.

Katanya, Teresa baru pulang daripada menghadiri satu majlis festival kuih bulan di pejabatnya di kawasan pilihanrayanya.

Teresa ditahan untuk siasatan berhubung tuduhan melarang laungan azan di dua masjid, penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan laporan polis terhadapnya oleh beberapa pertubuhan Islam, termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata Teresa dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan siasatan dan tiada lagi sebab-sebab untuk terus menahannya.

"Selepas penangkapan dan siasatan dijalankan, polis berpuas hati bahawa tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan memutuskan untuk membebaskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, ahli politik popular itu ditahan di hadapan pintu masuk kondominium Pearl Tower, OG Height, Jalan Awan Cina, Kuala Lumpurpada 12 September selepas disyaki terlibat dalam perkara-perkara yang memudaratkan keselamatan negara.

Para pemimpin dan penyokong DAP serta menteri besar Selangor begitu gembira menyambut pembebasan ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. Dan ia juga menandakan bermulanya 'perangnya' dengan sebuah akhbar tempatan.

Teresa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara berkata, beliau akan mendapatkan keadilan di mahkamah terhadap akhbar berkenaan, kolumnisnya Zaini Hassan dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Selain membuat laporan polis terhadap mereka, Teresa juga memfailkan saman RM30 juta terhadap Utusan kerana didakwa telah mencemarkan imejnya.

Beliau juga akan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan pihak polis kerana didakwa menangkap dan menahannya secara tidak sah.

No comments: